TM Liga Super – Terengganu Vs Perak (review)

TM Liga Super 2009

Sabtu 4 Julai 2009
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah
8:45PM

Perlawanan ke-23 TM Liga Super 2009 untuk pasukan Perak adalah bertemu dengan pasukan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Perlawanan pertama 17 Februari yang lalu Perak tewas 0 – 1 di Ipoh hasil jaringan Azlan Ismail.

Perak pada perlawanan sebelum ini telah tewas 2 kali berturut-turut iaitu kepada pasukan Kelantan di Kota Bharu dan yang terbaru kepada pasukan Johor FC di gelanggang sendiri selasa lalu dengan jaringan 3 gol tanpa balas.

Dua kekalahan berturut ini seolah-olah suatu petanda kemerosotan prestasi yang amat teruk ditambah dengan kemungkinan Perak terpaksa menurunkan penjaga gol dari skuad Presiden rentetan kecederaan yang dialami oleh Kamarul Effandi dan Megat Amir Faisal.

Skuad seladang dijangka bertolak pagi ini ke Kuala Terengganu bersama 18 orang pemain sahaja termasuk 3 penjaga gol. Khalis Ibrahim tidak menyertai pasukan ini kerana masih lagi mengalami sakit mata selepas pulang dari Kota Bharu tempohari.

Barisan kejurulatihan membuat sedikit perubahan apabila tidak membawa Chun Keng Hong serta K. Thinagaran untuk perlawanan menentang Terengganu nanti. Dijangka S. Subramaniam akan membuat penampilan semula setelah lama berehat akibat kecederaan.

Terengganu pada perlawanan sebelum ini cukup bergaya membenam Kelantan di gelanggang sendiri dengan jaringan 2 gol tanpa balas. Sudah pasti mereka akan menggunakan kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri untuk menewaskan Perak.

Skuad Penyu diperkuatkan oleh majoriti pemain yang berumur bawah 23 tahun dan kepantasan menyerang adalah kelebihan utama mereka. Umumnya keputusan seri sudah memadai untuk pasukan Perak ketika bertandang ke Kuala Terengganu ini.

Ketika ini Perak banyak mengamalkan strategi bertahan dengan pendekatan ‘Counter Attack’. Dengan kedudukan liga yang telah pun ‘selamat’ dari diturunkan ke Liga Perdana musim depan, tidak salah jika kita mengubah corak permainan kepada ‘Tsunami Attack’.

Sudah tiba masanya kita ‘mengasah’ gandingan Razali Umar, Saufi Sa’aidi, Nazri Kamal dan Isma Alif untuk menggempur kubu lawan secara TOTAL tanpa membebankan mereka dengan tugasan bertahan yang memerlukan mereka berlari naik dan turun.

Mungkin formasi yang sesuai adalah 4-3-3 atau lebih menarik jika menggunakan formasi 4-2-4 seperti mana yang telah diguna pakai oleh pasukan Brazil sewaktu mereka memenangi Kejohanan Piala Dunia pada tahun 1958 di Sweden dan 1970 di Mexico.

Kata pepatah ‘Alang-Alang Mandi Biar Basah’, memandangkan peluang Perak untuk merangkul tempat ke 3 Liga Super sudah pudar, lebih baik digunakan baki perlawanan yang ada untuk mempertajamkan jentera serangan bagi persiapan kempen Piala Malaysia kelak.

“The Best Form Of Defence Is Attack” – Arsene Wenger (15 April 2009)

Kesebelasan Kemungkinan:

GK | Khairul Amri
RB | S. Subramaniam
CB | K. Puvinderan
CB | Mohd Hafiszuan
LB | Syazwan Roslan
RM | Nor Hazrul
CM | Nazri Kamal
CM | Safwan Mahayuddin (B20)
LM | Isma Alif
AM | Saufi Sa’aidi
FW | Razali Umar

YB Corner

Likes(0)Dislikes(0)

4 thoughts on “TM Liga Super – Terengganu Vs Perak (review)

  1. sunrise

    salam

    Teman mengharapkan lagi,agar pemain yang diberi tempat untuk bermain kali ini akan dapat memberi 100 peratus komitmen terhadap pasukan.Tidak kisahlah walaupun akan tewas lagi,janji tewas dalam keadaan yang bermaruah bukan tewas kerana tidak tahu main bola.

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. danie

    Salam.
    Nampaknya Safwan Mahyudin muncul semula setelah pemain wan Hossen diketepikan agaknya kerana diberi posisi yang merapu oleh jurulatih ... inilah nasib pemain bawah 20 letak ikut suka silap buang, tanpa bimbingan ,walau apa pun Semoga pemain yang terpilih akan bermain dengan semangat yang jitu... Harap juga M. Karathu dapat mengembalikan posisi sebenar pemain...... kalau sama macam perlawanan lepas sama seperti menjatuhkan maruah pemain yang sememangnya boleh bermain dengan baik .....
    Doa untuk pemain muda kita semoga memperoleh kejayaan...... insyallah

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. syidi

    Salam..

    Saya setuju dengan YB. Cuba hayati prinsip-prinsip ini yang mungkin dapat membantu dalam mencapai misi:

    1. Selection of Aim
    2. Maintainance of Morale
    3. Offensive Action
    4. Secrecy
    5. Suprise
    6. Economy of Effort
    7. Concentration of Force
    8. Security

    Ini adalah 8 daripada sepuluh prinsip peperangan yang 'related' dan boleh digunakan pakai untuk mempersiapkan sesuatu pasukan untuk tujuan mencapai MISI.

    Bukan hanya untuk berperang, hanya memerlukan inovasi dan kreativiti untuk menyelitkan kesemua prinsip ini dalam merealisasikan MISI yang digalas.

    HIDUP PERAK!!

    Likes(0)Dislikes(0)
  4. belanak

    Salam...

    Teruskan perjuangan kalian.. Kami para penyokong tetap bersama kalian... Menang, kalah atau seri; kami sedia terima dengan hati yang cekal... Sesungguhnya kemantapan penyerang amat ditagihi oleh kami... Dengan kesungguhan semua pemain, InsyaAllah kita akan berjaya...

    Usaha tangga kejayaan.. Ayuh Perak! Kami rindukan kemenangan... Semoga dalam baki perlawanan Liga Super dapat menyuntik satu semangat yang mantap serta jitu... Semangat sebegini penting dalam persiapan awal menghadapi kempen Piala Malaysia kelak..

    Apa yang penting... kerjasama...
    Apa yang penting... kerjasama...
    Perak.. Skor Yob Skor...

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.