TM Piala Malaysia 2017 | Saingan Kumpulan A

PM 2017

Undian Piala Malaysia 2017 telah berlangsung semalam yang disaksikan jutaan peminat bolasepak tanahair. Berdasarkan hasil undian, ada beberapa fakta menarik untuk perbincangkan. Pelbagai ramalan dan harapan mula dicetuskan oleh penyokong-penyokong bolasepak tanahair tentang hala tuju masing-masing. Sebagai pembuka bicara, berikut adalah ulasan tentang pasukan-pasukan dalam Kumpulan A:

Kumpulan A

Dianggap sebagai sebagai pertembungan antara bakal juara. Pahang yang kini sedang menghuni tangga kedua Liga Super dilihat bakal menjadi pesaing terhebat dan pasukan tumpuan dalam kumpulan ini. Mereka berjaya merekodkan 29 gol selepas 12 perlawanan Liga Super sekali gus memberi amaran kepada 3 lagi pasukan, bahawa mereka memiliki kekuatan tersendiri dalam menghasilkan gol. Tidak cukup dengan itu, mereka hanya bolos 17 gol dalam 12 perlawanan sebelum ini. Ini sedikit sebanyak menjadi pencetus idea untuk 3 lagi pasukan memikirkan ‘homework’ untuk mereka siapkan sebelum bertarung di hari sebenar nanti. ‘Finalist’ Piala FA ini dilihat cukup serius menjelang separuh kedua musim liga apabila memasukkan beberapa muka baharu untuk memperkemaskan jentera mereka.

T-Team, sebuah pasukan yang harus diberikan perhatian yang serius. Dalam saingan Liga Super, mereka hanya tewas 3 kali dan seri 4 kali daripada 12 perlawanan. Mereka berjaya menang dalam 3 perlawanan terakhir sebelum ini, paling manis adalah memalukan Kedah dengan 5-0, sesuatu yang menjadi kebanggaan dan pencetus semangat kepada pasukan mereka. Biarpun kadangkala mereka agak sukar diramal, tetapi mereka menjanjikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan. Mereka mampu bangkit selepas ketinggalan, itu adalah kekuatan mereka. T-Team juga dilihat semakin agresif memasuki separuh kedua musim ini. Boleh lah kita labelkan T-Team sebagai ‘pasukan yang liat’ untuk ditewaskan.

Negeri Sembilan. Pasukan ini antara kegemaran penulis dizaman kegemilangannya. Berjaya melahirkan nama-nama besar dalam bolasepak di Malaysia seuatu ketika dahulu. Perhatian kini, kembali terarah kepada pasukan ini sejak kebelakangan ini. Mana tidaknya, mereka berikrar untuk melakukan ‘come back’ untuk bersaing seperti yang pernah mereka lakukan dulu. Mendahului carta Liga Premier ketika ini sudah cukup untuk menceritakan betapa seriusnya mereka pada musim ni. Menjadi satu bala jika mereka gagal layak ke Liga Super 2018. Pasukan kejiranan Melaka ini, cukup kental sejak kebelakangan ini, dan hampir dimalukan ATM dalam aksi terakhir separuh pertama musim. Satu-satunya pasukan yang belum tewas selepas 12 perlawanan Liga Premier musim ini. Jika Pahang, kita sudah didedahkan dengan aksi mereka dalam beberapa perlawanan secara langsung di televisyen, tetapi Negeri Sembilan, bakal menjadi duri dalam daging ibarat cencaru makan petang. Maka bersiap sedialah 3 lagi pasukan dalam Kumpulan A. Piala Malaysia akan menjadi buruan mereka sebeelum menjejakkan kaki ke Liga Super 2018.

PKNP FC. Dilabelkan sebagai Underdog dalam saingan Piala Malaysia 2017. Kemunculan kali pertama tidak sedikit pun memberi tekanan kepada mereka. Tetapi, rekod mereka dalam Liga Premier 2017 bakal menimbulkan rasa panik kepada pasukan lain dalam Kumpulan A. Hanya tewas sekali selepas 12 perlawanan cukup untuk menceritakan kehebatan mereka. Konsistensi yang dipamerkan dalam setiap perlawanan adalah tunjang utama kekuatan mereka. Mengadaptasikan kehendak jurulatih dengan baik serta kerjasama yang jitu menambahkan lagi kekuatan mereka. Siapa sahaja halangan mereka, mereka akan rempuh sedaya mampu. Adakah kita bakal saksikan kejutan untuk Piala Malaysia versi 2017 ? PKNP ada jawapannya.

Likes(4)Dislikes(0)