TM Piala FA – T-Team Vs Perak (review)

TM Piala FA

Selasa 16 Februari 2010
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah
8:45PM

Kempen TM Piala FA 2010 memasuki pusingan kedua dengan sejumlah 8 lagi perlawanan dilangsungkan malam esok antara lain melibatkan pasukan Perak yang bertandang ke Kuala Terengganu menentang pasukan T-Team pada perlawanan timbal balik pertama.

Perak pada perlawanan sebelum ini berjaya menewaskan Perlis dengan keputusan 2 – 1 di Stadium Perak setelah mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan di Kangar manakala pasukan T-Team menang 4 – 0 secara aggregat ke atas Shahzan Muda dari Pahang.

Kemenangan bertemu Perlis tempohari tidak seindah yang disangka apabila skuad seladang kehilangan 3 orang pemain kerana memungut kad kuning kedua dan 4 orang lagi pemain turut tidak dapat dibawa ke Kuala Terengganu kerana pelbagai masalah.

3 pemain yang digantung perlawanan ialah ketua pasukan, K. Nanthakumar, Nazri Kamal dan pemain sayap kiri lincah Hafiz Abdul Rahman. Manakala penjaga gol Khairul Izwan dan pemain pertahanan S. Sathiakumaran masih belum pulih dari kecederaan sebelum ini.

Turut berada dalam senarai pemain yang ditinggalkan ialah Razali Umar akibat kecederaan lutut bersama-sama seorang lagi penyerang, Saufi Sa’aidi yang mengalami demam panas berpanjangan selepas perlawanan menentang Perlis tempohari.

Situasi terkini pasukan sudah tentu mendatangkan rasa cemas kepada penyokong-penyokong Perak namun jurulatih Raja Azlan Shah tetap yakin dengan kemampuan skuad bimbingannya untuk sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri di tempat lawan.

“Kita mampu mengikat pasukan Perlis yang dibarisi beberapa pemain kebangsaan di gelanggang mereka sebelum ini dan saya tidak nampak kenapa pemain-pemain kita tidak mampu untuk melakukannya ketika menentang pasukan T-Team pula” ujar beliau.

“Tanpa kehadiran Razali Umar dan Saufi Sa’aidi di barisan serangan, ianya akan membuka peluang kepada pemain-pemain lain terutama seperti Fauzzi Kassim untuk menonjolkan diri di samping Shahrizal Saad untuk menghasilkan jaringan gol” jelasnya lagi.

“Kita berharap pemain-pemain yang diberi tanggungjawab dapat melaksanakan apa yang diaturkan sebaik mungkin dan seboleh-bolehnya menjaringkan gol awal untuk memberikan tekanan kepada pasukan tuan rumah sebelum perlawanan timbal balik kedua di Ipoh nanti”

Nota: Liputan semasa akan disiarkan oleh krew yang bertugas.

Jadual perlawanan Piala FA – 16 Februari 2010

Selangor vs PKNS FC
Stadium Shah Alam

Felda United FC vs Pos Malaysia
Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras

Plus FC vs Kuala Lumpur
Stadium MBPJ, Kelana Jaya

PDRM vs Negeri Sembilan
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi

Sarawak vs Terengganu
Stadium Sarawak, Kuching

ATM vs UiTM
Stadium Majlis Perbandaran Selayang

Kedah vs Kelantan
Stadium Darul Aman, Alor Setar

Semua perlawanan dilangsungkan pada 8.45 malam

YB Corner

Likes(0)Dislikes(0)