Surat Terbuka Kepada Peminat Perak

Pengirim: Izham Irwan
Tarikh Email: November 21, 2009 10:31:14 PM

Presiden Persatuan Bolasepak negeri Perak (PAFA) Dato’ Seri Ir Mohd Nizar Hj Jamaludin sepatutnya diberi ruang dan peluang untuk menangani masalah yang dihadapi oleh PAFA dengan FAM. Ini kerana hutang yang ditanggung oleh PAFA adalah hutang yang berpunca dari pengurusan PAFA pada tahun 2006 hingga 2008 yang lalu.

Tidak perlu Nizar melepaskan jawatannya, sedangkan masih ada ruang untuk mengatasi masalah tersebut walaupun terdapat pihak yang mempunyai agenda politik mendesak beliau berbuat demikian. Kita perlu faham bahawa masalah dengan FAM hanyalah merupakan cadangan dari Jawatankuasa Pertandingan kepada Jawatankuasa Eksekutif FAM dan belum di putuskan secara muktamad.

Sebagai Presiden yang bertanggungjawab, Nizar tidak akan membiarkan perkara tersebut berlarutan, walaupun beliau boleh berbuat demikian. Pujian harus diberi kepada Nizar, kerana sepanjang penglibatan beliau dalam PAFA, tiada hutang yang ditanggung oleh Persatuan dan tidak timbul masalah pembayaran elaun dan gaji kepada jurulatih dan pemain-pemain serta kakitangan pengurusan.

Beliau juga telah menaikkan gaji kakitangan di bahagian pentadbiran PAFA sedangkan selama bertahun-tahun berkhidmat dengan PAFA, kakitangan tersebut tidak pernah diberikan kenaikan gaji oleh Presiden-Presiden PAFA sebelum ini.

Tiba-tiba terdapat beberapa pihak yang melenting, diantaranya bekas pemimpin PAFA dan beberapa orang Ahli Majlis dengan membuat kenyataan di akhbar, mendesak supaya Nizar berundur dan melepaskan jawatan. Sebenarnya merekalah bekas pemimpin yang telah meninggalkan hutang serta bebanan kepada PAFA selama ini dan telah pun di singkirkan dari PAFA.

Di sebalik kenyataan yang dibuat, mungkin ada agenda yang tersembunyi di sebalik tabir. Kenapa mereka perlu menyalak sekarang, sedangkan mereka tiada kena mengena langsung dengan PAFA. Mereka berbuat demikian mungkin kerana ingin mencari publisiti murahan atau di sebabkan memegang bendera berlainan warna.

Semasa DYTM Raja Nazrin menjadi Presiden PAFA, tuanku tidak dapat bertahan lama kerana walaupun tuanku berusaha untuk mengisi tabung kewangan PAFA, pegawai kanan yang diharapkan oleh beliau telah menyalahgunakan peruntukan kewangan yang ada.

Ketika ke luar negara untuk memilih pemain import, kuncu-kuncu beliau dibawa bersama tanpa perkenan tuanku. Tidak kah ini menyalahgunakan kuasa. Kerana sikap tamak dan rakus beliau untuk mengaut keuntungan selagi memegang jawatan, apajua kerja-kerja yang mendapat pulangan yang lumayan, semuanya disapu bersih.

Setelah hal yang sedemikian dapat dihidu oleh DYTM tuanku, dengan itu tuanku mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan selaku presiden PAFA. Samada jujur atau tidak pegawai tersebut, kita fikir-fikirkanlah.

Sekiranya kita berfikir secara professional, wajarkah sebagai seorang Ahli Majlis kita mendesak presiden untuk meletak jawatan tanpa sebab yang munasabah sedangkan kita tahu punca masalah sebenar. Semasa mula-mula mengambil alih kepimpinan PAFA,  semua Ahli Majlis  memuji Nizar dan berikrar akan menyokong kepemimpin beliau.

Lagipun ketika itu, Nizar adalah MB Perak. Biasalah pada golongan hipokrit ini, sikap mengampu dan bermuka-muka telah bersemadi di jiwa mereka, tanpa disedari oleh Nizar. Ketika itu, Nizar berharap dan percaya, bahawa semua Ahli Majlis akan membantu beliau untuk memastikan Perak akan cemerlang dalam sukan bolasepak tanpa mengira warna bendera.

Itulah kesilapan besar yang Nizar telah lakukan. Kalau tidak masakan Zainol Fadzi, musuh politik beliau, dilantik sebagai pengurus pasukan Piala Presiden. Jadi apabila kemelut dengan FAM ini melanda PAFA, kenapa tiba-tiba mereka tidak memberi sokongan dan membantu Nizar, sebalik nya menikam beliau pula.

Mudah saja jawapannya, kerana Nizar bukan lagi MB Perak, dan tidak perlulah Nizar diampu ataupun ditatang mahupun disokong. Lagi pun, Nizar bukan orang “mereka”. Selain daripada itu, terdapat ‘tangan-tangan ghaib’ yang telah merancang untuk mengambil alih pengurusan PAFA.

Bayangan cabinet PAFA musim 2010 – 2012 telahpun disusun dan beberapa Ahli Majlis yang tidak bersekongkol dengan mereka akan dinyahkan dari PAFA, termasuk Naib Presiden, Dato’ Seri Abdullah Hishan dari Taiping. Sekiranya Nizar tunduk kepada kehendak mereka, sudah pasti pengurusan di PAFA bertambah kusut  dan siapakah yang akan mentadbir PAFA?

Kesempatan inilah yang ditunggu dan akan diambil oleh mereka untuk membuat percaturan yang licik untuk merampas kuasa. Jelas termaktub dalam perlembagaan PAFA, jawatan Presiden dipilih semasa AGM dan untuk mengadakan AGM seterusnya, ialah pada tahun 2010.

Oleh itu perlukah EGM diadakan sedangkan masalah dengan FAM boleh diselesaikan sebelum tamat tarikh tempoh yang diberikan. Lagipun tahun 2010, tak sampai  dua bulan pun. Kalau mereka mempunyai prinsip, meletak jawatan adalah cara yang terbaik sekiranya tak sehaluan dengan ‘boss’ tetapi yang aneh nya, mereka tidak mahu meletakkan jawatan. Kenapa?

Sebabnya mereka inginkan kuasa untuk mencapai hajat yang diidamkan selain dari menggunakan Persatuan sebagai tempat ‘cari makan’. Setelah Nizar dijatuhkan di persada negeri, maka terciptalah tiga bendera dalam PAFA iaitu bendera PERAK, UMNO dan PR.

Tidak kah ini di namakan ‘politik’ dan siapa yang memulakannya. Jawapannya mudah sahaja, Ahli Majlis yang terdiri dari ahli UMNO lah yang memporak perandakan PAFA dan menyebarkan fitnah dan mencipta masalah dari masa ke semasa.

Mereka menjalankan peranan sebagai ‘jarum’ ke daerah-daerah tertentu bagi tujuan merealisasikan hasrat terpendam. Terlebih dahulu, mereka memujuk supaya Zainol Fadzi bersetuju mengambil alih kepimpinan PAFA, sudah pasti penat lelah mereka akan dapat pulangan yang setimpal kemudian hari dan di beri imbuhan oleh Zainol.

Bukankah tradisi ini diamalkan dalam pemilihan UMNO? Siapa yang naikkan ‘boss’ akan diberi ganjaran yang setimpal. Selepas itu, mereka akan menuntut apa yang perlu sebagai balasan, termasuklah jawatan dalam Persatuan kerana alasan mereka, Zainol tidak akan berjaya tanpa usaha mereka selama ini.

Semua tindakan ini jelas satu tindakan yang ingin mengheret PAFA ke kancah politik dan menjadikan PAFA satu platform politik bagi mereka. Sekiranya Zainol terperangkap dengan mainan kumpulan ini, karier politik beliau akan malap dan boleh menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang Exco.

Oleh itu adalah lebih baik Zainol tumpukan sahaja pembangunan sukan yang ada di seluruh pelusuk negeri Perak dan menjaga KPI beliau. Persoalannya, mampukah Zainol menjadi Presiden yang ada kelas tersendiri dalam keadaan beliau yang sudah tentu akan sibuk sebagai seorang ADUN dan portfolio yang disandangnya.

Seandainya beliau mahu pula menjadi pengurus pasukan, supaya dilihat lebih menonjol, siapakah yang akan mengurus pasukan nanti. Sudah pastilah penolong kepada beliau yang kita sendiri belum pasti siapa, tetapi tidak salah jika kita andaikan, salah seorang dari kumpulan ini akan di lantik.

Tak perlulah kita ambil contoh yang jauh, cukuplah semasa penolong pengurus beliau mengendalikan pasukan Piala Presiden Perak, terdapat banyak tuntutan yang mencurigakan telah dikemukakan semata-mata untuk menyapu kantung PAFA, tetapi berjaya dikesan oleh pengurusan PAFA.

Ianya juga telah sampai ke pengetahuan keluarga pemain dan sembang-sembang di warung-warung di Ipoh, ada yang mengatakan beliau ‘membuat duit’ dengan kepercayaan yang diberi oleh Zainol. Samada Zainol selaku Pengurus tahu atau pun tidak, kita tak pasti.

Sebagai Pengurus, Zainol kena tahu dan sekiranya beliau tahu, kenapakah beliau menyokong tuntutan tersebut tanpa menyemaknya terlebih dahulu, ataupun beliau segaja menutup sebelah mata kerana sebab-sebab yang tertentu? Seandainya pegawai serupa ini diberikan jawatan dalam pengurusan pasukan yang lebih besar, tidak kah beliau akan ‘makan besar’. Tepuk dada tanya selera.

Masih ada ruang untuk Nizar memperbaiki serta menangkis serangan dari ‘musuh dalam selimut’ beliau. Singkirkan saja Ahli Majlis yang dilantik oleh beliau yang didapati sahih menikam beliau. Bagi AJK yang yang dipilih di AGM pula, mereka  seharusnya dikenakan tindakan disiplin kerana menentang secara terbuka kepimpinan Presiden dan membuat kenyataan di akhbar tanpa kebenaran Presiden.

Kita tidak arif tentang perlembagaan PAFA, tetapi lazimnya, sekiranya kenyataan akhbar hendak dibuat oleh sesiapa pun selain dari Presiden, kebenaran mestilah dipohon terlebih dahulu. Jelas, kenyataan yang dibuat oleh Khairuddin, selaku Naib Presiden, langsung tidak menyebelahi Nizar. Mengapa dan kenapa?

Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai, Nizar bukanlah pilihan beliau dan kuncu-kuncunya untuk menerajui PAFA semasa AGM pada tahun 2008 yang lalu. Walau bagaimanapun, beliau terpaksa akur dengan kehendak ahli gabungan, dan kemenangan beliau  sebagai Naib Presiden, adalah di sebabkan percaturan yang di buat melalui SMS kepada gabungan-gabungan tertentu dan strategi yang dipraktikkan sejak penglibatan beliau selama 30 tahun dalam PAFA lagi.

Jika tidak berbuat demikian, beliau sudah pasti akan tersingkir. Dengan keadaan politik di Perak kini yang tidak menyebelahi Nizar, peluang keemasan ini diambil oleh beliau untuk membalas dendam dan menyingkirkan Nizar dengan menjadikan salah seorang daripada ahli majlis yang mempunyai jawatan ‘exco’ sebagai ‘batu loncatan’.

Tanpa beliau sedari, sokongan dari daerah-daerah yang menjadi ahli gabungan PAFA dan ahli majlis adalah di perlukan, dan bukan nya mudah untuk mempengaruhi semua daerah kerana kebanyakannya sudah celik. Mereka menyedari peranan beliau dan sumbangan beliau kepada PAFA selama ini tidak sehebat mana dan boleh di pertikaikan, terutama nya dengan jawatan beliau sebagai Naib Presiden yang hanya duduk di kerusi sahaja.

Dikatakan hendak membantu dari segi kewangan, ‘jauh panggang dari api’. Lagi pun, mereka berpendapat, khidmat Khairuddin telah sampai dipenghujungnya walaupun beliau sendiri tidak beranggapan sedemikian. Kebanyakan daripada daerah yang bergabung dengan PAFA telah pun bertukar pucuk kepimpinan dan bagi generasi muda yang cerdik, mereka tidak memerlukan pegawai yang hanya mementingkan jawatan untuk kepentingan diri.

Namun beliau masih disokong oleh daerah yang masih tidak bertukar wajah, inilah realitinya dalam Persatuan Bolasepak Daerah yang bergabung dengan PAFA. Ini kerana hubungan sebagai kawan dengan hanya mendapat habuan, secawan ‘kopi’ sudah memadai untuk mendapatkan sokongan.

Walau bagaimanapun, beliau masih berusaha supaya masih ada ruang untuk beliau bertahan di PAFA. Sekiranya Nizar enggan melepaskan jawatan dan masih menjadi Presiden PAFA, sudah pasti Khairuddin akan terkubur di mesyuarat Agong yang akan datang dan inilah ‘mimpi ngeri’ yang beliau amat takuti.

Oleh itu, usaha secara ‘senyap’ dengan penglibatan beberapa orang yang terpengaruh dengannya sedang dilakukan untuk menjatuhkan Nizar dan menaikkan seseorang yang masih kabur dalam perjalanan liku-liku yang berduri di dalam PAFA.

Oleh itu semua peminat Perak haruslah memahami situasi dalaman PAFA itu sendiri sebelum menerima bulat-bulat kenyataan dan kritikan dari pihak yang tidak bertanggungjawab.

Fikirkanlah secara terbuka, kerana dalam mana-mana Persatuan sukan di Malaysia, pegawai-pegawai yang suka bermuka-muka, pandai mengampu, yang sudah usang untuk berada dalam Persatuan, mempunyai kepentingan peribadi, inginkan populariti, difikirkan lebih layak untuk menjawat jawatan.

Bagi yang mempunyai idea, pandai bercakap, tidak menurut kehendak golongan tertentu, mereka dianggap sebagai ‘pengacau’ dan mesti di ‘cantas’, dengan apa cara sekali pun. Dengan berbuat demikian, bagaimanakah sesebuah Persatuan itu akan maju ke hadapan? Bukankah cantas mencantas ini hanya terdapat di dalam pemilihan part politik sahaja.

Kegagalan PAFA dalam melaksanakan apa jua perancangan adalah di sebabkan oleh :

  1. Persatuan itu di politikkan semata-mata untuk mengukuhkan kedudukan politik pihak tertentu dan pengikut-pengikutnya serta membuat keuntungan dengan kedudukan yang ada.
  2. Penglibatan orang politik yang mengenakan syarat terlebih dahulu sebelum menyertai Persatuan.
  3. Dana yang diperolehi untuk Persatuan tidak dimasukkan sepenuhnya ke tabung Persatuan di mana sebahagian daripadanya diambil untuk kepentingan politik.
  4. Perlantikan bagi jawatan Presiden dan Ahli Majlis tidak dibuat secara telus. (ada team A dan B)
  5. Setiausaha yang dilantik tidak berpengalaman dalam mentadbir Persatuan.
  6. Sikap ’neutral’  tidak diamalkan oleh pemegang jawatan dalam Persatuan.
  7. Sekadar berpuashati menjadi AJK walaupun sepatutnya telah berundur.
  8. Penjawat jawatan di daerah-daerah mudah terpengaruh dan dibeli, semasa pemilihan di AGM dan lantikan AJK di buat secara ‘package’ seperti di mesyuarat pemilihan Jawatankuasa bahagian.

Sebagai warga negeri Perak yang sayang dan cintakan bolasepak, marilah sama-sama kita fikirkan kaedah yang terbaik untuk menyelamatkan PAFA dari terus di monopoli oleh pihak yang tidak bertamadun ini. Selamatkanlah PAFA dari cengkaman mereka yang mempunyai kepentingan peribadi.

Mungkin kita boleh berkata, PAFA memerlukan individiu yang lebih layak dan mempunyai kredibiliti untuk membawa perubahan kepada PAFA serta menjamin kebajikan pemain, pegawai serta petugas terlibat. Persoalannya di sini, apakah Nizar tidak mempunyai ciri-ciri yang diperlukan seperti di atas.

Kita tidak usahlah bertanya kepada kumpulan yang hendak menjatuhkan Nizar, cuba kita ajukan soalan ini kepada pemain, pegawai dan petugas yang terlibat itu sendiri. Di situlah jawapan sebenar yang akan kita dapat. Jangan cakaplah fasal perubahan kepada PAFA, ahhh…..mengarut jer.

Cuba kita imbas balik kepimpinan semasa Ramli Ngah Talib, Tajul Rosli, dan Dato Zahid. Secara jujurnya, apakah perubahan yang kita nampak. Tidak ada apapun perubahan, hanya yang kita nampak, tumpuan hanya di pengurusan Liga Super dan di monopoli oleh orang politik menjadi pengurus pasukan.

Siapa yang menjadi Pengurus, kedudukan ini akan melonjakkan populariti beliau untuk kepentingan peribadi dan politik beliau. Betul, pengurus cari duit untuk pasukan tetapi berapa peratuskah dari jumlah sebenar sumbangan yang di perolehi, disalurkan kepada persatuan mahupun pasukan.

Selebihnya dibelanjakan ke mana. Kalau ikut logiknya, sekiranya kesemua sumbangan yang diperolehi disalurkan ke pasukan, tiada hutang yang akan ditanggung oleh PAFA. Sebab itu bolasepak dengan politik adalah dua perkara yang berbeza, tetapi sekiranya pengurusannya melibatkan orang politik, secara tidak langsung, bolasepak itu akan di politikkan sebagaimana orang itu berpolitik.

Tidak salahnya orang politik mahu menguruskan sesebuah pasukan bolasepak, tetapi biarlah pengurusan itu memperlihatkan ketelusan dan kemampuan sebenar beliau. Lagi pun tidak semestinya orang politik yang memegang jawatan dalan bidang sukan, akan memastikan kejayaan sesebuah pasukan kerana beliau harus sedar, lantikan yang dibuat untuk bidang sukan di peringkat negeri, adalah lantikan untuk memenuhi kuota exco yang ditetapkan dan bukannya berdasarkan kepada pengalaman atau kebolehan beliau dibidang sukan.

Bagi mengelakkan perkara tersebut, biarkanlah pasukan diurus oleh mereka yang tidak berkepentingan dalam politik atau perniagaan supaya apa sahaja pergolakan yang berlaku, persatuan itu tidak di politikkan. Jika sekalipun orang politik hendak menerajui PAFA, biarlah mereka bukannya ‘orang kuat kerajaan’ yang memegang portfolio sukan sahaja, kerana sekiranya beliau tidak memegang jawatan itu lagi, kesannya akan menimpa persatuan tersebut.

Sebagai peminat, kita pula tidak seharusnya meletakkan terus kepercayaan untuk beliau memimpin berdasarkan jawatan yang disandangnya. Inilah perubahan minda yang perlu di lakukan oleh pencinta sukan bolasepak di Malaysia.

Kita percaya, sekiranya, PAFA diterajui oleh pegawai yang telus seperti Nizar, pencapaian yang cemerlang dapat dicapai dengan izin Allah s.w.t. Bagi DS Zamry, masa untuk beliau bersama PAFA bukanlah begitu lama untuk ditunggu, tetapi bersabarlah untuk seketika.

Bincanglah bersama Nizar untuk menyelamatkan Perak tanpa mengira warna bendera. Dengan itu, beliau seharusnya memainkan peranan yang lebih efektif supaya Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) tidak dirampas oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Likes(0)Dislikes(0)

41 thoughts on “Surat Terbuka Kepada Peminat Perak

  1. anip

    Salam.

    Surat yang membuka minda bagi mereka yang terbuka mindanya untuk melihat akan apa yang terjadi sekarang ini. Bagus!!! Sedikit sebanyak akan merungkaikan segala persoalan yang berlegar- legar di dalan benak peminat bola sepak Perak.

    Kejor Yob Kejor!!!

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. syidi

    Salam..

    Satu pendedahan yang telus dan sahih. Inilah perkara yang dihebah-hebahkan selama ini. Saya hanya mendengar suara-suara berbisik selama ini tentang masalah ini, dan kini didedahkan secara keseluruhan. Bukanlah masalah yang meruncing sekiranya bolasepak tidak dipolitikkan. Ianya berlaku sebaliknya.

    Saya mula tersedar dengan kenyataan penulis yang mempertikaikan integriti 'dulu-dulu punya' pentadbiran yang tidak menyalurkan dana ke tempat sepatutnya. Dari situlah punca mengapa KWSP pemain tak dicarum dan gaji bulanan tersangkut. Betul dan saya setuju. Jika tidak masalah hutang tidak akan timbul langsung.

    Saya tidak gemar POLITIK! Bukan apa, kerana susah nak hidup sebab saya orang lurus bendul. Tak kira kerja di mana pun kalau tak pandai mengampu memang tak kan 'maju'. Manusia sekarang lupa Allah (tak semuala). Lebih gemar memuaskan hati manusia daripada mencari Redha Allah.

    Cukuplah. Masalah untuk diselesaikan. 'Tak perlu lagi bangkitkan isu hutang lapuk PAFA yang ada sebelum pengambilalihan jawatan Presiden'. Itu adalah kenyataan dalam akhbar tempatan hari ini. Mengapa mesti didiamkan? Mengapa tak perlu diungkit? Nak lepas tangan? Takut disiasat? Manusia kat Malaysia khususnya orang PERAK bukan bodoh, kalau dulu bolehlah, sekarangh zaman sains teknologi kaya dengan kemudahan IT sana sini dan minda sekarang sudah berubah, dan orang sudah boleh berfikir mana baik mana buruknya. Mereka sudah tahu hak bersuara mereka dan hak untuk mengetahui sesuatu.

    Tumpukan untuk selesaikan masalah secara 'cerdik@bijak'. Jangan letakkan kepentingan diri atau kepentingan sapa2 di depan sebaliknya utamakan persatuan@organisasi, visi dan misi demi bumi Perak tercinta.

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. abgmie

    Salam...

    Alhamdulilah dengan izin allah dapat lagi kita bersama dalam laman ini,teman ucapkan tahniah dan syabas kepada penulis kerana keterbukaan minda mike dalam menulis surat yang panjang ini,namun begitu apakah mike sedar bahawa,setiap ungkapan dan permasalahan yang mike ceritakan disini,tidak memberikan sebarang makna apabila ianya hanya diambil berat oleh warga SDN saje,teman buksn menidakkan ape yang mike kata,tapi realitinya selama ini apa yang kita maklumkan dilaman ini masih dipandang sepi dan tidak diberi perhatian pun oleh ahli majlis PAFA mahu pun peminat bola sepak Perak,deme lebih tertumpu kepada apa yang terpapar didada akhbar dan di kaca T.V.

    Teman juga bukannya menidakkan apa yang webmaster dan admin buat selama ini,tetapi apabila teman balik ke kampung,ramai kekawan teman lebih percaya kepada benda tu semua daripada apa yang tercatat didalam laman ini,walhal deme tu adalah pengikut DS Nizar,pulok tu deme kata teman yang tak tahu hal sebenor,apa yang penulis kata kan tu betul tapi jika diambil pendapat seorang kawan teman semasa pelancaran tabung RM 1,hari tu ada juga kebenarannya,ayat nya berbunyi begini "kalau pun betul hutang lapuk yang dibuat tu bukan DSNJ yang buat mengapa harus beliau yang nak settlekan,serahkan saje pada orang yang buat hutang tu,tak payah nak peningkan kepala,jangan deme hanya pandai nak tunjuk berani tapi kita tengok apa jadi bila kita serahkan kembali masalah ini pada deme deme ni" macam tu la ayatnya,bagi teman sape pun yang jaga PAFA ni teman tak kisah,janji bior la jujur dan telus.teman orang yang takde bendera bendera ni,sebab benda ni kotor, jijik,hina dan memualkan.

    Bagi teman islam tu suci,kiblat mike kiblat teman sama.esok ni mati pun dikafankan pun dengan kain yang sama warnanya.jadi fikir la adakah disebabkan perbezaan pendapat dan masalah hutang yang ditimbulkan oleh FAM ni kita nak menyalahkan satu dengan yang lain...pada teman sekarang ni lebih baik diam,tunggu dan lihat,karang tersilap kata karang lain pulak jadinya...kalau ada yang teman kata ni tak ikut selera mekome teman minta maap awal awal ekkkk....

    Likes(0)Dislikes(0)
    1. Lee Jr

      Salam,

      Abg mie,sedikit sebanyak pe yang penulis ni buat dapat membuka mata ahli2 SDN pada isu yang kite semua sibuk bincangkan sekarang..Dan sebab itu pihak admin siarkan surat penulis untuk tatapan ahli2 SDN.Supaya kita tahu tentang situasi sekarang dan cuba terangkan pada pihak2 luar.Sekurangnya kita boleh suarakan pendapat dari ahli2 SDN kepada orang luar.Ini lah cara kita membantu Presiden sekarang.Bila orang luar suarakan pendapat diorang,kita pun mestilah suarakan pendapat kite pulak.biar mereka tahu situasinye sekarang.jangan kite terus menyokong hujah mereka dan terus mendiamkan diri biarkan mereka terus-terusan menyampaikan cerita yang menjatuhkan Presiden kita.

      Teman cume nak bagitau sikit pada abg mie,masing2 ada bendera dan parti2 yang mereka sokong.abg mie tak boleh cakap bendera2 ni jijik,kotor dan memualkan.jangan pasal masalah PAFA sekarang abg mie anggap bendera2 ni kotor.cumenye,tindakan sesetengah orang mempolitikkan isu ni yang membuatkan bende ni nampak kotor.Teman pun ade bendera yang teman sokong.tapi dalam isu PAFA ni teman pun tak setuju politik2 ni dimainkan.Biarlah telus dan kedua2 pemimpin berlainan bendera ni mestilah duduk semeja ketepikan ego dan menyelesaikan masalah dalam pengurusan PAFA sekarang.

      Sekian Terima Kasih,
      Ikhlas dari hati teman yang ikhlas tanpa niat menyinggung sesiapa termasuklah abg mie yang teman hormati.

      Likes(0)Dislikes(0)
    2. paeh93

      assalamualaikum..

      Tadi dalam akhbar, abg mie dengan kuncu2 jamil tu yang bersemangat suruh DS NIZAR JAMALUDDIN letak jawatan??? kat sini kata lain...

      Likes(0)Dislikes(0)
      1. abgmie

        salam lee jr n paeh....

        Ini la yang dikatakan teman telah dikambing hitamkan. untuk pengetahuan semua dalam SDN ni,teman ni AJK kelab Peminat,jadi teman kena ikut arahan deme tu,maaf le paeh kalau mike dan semua kaum kerabat SDN terasa bila tengok gambor teman dalam paper kelmarin.apa pun teman terima teguran mekome semua.sebab teman memang tak tahu nak berpolitik politik ni.Orang pertama yang teman bagitahu pasal gambar tu adalah sunrise ,jadi boleh le mike semua rujuk kat dia ngapa teman duk dalam gambar tu...teman pun antara individu yang nak AGM kelab peminat ni diadakan cepat,antara kelab dan PAFA tak de bezanya.

        Sama je dua dua ada masalah kewangan.deme di kelab tu tau teman ada pengaruh,jadi deme gunakan lah teman ni sebagai penyelamat deme.insyallah lepas ni teman akan lebih berhati hati didalam sesuatu tindakan.buat lee jr teman minta maaf mungkin ayat teman diatas tu menyinggung sesetengah pihak tapi teman ada sebab berkata begitu.mike sekampung dengan teman mungkin mike tak tahu ataupun terlupa,masa PRU 11 dulu,teman tak mahu nak cakap le...tapi pasal tu le teman malas dah nak berbendera ni...bior le apa orang nak kata,bagi teman lebih selesa hidup begini...penulis tu memang bagus tapi masalahnya sampai mana surat terbuka ni memainkan peranan.jadi kita pikirkan sejenak.sebab bagi teman yang penting kita usahakan jalan untuk pasukan bermain dalam liga super tahun depan.bukan sebab apa pun semau nya berpunca dari hutang lapuk yang ditinggalkan oleh orang lama PAFA,jadi jalan penyelesaiannya mudah bagi je balik pada orang yang baut hutang tu...buat apa nak peninigkan kepala...jangan pasal benda remeh kita bergaduh sesama kita ...

        lastly.....

        teman nak minta maaf buat semua yang baca komen teman ni kalau ianya menyingung perasaan dan hati semua....maafkan teman...selamat hari raya aidiladha....
        .....................salam Perakian.....

        Likes(0)Dislikes(0)
        1. Lee Jr

          Salam,

          Pasal PRU,tak masuk dalam hal kita sekarang ni abg mie..Pasal parti2 ni sebolehnya jangan disentuh la walaupun abg mie berkecuali.abg mie pun tau isu ni sensitif.kalo tak ske parti2 ni pun abg mie diam je..ok?teman nasihat je sebelum sape2 lagi terase..dan kita sendiri sedar hakikat yang pe yang kita tulis dalam ni untuk pengetahuan dan perkongsian ilmu kita di kalangan ahli2 SDN.

          Jangan la pulak harap lebih dari itu ok abg mie?jalan penyelesaian macam yang abg mie cakap tu tak betul pada teman.kita dah tau yang orang buat hutang tu dah tentu2 tak bertanggungjawab,buat apa kita nak biarkan PAFA ditadbir oleh orang2 yang tak bertanggungjawab kan?kita bawak balik PAFA ni kejalan yang betul.dengan pemimpin sekarang,dan bantuan kerajaan negeri teman rase PAFA akan stabil kembali dan akan menjadi persatuan yang disegani dan kembali menjadi pasukan yang digeruni.itu yang kita semua mahukan.betul tak? kita cuma perlu menyokong pimpinan sekarang je walaupun perbezaan parti..kita rakyat perak.PAFA hak perak dan bukan hak parti2 politik..

          SALAM AIDILADHA..
          "BERSATU KITA TEGUH"
          "BERCERAI KITA ROBOH"

          Likes(0)Dislikes(0)
        2. paeh93

          salam abg mie..
          teman tau perassan abg mie..
          teman dulu pon pnah buat sidang akhbar dgn jamil..
          pasai darby kate penyokong bodoh..

          time tu teman tak tau sgt tentang perangai jamil tu..
          die ajak teman skali..
          teman pon terpaksa datang..
          teman paham..
          abg mie jgnla ambik hati.. ok..
          kita di SDN ni semua bersahabat.. tanpa mengira fahaman politik..

          okey abg mie..
          maafkan teman kalau ade buat marah kat abang mie..
          selamat hari raya aidiladha...

          Likes(0)Dislikes(0)
    3. gerak_khas_09

      assalamualaikum....

      Kepada Abgmie,Nape la mike nie suka sangat jadi talam lapan belas muka,konon jangan libatkan politik la sokong ds Nizar la, dalam senyap je mike siap bergambor sebelah Jamil kus kus dengan kenyataan yang dikeluarkan minta DS Nizar letak jawatan.

      Apa besar sangat ker kuasa mike and the gang, sudahla Si Jamil tu lupa diri,dulu dia mengagung agungkan DS Nizar tapi time macam nie dia Hentam sampai lumat lumat DS Nizar.Nasihat teman kepada group Abgmie And Jamil tubuhlah kelab Peminat talam lapan belas muka

      Likes(0)Dislikes(0)
      1. abgmie

        salam gerak khas...
        teman minta maaf le kalau mike terasa yang teramat sangat bila tengok gambar teman kat dalam sinar kelmarin.teman malas nak cakap ape...cuma benda teman dah buat bukan boleh ditarik balik...sebagai manusia kita tak terlepas dari melakukan kesilapan,mike dulu pun pernah lakukan kesilapan tapi kami semua di SDN ni maafkan...jadi teman cuma mohon kemaafan dari mike...kalau tak boleh tak pe...teman cuma AJK jamil bukan orang Jamil.harap maklum...kepada gerak khas sekali lagi teman minta maaf...mike dan teman dah lama menyokong perak jangan sebab teman duduk sebelah jamil mike nak musuh dengan teman....salam kemaafan dari abg mie...

        Likes(0)Dislikes(0)
  4. addy

    Saya juga setuju dengan penulis . Sepatutnya kerajaan negeri dan PAFA mestilah berganding bahu untuk menyelesaikan segala masalah yang dialami pasukan.

    Likes(0)Dislikes(0)
  5. seansan

    kah kah kah Berdekah-dekah san pagi ni baca paper utusan, lawak-lawak kenyataan 'Presiden Kelab Peminat' mengatakan kewibawaan Presiden PAFA gagal kerana kutipan tiket merosot?? Kenapa tidak faktor lain? kawalan keselamatan longgar? stadium kotor? Padang buruk? Dan kenapa penulis akbar tuh tak tulis kata 'bekas ahli majlis PAFA' bukan kah itu salah satu jawatan juga? huhuhu...

    Likes(0)Dislikes(0)
    1. syidi

      San..Kang teman cakap yang keluarkan kenyataan tu b*****g kot terlebih pulak kan? Deme ni cakap je, janji dia 'tiaw' orang. Tu yang teman komen kat atas, deme kena selesaikan dengan bijak. Dilulangi BIJAK. Orang sekarang fikiran dah maju. Hanya orang yang bodoh je percaya cakap orang macam tu.

      Tak lojik hanya satu sebab stadium kosong. Ustaz teman pernah pesan. Jangan suka tuduh atau cuba aibkan orang, lagi kita kerap aib@cuba jatuhkan orang, semakin terserlahlah pekung di dada sendiri. Makin nampaklah segala kelemahan sendiri.

      Likes(0)Dislikes(0)
      1. seansan

        Betul tuh syidi, kita aibkan orang lain. Allah SWT balas kalau tak di bumi, tapi di akhirat. Kenapa nak keluar kenyataan akhbar pasal persatuan orang, kalau kelab sendiri tak terurus. GILA KUASA!

        Likes(0)Dislikes(0)
        1. anip

          Deme tu dah takde benda lain ke nak cari kesalahan orang? Yang tandas stadium punya "bagus" tak nak masuk surat khabar jugak ke? Yang padang stadium macam hampeh je tak nak buat sidang media?

          Likes(0)Dislikes(0)
  6. razlan

    Salam,

    Sangat memalukan apabila seorang presiden mengatakan persatuan tiada duit untuk melakukan aktiviti kerana FA negeri tidak memberi peruntukkan.

    Sepatutnya soerang presiden perlu 'turun padang' untuk mencari dana sendiri bagi menjalankan aktiviti kelab peminat. Tak perlu lah mengharapkan duit tu datang dari orang lain.

    Jika tiada peruntukkan pun masih boleh menjalankan aktiviti. Teman selalu mengikuti rombongan hijaukuning.com ke std darulaman. Setiap yg mengikuti akan mengeluarkan duit sendiri untuk membayar kos bas dan kos tiket. Tak perlu pun sumbangan dari Kedah FA

    Likes(0)Dislikes(0)
  7. fazly73

    teman setuju benor dengan penulis...harap semua peminat dan kelab penyokong buka mata.....sepatutnya...demi sukan dan pasukan bola sepak negeri kite ini...ketepikan parti...ketepikan politik....kita same-same le berdoa agar kemelut ini selesai.....takbir!

    Likes(0)Dislikes(0)
  8. myo abol as

    Salam...

    Tahniah teman ucapkan kepada hamba Allah yang menulis surat tersebut. Ianya suatu penerangan dan pendedahan yang begitu telus serta jelas. Maka tidak perlulah lagi sesiapa di luar sana untuk mempersoalkan kewibawaan Dato Seri Nizar sebagai presiden Pafa.

    Diharapkan agar anasir-anasir yang cuba sedaya upaya untuk menimbulkan kemelut di dalam Pafa ini sedar dan malu di atas sikap mereka sendiri. Kepada peminat-peminat setia pasukan Perak, teman harapkan agar kita semua dapat bersatu hati tidak mengira perbezaan ideologi politik masing-masing untuk sama-sama memberi sokongan kepada tuan presiden kita dalam menyelesaikan kemelut lapuk ini. Kepada anasir-anasir yang busuk hati pula, diharapkan agar pendedahan ini dapat membuka pekong anda sendiri. Malulah sikit terutamanya pada tuhan. Cubalah ingat dosa dan pahala.

    Sepatutnya penerangan ini disiarkan di dalam media cetak agar semua pihak boleh membacanya. Teman berharap juga agar hamba Allah yang menulis surat ini agar dapat menghantarnya kepada media elektronik seperti televisyen swasta contohnya kerana jika hendak mengharapkan RTM atau mahupun akhbar-akhbar sudah tentulah sukar sama sekali.

    Syabas dan tahniah sekali lagi teman ucapkan kepada penulis kerana berjaya membuat suatu penerangan dan pendedahan yang cukup jelas dan benar.

    Likes(0)Dislikes(0)
  9. pachenko

    Aku sokong presiden PAFA sekarang.. Nampak yang dia bertanggungjawab dari tangan2 ghaib yang nak terajui PAFA semata-mata mengisi poket mereka jer. Pembangunan sukan diabaikan... Say no to politik in sport...

    Likes(0)Dislikes(0)
    1. syidi

      Setuju...

      Kebetulan pulak teman ni bukan minat sangat politik-politik ni. Nak pulak bila kacau sukan yang teman minat, pening kepala. I agree with pachenko, SAY NO To POLITIC in SPORT

      Likes(0)Dislikes(0)
  10. yopnph

    Hari ni keluar berita kerajaan negeri sedia bantu PAFA kata MB Zamri,bagusla kalau begitu ada sapa sapa boleh confirm yop ! semoga ia menjadi kenyataan .( berita harian 24/11)

    Likes(0)Dislikes(0)
    1. syidi

      Well Done Kerajaan Negeri Perak!

      Membuktikan keprihatinan dalam menjaga Imej Bolasepak Perak yang sememangnya gah sejak dulu lagi. Hentikan spekulasi dan tuding menuding.

      Tahniah!

      Likes(0)Dislikes(0)
    2. abgmie

      salam yopnph...

      teman nak kompomkan kat mike.memang betul pagi tadi waktu teman minum pagi di stadium,ada seorang kawan teman dari KBS bagi tahu memang exco sukan sendiri yang bagi jaminan akan membantu,cuma sekarang tunggu DS presiden jumpa dengan dia je,sebabnya MB sendiri mahukan team main liga super tahun depan,MB pun tak nak pegang jawatan Presiden PAFA ni,tapi ada tangan tangan ghaib yang jahat mengapi apikan EGM ni.buat semua doakan masalah ni selesai secepat mungkin...

      Likes(0)Dislikes(0)
      1. yopnph

        salam abgmie ,

        awak pun tak paham ,kata nak bantu tapi ari ni kuar stement yang tak sedap didegor dari exco sukan. udah le bantu ajele negeri kita yb . jangan le campor aduk dgn politik . yg penting jangan malukan perak yop.( b/harian 25/11)

        KEJOR YOP KEJOR.........

        Likes(0)Dislikes(0)
      2. sunrise

        Salam

        Abgmie, untuk pengetahuan saudara mengenai nak bantu membantu nie sebenarnya nak buat nama jer...walhal perkara sebaliknya hanya Allah sahaja yang tahu,

        Baguslah kalau nak pergi sambung belajar…..habis belajar nanti bolehlah rebut tempat En. Jamil tu.

        Likes(0)Dislikes(0)
  11. seansan

    Jangan hanya sekadar di depan akhbar, buktikan! kami ada mata untuk menilai, jika benar! kami menyokong dasar kerajaan Negeri membantu PAFA. Bukan kerana bendera parti yang berbeza, tetapi semangat kesukanan yang anda buktikan!

    san menyokong 100%

    Say No Politic in Sport!

    Likes(0)Dislikes(0)
  12. chuck

    Salam..

    Alhamdulillah sekali lagi teman panjatkan rasa bersyukur yang tak terhingga kepada Tuhan sekalian alam kerna dengan limpah serta kurnianya dapat sekali lagi teman disini bersama rakan-rakan yang lain turut sama memberikan buah pendapat juga pandangan tentang permasalahan PAFA.

    Terima kaseh yang tak terhingga juga pada pemerintah-pemerintah SDN kerna ruangan yang disediakan untuk kami terus bersuara demi PAFA yang tercinta.

    Juga tidak dilupakan juga para sahabat serta rakan-rakan SDN yang rajin memberikan info terkin dan buah pendapat serta berkongsi sama masalah yang dihadapi PAFA kini.

    Apa yang ingin teman katakan disini ialah 'Bersatu kita teguh dan bercerai kita roboh'.Inilah peribahasa yang layak untuk kita selami serta paham bebenor akan maksud disebaliknya.

    Janganlah kita terlalu menjebek bibir dan tertawa membaca peribahasa tersebut.Persoalan yang ingin teman cetuskan disini ialah untuk kita berkongsi beramai-ramai akan maksud sebenar disebalik peribahasa tersebut.

    Kerana apa?kerana ianya akan mendidik kita untuk lebih matang serta bijak dalam membuat setiap tafsiran dan penilaian yang akan dibuat.

    Setakatni dulu buat masani,nak pergi makan dulu.

    sehingga berjumpa dilain waktu.

    Salam...

    Likes(0)Dislikes(0)
  13. kia_dgreat

    Salam, teman hanya harap apa yang keluar hari akan jadi kenyatan. Teman tak mahu cepat melatah bila keluar berita yang menyedapkan telinga sekali berbanding cerita yang menyakitkan telinga berulang kali.Teman hanya boleh kata tunggu dan lihat dan tak lupa juga pada seluruh penyokong, peminat dan rakyat Negeri Perak berdoa supaya ape yang kiter baca hari ini akan diterjemahkan kepada tindakan yang akan mendatangkan hasil kepada seluruh rakyat dan jugak pasukan Perak khas nye. diharap perkara ni bukan omong kosong dan juga ada agenda yang tersembunyi untuk kepentingan tertentu.
    Harapan teman, jika bantuan dihulurkan biarlah ikhlas tanpa agenda tersembunyi. Jangan pula nanti ader publisiti yang begitu meluas tetapi hanya janji manis dibibir.
    Jika perkara ini menjadi kenyatan seperti yang kita baca hari ini,teman mengucapkan terima kasih dengan rasa bangga menjadi rakyat Perak kerana kita mampu mengetipikan kepentingan diri untuk kepentingan bersama.
    wasalam...

    Likes(0)Dislikes(0)
  14. belanak

    Salam

    Say "NO" Politic in Sport! Ayuh bersatu bersama-sama dengan semangat kesukanan!

    Marilah kita bersama-sama membantu PAFA dalam menyelesaikan kemelut kewangan. Bantulah dengan hati yang ikhlas serta penuh takwa kepada Yang Maha Esa, semoga segala jasa baik yang dicurahkan diberkati Allah.

    Semoga kemelut ini akan berakhir dan seterusnya kita akan dapat beraksi pada musim 2010. Ingatlah pepatah ini - bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

    Apa yang penting - KERJASAMA!
    Apa yang penting - KERJASAMA!

    Likes(0)Dislikes(0)
  15. doyan

    alhamdulillah...Dr Zambri pun cakap jangan samakan ini dengan hey politik.kira dia dah boleh sumbang...ok ler tuh.

    kita tengok jer bila sampai masanya betui ker Perak tersenarai atau mangkor

    Likes(0)Dislikes(0)
    1. syidi

      Teman dah nampak ada batu api yang cuba nak buat tahana. Walhal, kedua2 Dato' ni relak je. Tak de apa sangat pun.

      Yang jadi mangsanya kita. Tak tau mana satu betul (tapi teman tau)

      Likes(0)Dislikes(0)
      1. abgmie

        salam syidi...
        batu api tu orang yang ada kepentingan dalam PAFA jugak.teman pun hampir terjebak...tapi jangan risau tahun depan teman dah takde dalam komuniti Kelab peminat.teman sambung belajor...maaf teman nyibuk....

        Likes(0)Dislikes(0)
  16. doyan

    aku ada terbaca dalam luahan dia kat blog dia kot...wartawan sinar ada tanya hey keadaan pafa tapi dia cakap,nanti kata dia cuba campur tangan pulak.last sekali dia cakap memang betul tekaan dia.

    jadi...dunia ini banyak cobaan dari allah.kita kena menilaikan mana yang baik dan mana yang buruk.

    Likes(0)Dislikes(0)
  17. QuRraSiuM CiLiCouS

    Amek la iktibar dari ape yg menimpa persatuan bola sepak Iraq yang telah di gantung oleh FIFA kerana adenyer campur tangan politik dalam persatuan mereka...SAY NO TO POLITIC IN PAFA!!!!!!!!!

    Likes(0)Dislikes(0)
  18. putra8878

    orang politik memang tak layak pegang apa jawatan pun dalam pafa ni patutnye..tak kira la dari parti a ke parti b ke,semua ada kepentingan peribadi sendiri untuk menonjolkan diri samada yang dah tenggelam atau baru tumbuh.biar la orang sukan atau perniagaan yang pegang pafa plak.dah naik meluat tengok pergolakan politik sampai dalam sukan pun nak diheret sekali.

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.