Politiking Dalam MSN Oleh Exco Sukan Perak

SUKMA Melaka 2010

Pengirim: Izham Irwan
Tarikh Email: 25 Januari 2010 11:44 PM

Sukan Malaysia XIII (SUKMA) akan diadakan di Melaka pada bulan Jun 2010 tahun ini. Bagi tujuan persediaan awal setiap pasukan dan arahan dari Majlis Sukan Negeri Perak (MSN), Persatuan-Persatuan sukan yang menyertai kejohanan tersebut dikehendaki melantik pengurus dan jurulatih bagi membuat persediaan sebelum menghadapi kejohanan sebenar.

Nama-nama mereka telah pun dimajukan ke pihak MSN melalui Persatuan masing-masing dan pada dasarnya telah diterima dan dipersetujui oleh Pengarah MSN. Lanjutan daripada itu, beberapa mesyuarat telah diadakan oleh pihak MSN dengan semua pengurus-pengurus pasukan bagi tujuan memantau persiapan dari masa ke semasa.

Semua Pengurus pasukan dan jurulatih, telah diwajibkan untuk menghadirkan diri di satu bengkel yang dianjurkan oleh MSN, di Cameron Highland dari 4 Oktober 2009 hingga 6 Oktober 2009 yang lalu. Semua pasukan perlu menetapkan sasaran pingat dan membentangkan kertas kerja untuk makluman pegawai-pegawai MSN.

Antara saranan penting pengurus-pengurus pasukan di bengkel tersebut supaya persiapan pasukan dapat berjalan dengan lancar ialah, memohon pihak MSN mengeluarkan surat perlantikan pengurus dan jurulatih serta perbelanjaan yang diperlukan oleh setiap pasukan.

MSN pada masa yang sama telah berjanji akan memenuhi permintaan ke atas kedua-dua perkara tersebut dan akan dilaksanakan pada awal bulan November 2009 lalu. Setelah jaminan diberikan oleh pihak MSN dan Y.B Zainol Fadzi sendiri selaku Exco Sukan yang hadir di majlis penutup bengkel tersebut, pemilihan atlit telah pun bermula pada November 2009 yang lalu dan masih di dalam peringkat latihan seperti mana yang dijadualkan.

SUKMA adalah satu kejohanan bertaraf kebangsaan dan sudah pasti usaha serta inisiatif perlu disemadikan di jiwa setiap pengurusan pasukan. Ada di antara pengurus pasukan yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri, semata-mata untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat, ditambah dengan keyakinan akan mendapat peruntukan yang dijanjikan.

Sehingga kini, apa yang jelas ialah janji yang diucapkan hanya tinggal janji di mana satu sen pun wang peruntukan belum disalurkan oleh MSN kepada semua pasukan dan surat lantikan kepada pegawai pasukan juga masih tidak dikeluarkan.

Di dalam kerancakan serta semangat yang berkobar-kobar untuk persediaan ke SUKMA XIII, beberapa Pengurus pasukan telah melahirkan rasa kecewa di atas sikap Y.B Zainol Fadzi – Exco Sukan Perak, yang mencampuri urusan pemilihan pengurus-pengurus pasukan yang telah dilantik oleh Persatuan masing-masing.

Inilah punca sebenarnya surat lantikan kepada semua pengurus pasukan masih belum dikeluarkan dan peruntukan kewangan tidak disalurkan. Y.B Zainol Fadzi telah mengarahkan Pengarah MSN supaya jangan mengeluarkan surat lantikan dahulu atas sebab-sebab tertentu yang beliau cipta. Dalam keadaan ini, sudah pastilah Pengarah MSN akan berada di dalam keadaan tersepit kerana kalau ingkar arahan, buruk padahnya.

Mengikut tradisi di mana-mana SUKMA sebelum ini, setelah Persatuan masing-masing mencalonkan nama pengurus dan jurulatih bagi acara yang disertai, MSN hanya mengesahkan sahaja perlantikan tersebut dan surat lantikan dikeluarkan tanpa ada campurtangan mana-mana pihak ataupun dipolitikkan.

Persoalan kami di sini ialah, wajarkah seorang Exco Sukan mengambil kesempatan dengan jawatan beliau dan menggunakan kuasa beliau untuk merombak kedudukan dan ‘mencantas’ pengurus-pengurus pasukan yang telah dipilih oleh Persatuan masing-masing?

Memang hal yang sedemikian tidak pernah berlaku semasa lain-lain Y.B memegang jawatan sebagai Exco Sukan Perak sebelum ini. Adakah kuasa untuk mengesahkan perlantikan dari Persatuan-Persatuan tidak diberi sepenuhnya kepada Pengarah MSN seperti mana sebelum ini dan Pengarah hanya menjadi pak turut kepada kehendak beliau?.

Apakah tindakan beliau ini tidak bermotifkan politik?. Seandainya tidak dipolitikkan, kenapa pengganti kepada pengurus yang telah dilantik oleh Persatuan masing-masing, terdiri dari ‘orang-orang’ Y.B Zainol Fadzi sendiri?. Mereka adalah orang-orang yang rapat dengan beliau dan berkepentingan dalam urusan-urusan tertentu dengan Y.B Zainol Fadzi.

Bukan menuduh, tetapi ianya jelas dan nyata. Mungkin perkara ini akan terdedah sekiranya dibawa ke pengetahuan pihak SPRM untuk disiasat. Dengan tindakan salah guna kuasa, beliau mungkin akan berhadapan dengan tindakan undang-undang yang akan diambil oleh beberapa orang pengurus yang tidak berpuas hati setelah di ‘cantas’.

Bukan kami tidak menghormati Y.B Zainol Fadzi sebagai Exco Sukan Perak, tetapi tindakan rakus beliau membuatkan kami semua terfikir bahawa orang seperti ini tidak perlu dihormati lagi kerana sikapnya sendiri.

Beliau perlu sedar bahawa jawatan Exco yang disandang bukanlah satu jawatan yang dipilih dari kelayakan beliau sebenar, tetapi sekadar mengisi jawatan yang diwujudkan untuk pembangunan sukan di Perak.

Adakah beliau layak untuk menilai siapa yang boleh atau tidak untuk mengurus sesebuah pasukan yang beliau tidak terlibat secara langsung?. Lagi pun, patutkah beliau berbuat demikian dalam ertikata sukan yang sebenarnya?.

Kalau macam itu, tak perlulah semua Persatuan ada pengerusi nya, biar Exco sahaja yang tentukan segala-galanya sekira ingin menunjukan kuasa. Sebagai Exco, beliau hanya perlu memantau dan memberi nasihat yang sewajarnya untuk kebaikan sesuatu bidang sukan dan bukannya mencantas sesuka hati mengikut perasaan dengan kuasa yang ada, itu pun untuk sementara. Apakah beliau berbuat demikian untuk menjaga kepentingan peribadi politik beliau?.

Apa akan terjadi sekiranya pengurusan pasukan bertukar?, apatah lagi SUKMA XIII hanya tinggal 4 bulan sahaja. Sudah tentu pengurusan baru akan merombak segala-galanya. Kalau Exco pun boleh merombak senarai asal, takkan lah mereka tak boleh, tambahan kuasa sudah ada dan Y.B Zainol Fadzi di belakang mereka.

Pemilihan atlit baru akan dijalankan dan jurulatih juga akan ditukarkan. Tidakkah ini membuang masa dan duit dan apakah perasaan pegawai-pegawai yang telah digugurkan nanti?, sedangkan sebelum ini nama mereka telah di calonkan oleh Persatuan masing-masing dan mereka pula menaruh harapan untuk bersama-sama pasukan tersebut bagi menggalas cabaran.

Lebih memburukkan keadaan, lantikan sebagai penyelaras setiap sukan di SUKMA XIII, mungkin akan dibuat terhadap orang-orang Zainol bagi tujuan menambah pegawai penyelaras yang akan bertugas. Memanglah selagi kita ada kuasa, kita boleh buat apa sahaja, tetapi persoalannya, adakah orang-orang ini tahu tentang selok belok sukan yang akan diselaraskan nanti. Sudah pasti kakitangan MSN akan dijadikan tempat rujukan sekiranya masalah timbul nanti. Jadi, apa perlunya orang yang tak berkenaan dilantik?.

Tepuk dada tanya selera.

Sekiranya orang yang berada di kedudukan nombor satu dalam bidang sukan di Perak bersikap sedemikian rupa, siapakah pula yang akan menegur dan membetulkannya?.

Kakitangan di bawah sudah tentu tidak boleh, tambahan pula keegoan Zainol memang terserlah. Kini hanya tinggal Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir, kerana DS Zambry lah yang bertanggungjawab melantik Zainol sebagai Exco Sukan dan kami percaya bukan sikap sebegini yang diharapkan oleh DS Zambry dari Zainol Fadzi.

Oleh itu harapan kami ialah DS Zambry dapat melakukan sesuatu yang terbaik sebelum terlambat supaya kudis yang sedang menular tidak menjadi luka yang tidak dapat disembuhkan lagi dan menjadi  isu yang besar kepada rakyat Perak yang cintakan sukan.

Likes(0)Dislikes(0)

One thought on “Politiking Dalam MSN Oleh Exco Sukan Perak

  1. gerak_khas_09

    Assalamualaikum....

    Diharapkan perkara sebegini rupa mampu untuk dibendung seandainya sikap YB ZAINOL dapat diubah.Janganlah campuri urusan yang bukan ada kene mengena dengan anda YB Zainol.

    Diharapkan DS Zambry tolong pantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap YB Zainol yang telah memalukan kita semua. Seandainya DS Zambry ingin menyaksikan sukan di Perak terus maju tolong ambil tindakan yang sewajarnya.

    Salam 1 MALAYSIA

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.