S. Subramaniam | Jangan Besar Kepala Yob !!!

S. Subramaniam

Coach, I don’t want to play”, itulah kata-kata ringkas yang diucapkan sewaktu ketua jurulatih Perak, M. Karuthu sedang cuba menerangkan posisi dan tanggungjawab beliau sebelum perlawanan menentang Terengganu baru-baru ini yang berakhir dengan keputusan seri 1 – 1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sabtu lalu.

Semuanya berpunca gara-gara berang dengan tindakan pengurusan pasukan yang memotong separuh gajinya pada bulan Jun yang lalu. Walaupun dipujuk secara baik oleh M. Karuthu untuk melupakan dahulu permasalahan tersebut dengan menumpukan kepada perlawanan malam itu, Subramaniam tetap berkeras tidak berganjak dari keputusannya.

Menurut sumber, punca utama pemotongan gaji tersebut adalah disebabkan oleh kegagalan di pihak S. Subramaniam sendiri untuk menyerahkan laporan peribadi berkenaan kecederaan panjang lebih 2 bulan yang dialami sejak kali terakhir bermain menentang Pulau Pinang di Ipoh pada 2 Mei yang berkesudahan Perak tewas 1 gol tanpa balas.

Secara asasnya mana-mana pemain yang mengalami kecederaan panjang perlu untuk menghantar laporan perubatan beserta laporan peribadi “tulisan tangan” berkenaan masalah mereka. S. Subramaniam juga dikatakan lewat untuk melaporkan diri ke kem latihan Perak selepas selesai menjalani rawatan perubatan di Bukit Jalil tempohari.

Penolong Pengurus Perak, Encik Anuar Zakaria yang dihubungi berkenaan perkara ini turut mengesahkan “Insiden” tersebut berlaku sewaktu di bilik taklimat pasukan. Susulan dari itu, “Surat Tunjuk Sebab” akan diberi kepada S. Subramaniam dalam masa terdekat atas kegagalan beliau untuk mematuhi arahan jurulatih.

“Sebagai ketua pasukan Perak dan juga pernah menyarung jersi kebangsaan Malaysia, S. Subramaniam sewajarnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada rakan sepasukan yang lain dan bukannya bertindak luar batasan termasuk bertengkar dengan ketua jurulatih” ujar Anuar Zakaria dengan nada kesal.

“Berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada, beliau bakal berdepan tindakan yang lebih berat termasuk di denda oleh pihak pengurusan. Jika beliau gagal memberikan alasan yang munasabah atau masih lagi tegar dengan sikapnya, pihak pengurusan Perak tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak beliau serta merta” tegas beliau.

Likes(0)Dislikes(0)

9 thoughts on “S. Subramaniam | Jangan Besar Kepala Yob !!!

  1. sunrise

    salam

    Diharapkan pihak pengurusan bukan saja mengenakan tindakan tegas terhadap beliau malah wajib mengenakan tindakan yang serupa kepada semua pemain pemain yang gagal melakukan apa jua arahan dan mengekalkan disiplin seperti yang diharapkan. Bukan itu sahaja malah pihak pengurusan PAFA wajib mengenakan tindakan keatas sesiapa sahaja tidak kiralah individu tersebut adalah jurulatih,individu tersebut juga harus dikenakan tindakan yang setimpal.

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. khairol

    salam..

    apakah sebagai pemain, dia tak tahu peraturan? atau buat-buat tak tahu. bila dikenakan tindakan terus jadi melatah.berita ini amat mengecewakan. semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran buat semua pihak. di harap juga situasi keharmonian pasukan tidak terjejas.

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. danie

    Salam,

    Apa yang sebenarnya berlaku dalam pasukan Perak, kita sendiri tidak pasti, mungkin Subramaniam ada alasan sendiri dan mungkin bukan Subramaniam seorang mengalami keadaan seperti ini, mungkin yang bersuara hanya dia seorang. kita tidak pasti, jangan cepat melatah. Tidak semestinya seorang guru tidak melakukan kesalahan dan adalah tidak adil jika seorang pelajar itu sentiasa bersalah dan tidak boleh bersuara jika dia di pihak yang benar. fikirkan, apa yang pasti setiap kali pemain cedera peluang untuk beraksi semula tipis.

    kalau peminat bolasepak Perak benar-benar penyokong setia bertanya pada setiap pemain, apa yang sedang mereka alami? nampak sangat sistem Karathu bercelaru. adakah pemain muda kita team yang dilatih menjadi pemain yang berkebolehan sebagai bahan uji dan suruh main sahaja.. kalau beraksi dalam keadaan minda yang tenang tanpa tekanan badan juga akan bertindak baik. apakah Subramaniam akan bermain dengan baik kalau minda beliau tertekan.

    Kita sebagai manusia yang berfikiran waras cuba selidik kenapa Subramaniam bertindak sebegitu rupa.
    Cuba bayangkan apa tindakan anda jika anda berada tempat beliau?

    Selamat.....

    Likes(0)Dislikes(0)
    1. YB

      Salam,

      Masalah sekarang yob, Coach nak suruh Subramaniam main tapi dia menolak. Sebagai pemain profesional tak bolehlah buat macam tu walaupun tak puas hati soal gaji yang dipotong.

      PAFA adalah MAJIKAN dan Subramaniam adalah PEKERJA. Soalnya siapa perlu dengar cakap siapa sekarang?

      Masalah pemain PAFA kena selesaikan, gaji terlambat sikit dah kecoh sana sini. Tapi bab pemain yang tak perform, tak datang traning, tak datang kerja langsung, suka-suka je nak datang atau tidak. Ni semua sapa yang nak selesaikan????

      Pada teman benda ni mudah je, kalau rasa dah tak suka nak main dengan pasukan Perak teman sangat-sangat berharap BERHENTI sajalah. Nak bayar gaji pulak bukan kecik-kecik anak. Kalah gaji Pengarah Lembaga Syarikat Korporat.

      Benda ni teman tak tujukan pada Subramaniam saja, tapi pada semua pemain jugak. Asyik demand pemain saja yang PAFA kena ikut, demand PAFA pulak sapa yang nak ikut?

      Rasional sikit kepada semua peminat yang nak bela pemain tak tentu hala. Coach Karathu mungkin bukan yang terbaik buat pasukan Perak, itu teman pun setuju, tapi kalau dah pemain sendiri jugak perangai macam ni apa nak jadi pada pasukan Perak???

      Kena potong gaji setengah, bukan kena potong gaji terus, dan yang dipotong pun sebulan je bukan berbulan-bulan. PAFA bukan kejam tak tentu hala, tapi bertindak berdasarkan klaus yang ada dalam kontrak pemain.

      Tapi takde pulak dalam kontrak kata pemain boleh suka-suka kata TAK MAHU walaupun diarahkan bermain bolasepak. Kadang-kadang teman pelik jugak Subramaniam ni sakit sampai 2 bulan lebih walhal Syazwan Roslan buat pembedahan lutut dalam 6 - 7 minggu dah turun latihan.

      Dia sakit apa yang sampai lebih 8 minggu tak baik-baik ni? Alangkan orang mengandung pun pantang 44 hari saja. Takkan nak tunggu sampai Piala Malaysia baru nak turun beraksi?.

      Ingat-ingatlah sama pada peminat semua, jangan asyik nak suruh 'orang' duduk dalam situasi 'pemain' sahaja, cuba sekali sekala fikir pula masalah PAFA yang terpaksa membayar gaji beribu-ribu pada pemain yang tak menyumbang kepada pasukan.

      "Jangan tanya apa sumbangan negeri pada kita, tapi tanyalah apa sumbangan kita pada negeri"

      Likes(0)Dislikes(0)
      1. bobiNHo84

        salam...

        Pergh....Sungguh pedih ayat terakhir YB..Teman pun terkejut bila dapat tahu tentang perkara yang amat-amat mengejutkan seluruh peminat pasukan Perak.

        Ape yang cuba Subramaniam buat ni???kalau dah tak sayangkan Perak,takde masalah untuk kami lepaskan saudara Subramaniam kalau itu hajat dihati saudara..tak perlu buat macam ni pada pengurusan Perak..

        Ape guna disimpan lagi pemain macam ni yang akan merosakkan seluruh pasukan kesayangan kita yang semakin hari semakin baik..

        Pada pendapat teman lah yang dah lama tengok bola,tak pernah teman dengar ade pemain mintak "TAK NAK MAIN"..Selalunya berebut-rebut nak main..

        Lagipun,teman rase pemain yang kita ade skang ni pun dah ok ape..Takde Subra pun kite boleh menang dengan team yang kuat..kalau dah ditakdirkan kalah,Subramaniam main pun Perak kalah jugak..

        Ape2 pun harap sangat pihak pengurusan dapat selesaikan masalah ni dengan secepat mungkin supaya pemain lain "TAK IKUT PERANGAI SUBRAMANIAM" yang boleh juge teman katakan sebagai 'LUPA DARATAN"

        Wassalam...

        Likes(0)Dislikes(0)
  4. syidi

    Salam..

    Merujuk kepada artikel di atas, jelas menunjukkan sikap yang tidak profesional individu yang berkenaan. Sikap acuh tak acuh dalam perkara yang serius sebegini wajar diberi keutamaan dan tindakan tegas perlu diambil sebagai pengajaran kepada individu berkenaan, dan menjadi sempadan kepada individu yang lain.

    Dalam meniti era profesionalisme sebegini, individu berkenaan tidak seharusnya menunjukkan sikap kurang ajar kepada orang yang bertanggungjawab memberi ilmu kepadanya.

    Dia boleh dikeluarkan dari pasukan jika perlu. Kami penyokong tidak memerlukan pemain yang membazirkan masa dan menyakitkan hati kami. Jika ingin terus bersama Perak buktikan yang beliau adalah yang terbaik dan sedia menerima apa saja hukuman selepas ini. Ingat, anda adalah pemain paling senior dalam Perak.

    Semua masalah harus diselesaikan secara profesional dan berbincang dengan baik dan bukan memberontak seperti kanak-kanak .

    Ingat Subra, you're the best sebelum ini. Jangan hancurkan kepercayaan kami kepada anda. Jika ini lah taraf anda, 'pack everything and get out'.

    Likes(0)Dislikes(0)
  5. myo abol as

    Teman setuju dengan pendapat saudara YB tu, begitu juga dengan saudara-saudara yang lain. Cuma bagi teman pandangan saudara 'Danie' tu seperti berbau anti kepada seseorang. Tak perlulah nak mempersoalkan tentang tugas jurulatih kerana beliau sememangnya peka dan bertanggungjawab ke atas tugas beliau. Bagi teman, kita seharusnya bersyukur dengan kehadiran dan kesudian jurulatih kita sekarang ini untuk memikul satu tanggungjawab yang amat berat. Kalau silap orang, dah tentu lama dah cabut.

    Sapa yang nak bekerja dengan pengurusan yang bermasalah? Soal samada beliau layak atau tidak layak untuk membimbing pasukan tidak patut juga dibentangkan di sini. Kalau diikutkan kita pernah mempunyai jurulatih-jurulatih yang berkelas tinggi satu masa dahulu antaranya Karl Heinz Weigang dan Tony Netto tapi lihatlah sendiri bagaimana sambutan pemain-pemain kita sendiri. Pemain-pemain kita sendiri yang menyingkirkan mereka ini dan bukan kita. Ingat tak apa yang dilakukan terhadap Karl Weigang dan Tony Netto?

    Kalau nak ikut sedap hati perut kita sendiri memang le takde sorang pun yang sesuai dan layak. Tu belum lagi kalau bagi Encik Infan Bakti yang bimbing pasukan. Teman rasa lagi le pemain-pemain kita tak nak. Beliau kalau nak marah pemain tak kira tempat, dalam padang pun ditengkingnya. So, persoalannya siapa yang pemain-pemain kita ni nakkan sebagai jurulatih? Mak ayah kita sendiri ke? Fikirkan... Peminat-peminat sendiri juga tak perlulah nak berkrompromi dengan pemain-pemain disebabkan ada pemain-pemain tersebut adalah kawan anda. Sebabkan kawan, apa yang mereka buat betul saja pada kita. Sampai dah 'training' pun tak nak datang takkanlah itu pun nak sokong jugak.

    Jurulatih adalah diibarat cikgu ketika di sekolah. Jadi, seorang cikgu wajar dihormati kerana mereka adalah pengganti kepada ibu dan bapa kita sendiri. Oleh yang demikian, jika murid-murid sendiri tidak tahu untuk menghormati guru-gurunya sendiri maka buruklah natijahnya. Begitulah juga dengan situasi yang dihadapi oleh pemain-pemain Perak sendiri. Kalau dah pemain tak tau nak hormat jurulatih, datang 'training ikut suka hati, kena tegur sikit dah nak boikot jurulatih, jadi bagaimanakah kesudahannya....???

    Bagi saudara Subramaniam, anda adalah seorang pemain yang berbakat besar. Penampilan anda di bahagian pertahanan pasukan sentiasa meyakinkan dan tak kurang juga menghiburkan kami sebagai pemianat setia pasukan. Namun janganlah disebabkan sikap ego yang menguasai diri anda itu menjadikan anda bersikap 'besar kepala' terhadap jurulatih. Tiada faedahnya jika bersikap demikian. Anda punya masa yang panjang lagi sebagai pemain dan boleh meningkat lagi dari apa yang anda kecapi kini.

    Oleh itu jangan dipersiakannya. Begitu juga dengan para pemain-pemain yang lain, jaga disiplin diri anda semua kerana dengan disiplin diri yang baik dapat menjadikan kita seorang insan yang berhemah. Bukan nak bersyarah atau nak bermotivasi tapi sebagai renungan bersama dalam apa sahaja perkara atau kerja yang ingin dilakukan. Buat saudara Subramaniam, ubahlah sikap dan fikirkan kembali tindakan anda itu. Cepat-cepatlah berubah.

    Seperti kata saudara YB tadi, " jangan tanya apa sumbangan negeri pada kita, tapi tanyalah apa sumbangan kita pada negeri.

    Likes(0)Dislikes(0)
  6. anipjebat

    Salam...

    Berita yang amat mendukacitakan bagi pencinta bolasepak negeri Perak. Satu tamparan yang maha hebat untuk ditelan oleh pihak pengurusan,barisan kejurulatihan,pemain-pemain sendiri dan seluruh penyokong setia pasukan Perak..Seorang ketua pasukan yang teman sifatkan gagal menunjukkan sifat profesional dan teladan yang baik kepada semua pemain.

    Apa guna disimpan nakhoda yang besar kepala kelak kapal karam dipukul badai.Jangan biarkan luka kecil membarah dalam pasukan yang boleh meruntuhkan keharmonian dan kelancaran perjalanan pasukan.Kepada pihak pengurusan pasukan Perak,lepaskan saja virus yang boleh merebak dalam pasukan ini secepat mungkin..jangan dilayan kerenah pemain yang besar kepala..buang sebelum parah,buang demi maruah..renung-renungkan dan ambillah tindakan yang sewajarnya..

    Likes(0)Dislikes(0)
    1. bobiNHo84

      salam wahai sahabatku...

      Ape pendapat mike ni mmg ade betulnye...tak tau la ape nak jadi dengan pasukan Perak ni...teman ingatkan bile Subramaniam dah dilantik sebagai ketua pasukan die yang akan memimpin pasukan Perak yang serba kekurangan dari segi pengalaman sahaja ok..yang lain pemain muda kite ok..hehehe..

      Kalau ditakdirkan pasukan Perak bakal kehilangan seorang pemain yang bernama Subramaniam, kite kena terima hakikat yang sebenar ok..Dalam bola sepak ni bukan main sorang2, tapi main sebagai satu pasukan..Jadi,takde ape yang nak di risaukan..

      Lagipun team kite dah banyak kali main tanpa kelibat Subramaniam..Ketua pasukan kita (Chun Keng Hong) menjalankan tugas sebagai ketua pasukan dengan baik..Malah sejak kebelakangan ni (Nazri Kamal) pulak jadi ketua pasukan,ok jugak..Perak main tetap cantik.

      Tak kira siapa yang main,yang penting semangat nak main tu penting dan main sepenuh hati..kalau main pun tapi sambil lewa, tak ade gunenye jugak.

      Akhir kata, harap cepat ubati luka ini sebelum ianya menjadi lebih dalam dan merebak ke bahagian yang lain dan menjadi nanah yang semakin hari semakin sakit..

      RENUNG-RENUNGKANLAH SEMUA...

      Wassalam...

      Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.