Liga Super 2012 | Perak Vs Selangor (Preview)

Astro Liga Super Malaysia 2012

Jumaat, 11 Mei 2012
Stadium Perak, Ipoh
8.45 Malam

Ini merupakan perlawanan ke 17 Liga Super 2012 bagi kedua-dua pasukan. Perak dan Selangor ketika ini berkongsi 24 mata dan kelebihan memihak kepada Selangor dengan perbezaan jaringan untuk mereka berada di tangga keempat liga.

Perlawanan ini dilihat penting untuk Perak kembali menghidupkan peluang untuk bersaing sekurang-kurangnya berada dalam kelompok 3 pasukan terbaik Liga Super 2012. Jika dilihat kepada kedudukan liga ketika ini, Lions XII masih berada dipuncak selepas 18 perlawanan dengan 36 mata sambil Kelantan di tangga kedua selepas 15 perlawanan dengan 34 mata. Manakala Terengganu menghuni tangga ketiga selepas 15 perlawanan dengan 26 mata. Dengan ini jelas menunjukkan peluang Perak untuk berada sekurang-kurangnya berada dalam kelompok 3 pasukan terbaik masih terbuka luas, dan peluang untuk merapatkan jurang mata telah disia-siakan di Kuala Terengganu tempohari apabila sekadar seri 2-2.

Bagi Perak, mereka kini dianggap oleh segelintir pengkritik bolasepak tempatan sebagai pasukan yang ‘biasa’ dan bukanlah sebuah pasukan yang digeruni oleh lawan. Ini dibuktikan dengan ulasan-ulasan liga sebelum ini tidak kira di televisyen atau oleh ‘netizen’ yang lebih menumpukan kepada pasukan-pasukan yang dikatakan gergasi bolasepak Malaysia yang tidak perlulah dinyatakan di sini.

Jika melihat kepada rekod Perak di laman sendiri sebelum ini, daripada 7 perlawanan Perak berjaya menang 4, seri sekali dan kalah 2 perlawanan. Sebaliknya, rekod Selangor di tempat lawan agak kurang memberansangkan apabila hanya mampu memenangi satu perlawanan daripada 8 aksi mereka. Selebihnya, mereka memperoleh keputusan seri 4 perlawanan dan 3 kali kalah.

Berikut adalah keputusan 5 perlawanan terakhir Perak:

1. Perak vs Kuala Lumpur (M)(2-1) – 7 April 2012
2. Lions vs Perak (K)(2-1) – 10 April 2012
3. Sabah vs Perak (M) (1-3) – 14 April 2012
4. Perak vs Sabah (S) (2-2) – 17 April 2012
5. Terengganu vs Perak (S) (2-2) – 4 Mei 2012

** (M) Menang, (K) Kalah, (S) Seri

Berikut adalah keputusan 5 perlawanan terakhir Selangor:

1. Sabah vs Selangor (S) (1-1) – 31 Mac 2012
2. Selangor vs Terengganu (M) (6-1) – 7 April 2012
3. Johor FC vs Selangor (S) (1-1) – 14 April 2012
4. Selangor vs Johor FC (M) (2-0) – 17 April 2012
5. Selangor vs N.Sembilan (K)(1-3) – 8 Mei 2012

Jadi, bukanlah mustahil untuk Perak merakamkan kemenangan di Ipoh Jumaat nanti. Namun begitu, Haji Norizan Bakar perlu membuat rombakan di bahagian pertahanan yang ketika ini dilihat mudah dibocori lawan dalam setiap perlawanan. Begitu juga dengan benteng terakhir Perak yang kerap diisi Mohd Nasril Nourdin yang kadangkala cemerlang dan kadangkala mengundang gusar di kalangan para penyokong. Penjaga gol amat berpengaruh dalam sesebuah pasukan sehinggakan boleh mempengaruh moral serta semangat sesebuah pasukan. Oleh yang demikian, sesuatu harus dilakukan agar kesilapan lampau tidak berulang.

Albert Bodjongo Dika, permata hitam Perak sudah semestinya bakal menjadi tumpuan nanti. Beliau dilihat sudah mula menunjukkan keserasian apabila berjaya meledakkan gol ketika seri 2-2 di Kuala Terengganu tempohari. Keyakinan para penyokong mula membara dengan menginginkan aksi terbaik pemain ini dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang.

Barisan Perak Saranan SDN

Kamarul Affendi(PG)
K. Nantha Kumar
Mohd Shahrom Kalam
Mohd Hisyamuddin
Mohd Norhazrul Mustapha
Shahrulnizam Mustafa (KP)
Michal Kubala
Fahrul Razi Kamaruddin
Rafiuddin Roddin
Mohd Failee Ghazali
Albert Bodjongo Dika

Likes(0)Dislikes(0)
This entry was posted in Liga Super 2012 and tagged , , on by .

About syidi_black

Anak Jati Perak Yang Ingin Berjasa. Perak Adalah Tempat Tumpah Darahku, Bumi Kg Permatang Raja menjadi Saksi Kelahiran ku. Kini Aku merantau ke Segenap Bumi Malaysia membawa Diri Mencari Rezeki Untuk Sesuap Nasi Tanpa Melupakan Siapa Diri dan Dari mana Asal-Usulku. Bumi Perak Darul Ridzuan Tetap Aku Kenang Sampai Mati dan Aku sentiasa merinduinya Tika diperantauan.

19 thoughts on “Liga Super 2012 | Perak Vs Selangor (Preview)

  1. helmirizal

    misi membalas dendam tewas pada pusingan pertama dulu...perak perlu menumpaskan pasukan selangor untuk terus bersaing memburu kedudukan terbaik dalam liga super...

    di harap penyerang kita mampu menjaringkan gol dan pertahanan mampu mengekang selangor dari membolosi gawang gol perak....

    di harap penyokong akan memenuhi setiap penjuru stadium untuk memberi sokongan pada pasukan perak untuk meraih 3 mata....

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. yazid

    Insyallah...kemenangan akan berpihak pada PERAK...semua sudah menunjukkan kesungguhan...pemain & peminat semua ternanti-nanti dengan game yang boleh di anggap 'derby' and epic game (perak pun kuasa besar bola sepak juga).hehehe
    Saya menanti komen2 dari otai2 SDN....mereka akan merancakkan ruangan sembang ini....YOB n YONG moh kite ke stadium....kite kasi gego stadium....seladang akan lanyak red giant....

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. Raul hashim

    Kalau tengok game selangor smlm..mereka tidak lah hebat sangat..basko balaban pun sering offside..pertahanan perak perlu guna strategi yang sama..kalau selangor main macam semalam, tidak mustahil perak akan mampu menang dan membawa tiga mata penuh..pertahanan selangor senang dibolosi oleh kunalan dan rakan2. ini yang harus winger perak lakukan keranan perak mempunyai winger yang laju..diharap pertahanan perak harus diperbaiki dengan menurunkan hisyamuddin dan shahrom kalam untuk bergandingan..kubala dan nazri kamal harus diberi ruang bergerak bebas di bahagian tengah..striker mcm biasa turunkan failee dan bodjongo..nasril harus diturnkan memandangkan kamarul effendi pernah bolos 2 kali hasil sepakan percuma syafiq..itu saje pandangan teman..formasi 4-3-3..taktikal hantaran pendek dan gunakan sayap..nantha harus mengawal balaban yang cukup berbahaya jika diberi pelunag..ramalan teman..perak 2 selangor 0..kubala dan bodjongo..

    Likes(0)Dislikes(0)
    1. syidi Post author

      Selangor semalam off form sebab senjata sulit kena banned. Lumpuh serangan dia penangan Azraai Khor.

      Likes(0)Dislikes(0)
  4. syidi Post author

    Salam. Nah! Selangor semalam berkubur di laman sendiri! Kena 3 gol.

    Cuba kita singkap taktikal dan strategi yang digunakan N.Sembilan. Azraai Khor memang superb! Apa yang dia lakukan?

    Pertama. Kelebihan yang ada dipergunakan sebaiknya. Contoh, mempergunakan pemain yang ada sebaik mungkin. Menggandingkan orang lama dan tenaga muda. Paling ketara, Shukor Adan yang mengemudi benteng pertahanan dengan baik. Buktinya, penyerang-penyerang Selangor kerapkali off side dek kerana perangkap yang menjadi.

    Kedua. Melumpuhkan flank side Selangor. Di mana Amirul Hadi? Tenggelam terus. N.Sembilan mempergunakan Right and Left Midfield untuk support right and left back untuk mengekang gerakan di bahagian sayap. Bahagian tengah Selangor je yang masih berfungsi tapi tidak sepenuhnya kerana barisan serangan kerap diperangkap.

    Ketiga. N.Sembilan bijak menggunakan peluang. Seawal minit permainan dah dapat satu gol yang penting! Gol itulah yang menaikkan semangat juang mereka. Fokus yang jitu oleh barisan serangan banyak membantu untuk buat jaringan terutama Shakir yang begitu baik ketika melakukan percubaan sambil dibantu penjaga gol Selangor yang off form entah apa yang difikirkannya.

    Jadi, Haji Norizan Bakar perlu bijak bermain taktikal jumaat nanti. Ingat, sambil kita tengok live semalam, permainan kita juga akan di kaji nanti oleh Azraai Khor yang bakal bertemu Perak 14 Mei nanti. Haji Norizan Bakar perlu bijak mengatur dua strategi berbeza untuk dua perlawanan penting ini.

    Likes(0)Dislikes(0)
  5. Jasbisa

    teman setuju bebenor, taktikal penting dlm bolasepak. CIkgu Jan perlu gunakan kepantasan flanker (wing) kita yang hebat ie. Fahrul, fazrul, rafiuddin. failee dan bodjongo semakin serasi. keeper Ke atau Amri. Suggest 4-5-1.

    Likes(0)Dislikes(0)
    1. syidi Post author

      Tapi yob, takut diorang dah mark taktik flanker ni. jadi cikgu jan kena fikirkan selain dari tu.

      Likes(0)Dislikes(0)
  6. helmirizal

    arap cikgu jan tgk game selangor malam tadi, cikgu jan harus merancang strategi yang ampuh untuk mengekang selangor seperti yang dilakukan oleh azrai khor semalam...

    selain itu mencari jaringan awal juga turut mampu untuk sentapkan pihak lawan dan menaikan moral pemain perak sendiri.....

    serangan dari setiap sudut dan pertahanan kental diharapkan akan dipamerkan oleh pasukan perak nanti.....

    tumbangkan selangor di ipoh jumaat ini !!

    Likes(0)Dislikes(0)
  7. yazid

    hahaha good comment from u alls...kita juga boleh gunakan kelebihan yg ada pd Kubala,selalunya freekick dia mmg menjadi so cuba pastikan sayap kite dpt msk kwsn pihak lwn dan dapatkan freekick sebanyak mungkin,mungkin menjadi...kick dari kubala bleh thn lajunya if muntah dr dakapan keeper,bodjongo mampu lksanakan tugasnya...pemain syp n midfielder kena bekerja 100% utk win the ball.dlm masa yg sama jgn beri ruang pd syafiq rahin utk dpt freekick (sekarangni basko pun boleh ambik tendangan),mcm yg lain2 kata cikgu jan kena ada 2 strategi yg berbeza baru pening deme memikiorkan nya...

    Likes(0)Dislikes(0)
  8. robslam

    rase leboh kot kali neh lawan selangor, Jan Lambong bukan reti taktikal mende pon... coach yang dah takde orang nak tapi perak pegi amik...ater camtu jugak le ideanya... recap lawan selangor neh sejak tahun 2009 semuanyer mangkor, kecuali masa tahun 2010 raja azlan jadi coach menang 1 gol kat ipoh si nazri kamal skor, teman ada game tuh kat stadium... tu ler skali dah masuk 4 tahun neh merasa menang lawan red gian... player dah okay tapi selagi Jan Lambong jadi coach...rentikan ler... Pep Guardiola 4 tahun kat Barca pon orang buang walhal menang sampai 13 cup... Perak??? entah ler komeee....

    Likes(0)Dislikes(0)
    1. Raul hashim

      Pep guardiola tu bkn kena buang tp undur diri..dia nk rehat..tp jan lambomg tu memang patut kena buang mcm mat zan mat aris..amik je jang jung.

      Likes(0)Dislikes(0)
  9. Spectator

    Saya cuma ingin luahkan pandangan.......

    Pasukan perlu menggunakan formasi 4-5-1,ianya agar dapat memperketatkan di bahagian posisi tengah termasuk dapat menyekat semua gerakan gerakan pasukan lawan.

    dimana jelas kelihatan ketika skuad Red Giant tumbang dikaki skuad Rusa dimana Shafiq Rahim berada didalam kelas terendah kerana seringkali gagal melakukan gerakan akibat Amri Yahya diikat dengan rapi oleh barisan pertahanan dan pemain tengah skuad Rusa. barisan cadangan dari hati saya

    Khairul Amri -PG
    Shahrom abd kalam -CB
    Hishamuddin -CB
    Nasir -LB
    Shazwan roslan - RB
    Nazri kamal - CDM
    Wan Hosein - CM
    Michal Kubala -CAM
    Khalis ibrahim -RWM
    Isma alif - LWM
    Albert bodjongo dika - ST

    diseparuh masa kedua mungkin selepas 20 ke 30 minit,Akmal rizal dapat mengantikan Wan hosein dan meletakkan Kubala ditempat Wan hosein dan Akmal rizal diletakkan di tempat Michal kubala. ini bagi sentiasa memantapkan diposisi tersebut.Shahrom kalam,Hishamuddin atau Nasir akan dikeluarkan dan memasukkan Khairy zainuddin atau K.Nanthakumar bagi terus mengekalkan kekebalan dibahagian pertahanan.

    Likes(0)Dislikes(0)
    1. helmirizal

      khalis ibrahim & isma alif, dua watak yang paling jarang kita lihat diturunkan oleh cikgu jan musim ini..teman pon tak tau apa masalah yang menyebabkan deme tidak ditunkan....

      tidak guna diambil, kalo tidak diturunkan....

      Likes(0)Dislikes(0)
  10. Ipohman

    Andai permusuhan menjadi permainan,
    Biar gelanggang jadi saksi pertaruhan,
    Sajikan mutu dan kualiti yang diharapkan,
    Pasti sorakan semangat menjadi laungan...

    Usaha menjelma kejayaan... Kejor Yop Kejor...

    Likes(0)Dislikes(0)
    1. syidi Post author

      Meniti Ombak Keringat sekarung,
      Merak seraya kelibat sebati.
      Berdiri bersorak semangat disanjung
      Perak selama nya tersemat dihati.

      Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.