Piala Malaysia 2014 | Terengganu vs Perak (preview)

sdn pm 14

 

 

 

 

Sabtu, 23 Ogos 2014
8.45 Malam
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah

Perlawanan terakhir untuk pusingan pertama bakal menyaksikan Terengganu akan menanti kedatangan Perak di Kuala Terengganu.

Percaya atau tidak 19 April 2014 lalu adalah kemenangan pertama Perak di Kuala Terengganu selepas kali terakhir menang di Kuala Terengganu 15 Mac 2003. Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan ini April lalu menyaksikan Perak memalukan Skuad Peteh ini dengan jaringan 2-0 hasil jaringan pemain muda Partiban Palotelli dan Marco Tulio.

Secara asasnya, tiada yang mustahil untuk Perak mengulangi rekod kemenangan lalu. Ini kerana, kondisi semasa pasukan berada dalam keadaan yang cukup baik. Jika musim lalu, Perak agak malang ketika beraksi di gelanggang lawan tetapi semua itu berjaya diatasi diakhir musim Liga Super lalu dengan beberapa kemenangan termasuk lawan yang akan ditentang Sabtu ini.

Jika dilihat kepada kedudukan terkini Kumpulan B, Perak gah mendahului carta dengan 6 mata hasil 2 kemenangan di Ipoh sebelum ini. Perak hanya bolos 1 gol, ini memberi gambaran bahawa Pertahanan Perak cukup kental setakat dua perlawanan lalu. Manakala jumlah jaringan setakat ini adalah 4 gol, sekali gus memberi kelegaan kepada pengendali Perak apabila barisan serangannya cukup berkesan.

Bagi Terengganu, mereka yang mengumpul 3 mata selepas menang sekali dan tewas sekali bergelut untuk mendapatkan rentak kemenangan dalam saingan kali ini. Dalam perlawanan lalu, mereka berjaya mendapatkan 3 mata di Alor Setar apabila menang tipis 3-2 dan sebelum itu dikecewakan Sarawak di Kuching juga dengan jaringan 3-2. Jumlah jaringan dan bolos mereka menceritakan bahawa mereka memiliki pertahanan yang agak longgar dan pada masa yang barisan tengah serta serangan mereka juga agak berkesan untuk mencipta gerakan untuk melakukan jaringan.

Oleh yang demikian, Perak perlu berwaspada nanti di Kuala Terengganu. Sudah pasti Skuad Peteh ini akan cuba meningkatkan keupayaan mereka dan mencari kemenangan pertama di laman sendiri. Pertahanan Perak perlu lebih fokus dan pada masa yang sama barisan serangan perlu lebih tajam ketika mendapat peluang mencipta jaringan. Jadikan perlawanan dengan Sarawak yang lalu sebagai pedoman. Terlalu banyak peluang terhidang yang dilepaskan.

Kelebihan pasukan Perak adalah ‘Mind Set’ yang baik. Kekuatan mental jelas memainkan peranan yang cukup penting. Dalam perlawanan lalu, Perak tidak leka ketika mendahului 1-0 dan terus memburu jaringan untuk mengukuhkan kedudukan tanpa membenarkan pihak lawan merapatkan kedudukan. Inilah antara ciri-ciri yang perlu ada untuk menjadi sebuah pasukan yang kuat.Mungkin selepas ini Perak akan diuji dengan jaringan awal pihak lawan. Dalam keadaan ini, setiap pemain perlu lebih fokus dan menjadi semakin kuat untuk mencari gol penyamaan. Kekuatan inilah yang ada dalam diri setiap pemain muda ketika saingan SUKMA lalu dan Piala Presiden 2014. Tidak hairanlah mereka menjadi juara untuk musim ini kerana memiliki set yang lengkap untuk menjulang kejuaraan.

Likes(8)Dislikes(0)