Piala Malaysia 2014 | Perak vs Kedah (preview)

sdn pm 14

 

 

 

 

Khamis, 14 Ogos 2014
8.45 Malam
Stadium Perak, Ipoh

(LANGSUNG DI ASTRO ARENA 801)

Selepas melalui musim yang mencabar dalam saingan Liga Super musim ini, The Bos Gaurus bakal berdepan tugasan akhir untuk edisi 2014 iaitu saingan Piala Malaysia 2014. Musim lalu, Perak hanya mencatatkan Menang dua perlawanan, seri satu perlawanan dan tewas dalam tiga perlawanan di peringkat kumpulan dalam saingan yang sama.

Diimbas kembali kisah Piala Malaysia edisi yang lalu, Perak bermula cukup baik di Ipoh apabila berjaya menundukkan Sarawak 2-1 dan selepas itu menjinakkan Lions XII 1-0 juga di Ipoh. Tetapi sebelum itu, Perak berjaya mengikat Kedah 1-1 di Alor Setar yang melegakan penyokong-penyokong Perak ketika itu.

Pusingan pertama ketika itu tamat dengan agak baik apabila Perak dilihat agak konsisten memungut mata selepas 3 perlawanan. Namun begitu, di pusingan kedua, Perak agak hambar dan tewas dalam baki 3 perlawanan terakhir. Ini mencetuskan kemarahan banyak pihak yang mula menuding jari kepada pemain dan pengurusan PAFA. Lantaran itu, pelbagai isu timbul sehinggalah musim 2014 membuka tirai baharunya.

Tutup buku lama dan buka buku baru. Musim 2014, biarpun agak mencabar, tetapi Perak seolah-olah memberi harapan baru dipenghujung musim Liga Super 2014 lalu. Ini berdasarkan prestasi terakhir sebelum menutup Liga Super lalu. Perak mempamerkan peningkatan yang baik sekali gus menyelamatkan mereka tergelincir ke Liga Perdana 2015. Biarpun Karl Heinz Weigang sudah kembali ke negaranya baru-baru ini, tetapi itu tidak bermakna perjuangan kita sudah tamat. Kehadiran Divaldo Alves bekas pengendali Negeri Sembilan ke Perak diharap dapat memberi impak kepada prestasi pasukan Perak. Inilah ruangnya untuk beliau menafikan tohmahan para peminat bolasepak lain yang menuduh beliau yang bertanggungjawab ke atas kejatuhan pasukan Negeri Sembilan. Beliau yang juga fasih berbahasa melayu dilihat lebih relevan dan berkesan untuk melaksanakan tugasan beliau kerana dapat berkomunikasi secara berkesan dengan setiap pemain.

Tugasan pertama adalah menentang Kedah. Perak perlu menang dalam perlawanan ini. Kekalahan hanya akan merumitkan keadaan. Mungkin stadium akan kosong jika Perak tewas dalam perlawanan ini.

Berdasarkan pemerhatian setakat ini, Perak bakal menyajikan persembahan yang baik dalam aksi pertama nanti. Ini berdasarkan beberapa faktor. Pertama. Rekod perlawanan berprestij terakhir Perak cukup baik ketika menang ke atas Pahang 3-0. Jadi, moral keseluruhan pasukan berada dalam keadaan yang terbaik dan harap dapat dikekalkan. Kedua. Penasihat Teknikal Baharu Perak, iaitu Divaldo Alves pasti akan mencaturkan strategi yang terbaik untuk membuktikan kemampuannya yang sebenar. Ini penting untuk menjaga reputasi beliau disamping menyakinkan PAFA dan penyokong tegar The Bos Gaurus yang amat dahagakan kebangkitan. Ketiga. Dikhabarkan, Perak bakal mempertaruhkan pemain-pemain muda untuk saingan kali ini. Ini merupakan berita yang menggembirakan kerana, pemain-pemain muda Perak cukup cemerlang sebelum ini dalam kejohanan-kejohanan yang setaraf dengan mereka. Di samping itu juga, mereka cukup cemerlang ketika beraksi bersama pasukan senior.

Biarpun ada yang berpandangan bahawa Perak bukan pasukan pilihan berdasarkan rekod-rekod sebelumnya, tetapi, perlu diingat, semua pasukan dalam Kumpulan B ini pernah ditewaskan oleh Perak dalam saingan liga kecuali Kedah yang beraksi dalam Liga Perdana. Jika tewas, anda boleh bayangkan sendiri di mana tahap Perak, adakah semakin meningkat atau merudum.

Likes(12)Dislikes(1)

6 thoughts on “Piala Malaysia 2014 | Perak vs Kedah (preview)

  1. Jaji

    Kalau ditinjau dari segi perlawanan persahabatan yang diadakan, Perak hanya bertemu dengan pasukan lemah aja seperti TLDM dan menang 6 - 0. Akan tetapi Kedah berjaya mengadalan frendly dengan pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan mereka berjaya menewaskan Kelantan dengan jaringan 4 - 2 di Kota Bharu. Kalau nengokkan rekod ini, gerun juga kita dengan Kedah ni. Tambahan pula Perak macam ada badi bila bertemu dengan Kedah ni. Harap-harap semuanya itu tidak langsung mempengaruhi permainan Perak nanti. Alangkah baiknya jika Perak berjaya memenangi semua tiga perlawanan di tempat sendiri. Cuma perlu satu saja seri di tempat lawan. Insyallaah kita akan melepasi peringkat kumpulan.

    Likes(2)Dislikes(0)
    1. syidi Post author

      Secara psikologinya, persahabatan menentang pasukan yang dikatakan lemah itu sebenarnya WAJIB ada dalam diari jurulatih. Mengapa? Dan Mengapa TLDM?

      Berdasarkan pengalaman saya yang cetek ini dalam bolasepak, menentang pasukan yang lemah sebenarnya menguji kekuatan mental dan berupaya meningkatkan keyakinan diri. Mentaliti pemain lazimnya akan beranggapan jika bertemu pasukan lemah mereka akan bermain sambil lewa tanpa tekanan. Sebenarnya SALAH. Ini lah pentingnya mengadakan perlawanan dengan pasukan yang biasa untuk menyusun taktikal dan mempraktikkan perancangan jurulatih.

      TLDM dipilih MUNGKIN, pada pandangan saya adalah berdasarkan corak permainan mereka. Mereka lebih agresif dan untuk pengetahuan, TLDM adalah pasukan yang TERBAIK DALAM TENTERA. Mereka kerap kali menjuarai kejohanan bolasepak menewaskan TUDM dan Tentera Darat.

      Jadi, kita perlu positifkan pemikiran kita. Pandangan saudara Jaji amat saya hargai. Saya hanya beri pencerahan untuk meluaskan pengetahuan dalam pengurusan bolasepak. Bolasepak nampak mudah. Tetapi sebenarnya amat sukar untuk diuruskan jika tidak kena pada caranya.

      Likes(1)Dislikes(0)
  2. ihsan

    Friendly match sebelum hari raya, Felda 2 perak 3 di seremban, Atm 1 perak 1 di stadium Tudm subang dan perak 3 penang 1 di ipoh

    Likes(1)Dislikes(0)
  3. Jaji

    Maksud teman Perak yang berjaya mencipta kemenangan dalam perlawanan persahabatan ialah bertemu dengan team yang bukannya dari kelompok Liga Super mahupum dari Liga Perdana. Sedangkan Kedah yang datang dari Liga Perdana berjaya mengalahkan pasukan dari Liga Super, Kelantan. Jadi bermakna deme bagus lagi berbanding Perak. Bukan apa. Saja aja nak buat provokasi sikit. Harap tak ada sapa yang terasa hati.

    Likes(1)Dislikes(0)
    1. syidi Post author

      Kasi panas sikit. Baru rancak. Friendly match ni sekadar nak maintain match fitness dengan nak cuba strategi je. Tu yang kadang-kadang result hampeh. Sebab coach buat uji kaji ke, test player ke.

      Likes(3)Dislikes(0)

Comments are closed.