Kemelut Perak The Bos Gaurus

Perak The Bos Gaurus

Situasi yang melanda skuad Perak ketika ini jelas menghadirkan kerisauan dalam kalangan peminat pasukan The Bos Gaurus. Satu demi satu harapan menggunung yang disajikan sejak kempen pra-musim buat tatapan para peminat bermula dengan ‘nama besar’ yang dipancing bagi menghadapi saingan musim ini sehinggalah harapan besar pihak pengurusan berkenaan sasaran pasukan.

Namun kini ianya seolah-olah menjadi harapan palsu buat para peminat dengan prestasi pasukan yang ditampilkan ketika ini dan beberapa masalah lain yang timbul setelah para peminat sudah mula memasang impian besar berkenaan cabaran pasukan musim ini.

Segalanya tampak berada di landasan yang betul sehingga Perak TBG mampu untuk menumpaskan pasukan berprofil tinggi, JDT di gelanggang sendiri. Langit tak selalunya cerah kerana pengendali berpengaruh, Karl Heinz Weigang dihentikan perkhidmatannya atas pelbagai desas-desus yang tidak dapat dipastikan di mana kebenarannya.

Selepas dari peristiwa tersebut, keadaan di kem skuad Perak semakin meruncing dan kini peminat juga semakin menjauhi stadium keramat kita.

Mari kita soroti kisah di setiap tunjang penting buat Perak TBG :

Pengurusan

Pembelian pemain ‘nama besar’ yang dilakukan lebih kepada pelan jangka pendek untuk meraih kejayaan. Ternyata strategi tersebut berjaya menarik minat para peminat apabila suasana perlawanan persahabatan pra-musim ketika itu mencatatkan kehadiran penyokong yang menggalakkan.

Perak juga dilabel sebagai antara pasukan pilihan yang akan bersaing merebut kejuaraan musim ini. Disamping itu, sasaran tinggi dari pihak pengurusan dan persatuan juga membuat para peminat sudah mula mengharapkan kejayaan musim ini.

Turut mencuri tumpuan adalah ketika pasukan lain sibuk memantapkan pasukan dengan menukar pemain import dan pemain tempatan, Perak masih seperti musim lalu apabila bertindak menukar pengurus pasukan.

Tidak mahu mencampuri urusan pengurusan mahupun persatuan, diharapkan perkara ini dapat diselesaikan dengan segera agar sasaran layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 (merujuk kepada Akhbar Sinar Harian bertarikh 16 Januari 2017) dapat direalisasikan.

Jurulatih

Pertukaran dari Karl Heinz Weigang kepada Mehmet Durakovic juga menjadi punca kemarahan para peminat terhadap pasukan ketika ini.

Weigang yang sudah sebati dengan jiwa para penyokong meninggalkan pasukan tanpa rela kebanyakan daripada mereka (penyokong) dan transisi melibatkan 2 jurulatih asing ini juga dilihat kurang berkesan apabila Mehmet sekadar memperoleh 1 kemenangan 5 seri dan 2 kekalahan dalam saingan Liga Super 2017.

Masalah pemilihan pemain import masih menghantui pasukan dan diberitakan berkemungkinan 2 pemain import pasukan akan digantikan tidak lama lagi.

Pemain

Para pemain juga seperti masih tercari-cari ramuan untuk menjadi sang juara yang diimpikan pengurusan dan penyokong ketika ini.

‘Nama besar‘ yang direkrut ketika ini gagal memperlihatkan kualiti yang sangat diperlukan dalam pasukan dan ada juga yang hanya memanaskan bangku simpanan.

Mengapa perlu berbelanja besar sekiranya gagal menyumbangkan sesuatu yang diharapkan?.

Peminat

Peminat yang tidak senang duduk dengan senarai awal musim yang dikeluarkan pastinya merasakan Perak sudah layak digelar pesaing kejuaraan musim ini.

Namun, nampaknya penyokong Perak yang terkenal dengan kesetiaannya bersama pasukan harus bersabar dan menunggu lebih lama untuk pasukan ini menyinar.

Peminat perlu sedar dengan berbelanja besar belum tentu menjamin kejuaraan sekiranya elemen penting dalam bola sepak tidak dikuasai dengan baik.

Jangan mudah dibuai dengan harapan yang dijanjikan kelak ianya akan membuatkan kita semua kecewa dan terus kecewa seperti dahulu.

Akhir kata, apa jua yang berlaku Perak tetap dihati kita. Marah tandanya sayang. Semoga semua memainkan peranan masing-masing dalam meniti kejayaan pasukan yang kita sayangi.

Salam PERAK TBG.
Izara Jebat

Likes(10)Dislikes(0)

2 thoughts on “Kemelut Perak The Bos Gaurus

  1. belanak

    Wowwwwwww...

    Mantap artikel terkini yg diolah dgn cantik sekali oleh Izara Jebat....

    Kepada semua... kipidap... dongibab...

    Likes(2)Dislikes(0)
  2. sup utara

    s.d.n dah kembali dengan ulasan ulasan yg mantop..... dihadiri pula izara jebat yang boleh dibayangkan powerfull....

    jelas....... pengurusan hanya tahu mengaburi mata penyokong dengan janji janji manis..... tetapi hakikatnya barisan bintang yang semakin hampir di penghujung karier..... barisan muda diketepikan terus sehingga sukar lagi bola mengenali kaki pemain pemain yg dipinggirkan...

    apabila penyokong bising...memaki hamun ada pulak dalam pengurusan berkata penyokong tak faham ... apa kejadahnya..... contohila seperti pasukan Pahang dan Kedah...... Buang sikap ego seperti Kelantan Bertahanlah seperti pasukan JDT

    Likes(3)Dislikes(0)

Comments are closed.