TM Piala Malaysia – Kumpulan C – Kedah Vs Perak (result)

TM Piala Malaysia

Jumaat 17 September 2010
Stadium Darul Aman
8:45PM

Kedah 2 – 0 Perak

Perlawanan kedua TM Piala Malaysia 2010 di Alor Setar menyaksikan Perak tumbang dengan jaringan 2 – 0 dalam saingan kumpulan C malam tadi. Baddrol Bakhtiar menjadi duri dalam daging kepada pasukan Perak apabila menjaringkan kedua-dua gol tersebut.

Seawal minit ke 2, Kedah berada di depan apabila penjaga gol Perak, Kamarul Effendi sekadar “menampan angin” bola sepakan percuma Baddrol dari jarak 20 meter. Sepakan percuma tersebut berpunca dari kekasaran yang dilakukan oleh Syazwan ke atas Baddrol.

Gol tersebut sememangnya menaikkan semangat pasukan Kedah untuk terus mengasak ke kubu pasukan Perak. Rentetan serangan tanpa henti tersebut Kedah berjaya mendapatkan gol kedua, juga melalui rembatan Baddrol Bakhtiar dari luar kotak penali Perak pada minit ke 41. Tamat separuh masa pertama kedudukan masih kekal Kedah mendahului 2 – 0.

Separuh masa kedua, Perak membuat pertukaran dengan mengeluarkan Thevaggaran dan Isma Alif serta memasukkan Nasriq dan Khalis Ibrahim. Sedikit perubahan berlaku apabila Perak mula melancarkan serangan ke kubu lawan namun tiada serangan merbahaya.

Kemasukkan Nurridzuan yang menggantikan Wan Hossen memberikan sedikit impak kepada jentera serangan Perak yang lebih menguasai permainan pada lewat babak kedua. Walaupun anak didik Raja Azlan Shah berusaha untuk mencari jaringan, benteng pertahanan Kedah masih kental bertahan sehingga wisel penamat ditiup oleh pengadil perlawanan.

Kesebelasan Utama:

Kamarul Effandi (PG)
Thevaggaran – 1
Syazwan
Arif Ismail
Wan Azwari
K. Nanthakumar
Shafuan Adli
Isma Alif – 2
Nazri Kamal
Wan Hossen – 3
Shahrizal Saad

Pertukaran:

Nasriq – 1
Khalis Ibrahim – 2
Nurridzuan – 3

Keputusan Perlawanan Lain 17 September 2010:

Kumpulan A

Negeri Sembilan 1 – 1 Plus FC
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi

PKNS 0 – 1 Kelantan
Stadium MBPJ, Kelana Jaya

Kumpulan B

Pahang vs Kuala Lumpur (ditunda)
Stadium Darul Makmur, Kuantan

Sabah 2 – 2 Terengganu
Stadium Likas

Kumpulan C

ATM 1 – 1 Johor FC
Stadium MP Selayang

Kumpulan D

T-Team 4 – 0 Perlis
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah

Felda United 1 – 4 Selangor
Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras

Likes(0)Dislikes(0)

8 thoughts on “TM Piala Malaysia – Kumpulan C – Kedah Vs Perak (result)

  1. YB Post author

    Salam semua....

    Sangat sangat jarang teman nak posting pada artikel game nih tambahan kalau jadi orang pertama tapi teman cuma nak bagitau pada semua yang membaca dan terbaca komentar teman nih.

    Terima kasih pada rakan-rakan yang sudi hantor sms berbaur kutukan dan makian kepada teman hasil dari gol pertama Kedah yang rata-rata kome katakan 'gol bodoh' tuh.

    Yer teman paham kome marah dengan gol tuh, itulah gunakan SDN, kalau tak puas hati kome-kome boleh luahkan kat ruangan komentar, jangan hantor ke telefon teman, bukan teman Kamarul Effendi teman YB.

    Kot ye pun nak lepas geram jangan le kat teman, udah letih teman melayan SMS orang ni. Bukan kome je marah, teman, peminat lain dan sape-sape yang tengok cara gol tu masuk pun musti marah, tapi hanya keeper tuh je tau kenapa jadi macam tu. Ingat yob !!! tak puas hati komen kat sini, bukan kat telefon teman...faham !!!

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. spectator

    salam..

    perak kembali bermain cara lama....

    sebelum perlawanan malam tadi, teman anggap kemungkinan skuad boleh bermain paling tidak seperti sebelum bermain 10 orang ketika lawan ATM. bersemangat teman membatalkan semua aktiviti malam tadi selepas dapat info dari yb ada 'live' di tv...tapi hasilnya amat mengecewakan...

    dari kesilapan 'budak sekolah rendah' penjaga gol, sehinggalah kepada rentak tiada arah tuju, semuanya dipertontonkan...teman hairan juga apa dah jadi dengan pemain-pemain kita..? biarlah kalah tapi dengan cara yang memuaskan hati...ini teman tengok macam baru sehari dua berkumpul berlatih...sebagai contoh apabila seorang pemain dapat bola, kawan-kawan lain semua berterabur posisi sampaikan pemain2 kedah mudah tutup semua ruang..

    skuad juga menampakkan dengan jelas kita kurang penyerang berkualiti...Izzat tu ok dia licik, namun tak langsung merbahaya...dan macam mana dia nak menyelit lepas 2 orang centre back kedah dengan corak melambung tiada hala tuju...penyakit lama juga berulang, tak tau nak 'hold' bola...

    teman harap ini kali terakhir dalam piala malaysia perak main begini..ayuh...bangkit! apa nak ditakutkan dengan pasukan lain..mike semua pun ada kaki jugak...ayuh kita nantikan perlawanan dengan johor fc isnin ni...ada live lagi di astro arena...teruskan menyokong ...!

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. sunrise

    salam..

    Teman tidak langsung kecewa dengan mutu pengadilan pada kali ini,kerana sememangnya pengadil yang ditugaskan pada kali ini sebenarnya telah menunjukkan satu sikap yang jujur demi memastikan suasana di stadium darul aman terus aman dan makmur.

    Walaupun gawang gol pasukan Perak bolos sebanyak 2 kali, ianya bukanlah satu kesilapan yang dilakukan oleh barisan pertahanan,tetapi ianya satu kelalaian oleh penjaga gol itu sendiri.Gol yang pertama sukar untuk dberikan komentar kerana seperti YB cakap hanya penjaga gol sahaja yang tahu bagaimana dan apa yang terjadi???

    Masalah pada perlawanan kali ini,pemain dari posisi tengah tidak melakukan gerakan gerakan menarik seperti mana yang telah dibuktikan mereka sendiri ketika aksi di dalam perlawanan persahabatan sebelum sebelum ini,terutama ketika menentang skuad SDM KEPALA BATAS di stadium Lumut,terlalu banyak aksi aksi yang bagus ditunjukkan. Takkan pemain pemain hanya mahu dikenali hebat ketika didalam perlawanan persahabatan sahaja.

    Teman juga mengharapkan coach akan dapat menurunkan Fauzi Kassim mungkin untuk 60 minit yang pertama dan sejurus selepas itu, bolehlah memasukkan Nurridzuan atau Khairul Izzat sebagai pemain gantian. Apa yang saya perhatikan pemain pemain tersebut akan mampu melakukan sesuatu apabila dijadikan pemain gantian,seandainya Isma Aliff, Khalis Ibrahim dan Wan Hossein digandingkan bersama mereka dalam perlawanan.

    Apa yang teman perhatikan prestasi Nazri Kamal agak merudum,malahan beliau juga kerap kali menghancurkan strategi rakan sepasukan. Beliau gemar bermain ala ala futsal.Diharapkan coach rehatkan pemain tersebut dan gandingkan Wan Hossein,Safuan Adli,Isma Aliff,Khalis Ibrahim dan mungkin kita boleh gandingkan juga dengan Nurridzuan dibahagian tengah.

    Pertahanan tidak dinafikan,dimana Ariff Ismail sentiasa bermain cemerlang,tambahan pula prestasi Syazwan Roslan yang juga semakin meyakinkan.

    Likes(0)Dislikes(0)
  4. ihsan

    Perak tidak lah bermain seburuk yang disangka...
    cuma ketiadaan peledak menghampakan Perak..
    pemain telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan begitu baik sekali...
    pemain terbaik perak bagi aku ialah K. Nanthakumar..sentiasa mengerakkan bahagian tengah dengan tenang dan lancar sekali..harap dengan Shahrizal nanti, Perak akan dapat menyumbat gol, dan menyudahkan peluang yang ada didepan mata..
    Still not finish yet for Perak........semangat melawan Perak adalah kekuatan Perak sejak dari dulu lagi...dan Perak akan cuba untuk mengulanginya dalam kempen Piala Malaysia 2010.

    Likes(0)Dislikes(0)
  5. zizou85

    Percaturan meletakkan Wan Hussien nyata tidak menjadi..malah merugikan pasukan..manakala Nazri perlu kembali ke posisi Attacking Midfielder.. Khalis perlu bermain...

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.