Info SDN | Sikap Profesional Sebenar Pemain Bolasepak

“Success is no accident. It is hard work, perseverance, learning, studying, sacrifice and most of all, love of what you are doing or learning to do.” – Pele -

Sukan bolasepak adalah salah satu sukan yang dimainkan secara berkumpulan. Apabila bercakap mengenai kumpulan, sudah pasti ianya akan dikaitkan dengan persefahaman. Persoalannya, dari mana datangnya persefahaman? Jawapannya akan dirungkaikan dalam artikel ini, yang mana ianya akan menjadi titik tolak untuk menjadi seorang pemain bolasepak yang profesional.

Dalam sesebuah pasukan bolasepak sudah pasti akan ada pemain-pemain dan barisan kejurulatihan. Dua kelompok ini adalah yang sering terzahir samada semasa perlawanan atau latihan. Kekuatan sebenar pasukan itu bergantung kepada sejauh mana persefahaman setiap individu dalam pasukan berkenaan. Ini bermakna, setiap individu adalah nadi kekuatan dan mempunyai peranan yang cukup besar dalam sesebuah pasukan.

Fokus kali ini adalah untuk memberi idea tentang sikap profesional yang sebenar yang patut ada dalam diri seseorang yang bergelar pemain bollasepak. Ianya terbahagi kepada 4 elemen utama seperti berikut:

1. Kualiti Sikap – Setiap pemain perlu sedar dan tahu peranannya sebagai pemain bolasepak. Mereka bertanggungjawab kepada pasukannya. Sikap yang positif amat ditagih dalam segenap aspek. Ini perlu dipupuk setiap masa yang mana ianya memerlukan kesedaran dalam diri sendiri. Kesedaran untuk menjadi lebih baik. Sikap suka mengadu domba, malas, suka mempertikai secara melulu dan sikap acuh tak acuh perlu dijauhkan. Sikap-sikap negatif ini akan merosakkan peribadi seseorang. Sebagai contoh, Cristiano Ronaldo, beliau bukan sahaja pemain bolasepak profesional, malah dikenali juga sebagai icon yang boleh menjadi contoh kerana sikapnya. Kita boleh nilai sendiri di mana kita jika dibandingkan dengan apa yang beliau telah pamerkan di dalam mahupun di luar padang. Kualiti sikap ini wajib diperbaiki sebilang masa kerana ianya adalah tunjang untuk menggerakkan tiga lagi elemen yang akan dihuraikan nanti.

2. Disiplin yang Tinggi – Disiplin diri yang baik bermula dengan bagaimana seseorang itu menguruskan kehidupannya seharian. Ianya merangkumi penampilan diri, punctuality, sosial dan adab. Ini semua terkait dengan sikap. Disiplin yang baik akan memberi kesan kepada pasukan. Sistem latihan yang dirancang akan mudah diterjemahkan.

3. Pengorbanan – Sudah semestinya untuk menjadi yang terbaik, banyak perkara perlu dikorbankan. Kehidupan sebagai ahli sukan terutama pemain bolasepak memerlukan banyak pengorbanan. Ini kerana kehidupan mereka akan berubah secara keseluruhannya. Jika bercakap tentang pemakanan, sudah semestinya ada diet-diet pemakanan sukan yang perlu dipatuhi. Begitu juga halnya tentang jadual seharian. Latihan satu atau dua sesi perlu dipenuhi setiap hari tanpa sebarang alasan kecuali masalah kesihatan. Selain itu, masa untuk bersama keluarga juga terbatas. Terkadang, masa itu akan dihabiskan dengan latihan individu yang mana difikirkan oleh seseorang itu yang dia fikirkan perlu dilakukan untuk mendapatkan ‘extra’ selain daripada latihan formal oleh jurulatih.

4. Berfikiran Positif – Ini penting untuk menjadikan kita lebih berjaya. Orang yang gagal adalah orang yang berfikiran negatif. Segala perkara cuba dinegatifkan dengan alasan-alasan tertentu asalkan dia senang. Fikiran yang positif akan dizahirkan dengan sikap dan perlakuan atau disiplin. Orang yang berfikiran positif tidak akan rasa jemu, muak atau kecewa. Ini kerana, segala apa yang diberikan atau apa sahaja kejadian yang terjadi padanya akan menjadi positif dan ada manfaat untuknya. Kita terbaca komen-komen jurulatih bolasepak yang mengakui bahawa pemain-pemainnya malas dan tidak gemar latihan yang memenatkan. Ini adalah masalah yang sangat kritikal. Selayaknya mereka berada dibidang lain dan bukan bolasepak. Jika dibidang lain sekali pun mereka akan menjadi orang yang gagal selamanya. Mungkin mereka patut hayati peribahasa melayu, ‘Berakit-rakit ke hulu, Berenang-renang ke tepian, Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’. Biarlah kita bersusah-susah sekarang, kelak nanti, sinar kejayaan akan datang. Itu adalah janji untuk orang-orang berusaha.

Oleh yang demikian, untuk menjadi profesional bukanlah semudah kata-kata. Ianya harus dibayar dengan banyak perkara oleh sesiapa yang menginginkannya. Sesungguhnya, banyak lagi faktor lain yang perlu untuk menjadi seorang pemain bolasepak yang profesional. Namun begitu, 4 faktor ini adalah asas yang perlu ada. Pemain bolasepak di Malaysia masih jauh kualitinya jika hendak dibandingkan dengan pemain-pemain profesional di Eropah.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pepatah melayu banyak nasihat-nasihat yang berguna tetapi kita lambat untuk menterjemah atau sengaja untuk tidak berfikir. Program-program pembangunan sedari umur 7 tahun adalah langkah yang baik untuk menghasilkan pemain-pemain bolasepak yang berkualiti dan profesional. Di Eropah, inilah program teras mereka sejak berabad lamanya. Tidak hairanlah, mereka sentiasa memiliki pemain-pemain yang terkenal. Di Malaysia, ianya baru sahaja bermula, tetapi masih awal dan masih banyak perkara yang perlu diperkemaskan. Sokonglah usaha pihak berwajin dalam menghasilkan pemain-pemain yang bermutu tinggi. Setidak-tidaknya berilah sokongan moral dan nasihat demi kemajuan bolasepak negara. ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.

“Striving Is Rewarding”

by Capt syidi_black

Likes(4)Dislikes(0)