TM Liga Super – Perak Vs Negeri Sembilan (result)

TM Liga Super 2009

Selasa 23 Jun 2009
Stadium Perak
8:45PM

Perak 2 – 0 Negeri Sembilan

Penyokong skuad seladang pulang ceria apabila pasukan Perak berjaya menewaskan pasukan Negeri Sembilan dengan jaringan 2 – 0 di Stadium Perak malam tadi yang disaksikan oleh kira-kira 1000 orang penyokong setia.

Perlawanan bermula dalam keadaan padang yang basah dan licin kerana hujan turun renyai-renyai sewaktu pengadil memulakan permainan. Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan pasukan tuan rumah sedikit menguasai.

Beberapa peluang yang diperolehi pasukan Perak gagal diterjemahkan menjadi gol manakala pasukan pelawat juga kurang berbisa apabila kehilangan khidmat beberapa pemain tonggak seperti Zaquan Adha, Shukor Adan dan Ching Hong Aik

Permainan separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan terikat tanpa jaringan. Pada minit ke 63 separuh masa kedua, Perak membuat pertukaran pertama apabila mengeluarkan K. Thinagaran dan memasukkan Wan Hossen.

3 minit kemudian pasukan Perak terpaksa bermain dengan 10 orang pemain apabila Mohd Hafiszuan dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana mengasari pemain Negeri Sembilan ketika permainan masih berbaki 24 minit lagi untuk ditamatkan.

Seminit kemudian Razali Umar mengejutkan pertahanan Negeri Sembilan dengan larian deras melepasi kawalan lawan apabila menerima hantaran cantik dari Wan Hossen dari tengah padang dan seterusnya menghasilkan gol pertama Perak.

Selepas jaringan tersebut A. Varathan dimasukkan untuk menggantikan Khalis Ibrahim dan 5 minit berselang penyokong pasukan seladang melonjak kegembiraan apabila Razali Umar sekali lagi menjaringkan gol untuk pasukan Perak mendahului Negeri Sembilan 2 – 0.

Minit ke 77 Saufi Sa’aidi keluar untuk digantikan oleh Zahiruddin dan penjaga gol Perak, Kamarul Effandi yang bertindak cemerlang menafikan beberapa peluang dari pemain Negeri Sembilan turut dilayangkan kad kuning oleh pengadil kerana melambatkan permainan.

Permainan ditamatkan dengan keputusan rasmi Perak menewaskan Negeri Sembilan 2 gol tanpa balas dan mengutip 29 mata tetapi masih menduduki tangga ke 9 Liga Super di bawah pasukan Terengganu yang mengumpul 30 mata.

Kesebelasan Utama:

Kamarul Effandi (PG)
K. Puvinderan
Chun Keng Hong (K)
Mohd Hafiszuan
Syazwan Roslan
Mohd Nazri Kamal
Isma Alif
Khalis Ibrahim (B20) – 2
K. Thinagaran – 1
Razali Umar
Saufi Sa’aidi – 3

Pertukaran:

Wan Hossen – 1
A. Varathan – 2
Zahiruddin – 3

Keputusan Perlawanan Lain 23 Jun 2009:

Selangor 4 – 1 Johor FC
Stadium Shah Alam

Kelantan 4 – 0 PDRM
Stadium Sultan Mohd Ke-IV

Pahang 2 – 3 My Team
Stadium Darul Makmur

Pulau Pinang 1 – 3 Plus FC
Stadium Bandaraya, Pulau Pinang

Terengganu 2 – 0 Kuala Muda
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah
(Ditunda kerana hujan lebat dan dimainkan semula pada 24 Jun)

Likes(0)Dislikes(0)

12 thoughts on “TM Liga Super – Perak Vs Negeri Sembilan (result)

  1. anipjebat

    salam semua..

    Tahniah kepada pasukan Perak yang menampilkan corak permainan yang menarik untuk menghasilkan 3 mata berharga..kredit harus diberikan kepada barisan pertahanan Perak yang bermain cemerlang..bagi teman man of the match untuk perlawanan ini sudah tentu kepada penjaga gol,Kamarul Effandi yang mantap di pintu gol..mutu pengadilan harus dipersolkan bagi game ini kerana pengadil bertindak 'terlebih bijak' menhadiahkan kad merah kepada Hafiszuan..Teman ada di stadium dan apa yang teman nampak Hafiszuan tidak seharusnya dihukum dengan kad merah kerana situasi bola pada masa itu 50-50.memadai dengan kad kuning atau amaran lisan bagi kesalahan yang tidak disengajakan..Walaupun keputusan pengadil tidak menyebelahi pasukan Perak namun itu bukan penghalang untuk pasukan Perak menang bergaya.Semangat begini yang teman dan seluruh penyokong pasukan Perak nantikan..

    Kepada barisan kejurulatihan,anda seharusnya prihatin dengan keberkesanan dan fungsi setiap pemain pada ketika ini..Thinagaran bukan gandingan ideal buat Nazri dibahagian tengah..sudah 2 game teman saksikan Wan Hossen lebih menyerlah bila diletakkan diposisi tengah bergandingan dengan Nazri Kamal..Coach, 'Best Man Winner',jangan ada pilih kasih antara pemain..Kami sebagai penyokong setia pasukan menilai setiap keputusan yang anda buat..

    Tahniah buat Razali kerana anda semakin matang dalam menyudahkan peluang yang ada..2 gol dari anda yang pada teman cukup tenang anda sudahkan..Tingkatkan lagi persefahaman dengan rakan anda dibahagian serangan,Saufi..kalian berdua mampu menjadi gandingan yang hebat dan digeruni lawan..

    Kekalkan konsistensi dan mantapkan strategi untuk menghadapi Kelantan sabtu ini dan tidak mustahil 3 mata dari Kota Bharu dapat dicapai..Menang biar bergaya,kalah biar bermaruah..adios

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. razlan

    Tahniah Perak dan yob/yong semua diatas kemenangan ini. tiga mata yang cukup berharga untuk memastikan Perak terus kekal di Liga Super.

    namun, perlawanan masih berbaki enam lagi dan seharusnya momentum kemenangan perlu diteruskan.

    kepada pemain2, jangan gentar untuk bermain di Kota Bahru sabtu ini. buktikan kemenangan boleh diraih juga di gelanggang lawan.

    webmaster: artikel yang cukup menarik. lagi hebat dari stesen tv yang 'tulis lain, baca lain'.

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. anip

    Salam.

    Tahniah...Tahniah...Tahniah...
    Walaupun bermain 10 orang namun keputusan yang ditunjukkan membuktikan bahawa tiada yang mustahil dalam menggapai apa yang diinginkan. Syabas pemain Perak.

    Teruskan usaha. Jangan toleh ke belakang lagi. Kalian semua mampu melakukan yang terbaik.

    Kejor Yob Kejor!!!

    Likes(0)Dislikes(0)
  4. zul_united

    Salam..

    Tiada apa lagi yang mamapu teman berikan melainkan dengan sekalung ucapan tahniah kerana berjaya memperolehi kemenangan kedua berturut-turut malam tadi.

    Walaupun terpaksa mengharungi perlawanan dengan 10 pemain lawan 11 dan dengan kedudukan 0-0,tetapi teman percaya semangat juang yang tinggi serta pantang mengalah sebelum wisel penamat dibunyikan adalah azimat kita untuk mencapai kemenanagan ini.

    Apapun,perjalanan masih jauh lagi dan teman berharap pasukan Seladang Jr. tidak terleka dan terus memburu kemenangan demi kemenangan untuk menduduki tangga terbaik dalam liga musim ini.AYUH!!!BUKTIKAN KEMAMPUANMU!!!

    Likes(0)Dislikes(0)
  5. miez3

    Sekalung tahniah buat pasukan Seladang Jr.

    Walaupun bermain 10 orang tetapi masih berupaya memberi saingan sengit kepada pasukan lawan...

    Perak masih berharap kepada Razali Umar "Adebayor" Kandasamy sebagai penyudah utama...diharap beliau meneruskan usaha sebagai antara penjaring terbanyak Liga Super...akan tetapi pihak pengurusan Perak harus jua merencana agar posisi beliau mempunyai "back up" untuk elakkan ketandusan penjaring sekiranya beliau tiada akibat kecederaan atau digantung perlawanan.

    Buat pasukan Perak musim ini...sekiranya momentum seperti ini dikekalkan...anda semua masih boleh memberi saingan dalam liga dan kekal di dalam Liga Super untuk musim2 akan datang.

    Apapun yang penting fokus dan teruskan usaha...kami tidak marah dan kecewa sekiranya kalah tapi bermain bermati-matian untuk maruah negeri akan tetapi akan berasa demikian sekiranya keadaan masih tidak berubah dan anda sendiri tidak melakukan sesuatu untuk merubah suasana..fikir2kan lah..

    Syabas sekali lagi...kami tetap dibelakang anda..Skor Yob Skor!!

    Likes(0)Dislikes(0)
  6. sunrise

    salam..

    Tahniah diucapkan kepada pemain pemain pasukan Perak kerana berjaya memenangi perlawanan kali ini walaupun bermain 10 orang setelah Hafiszuan dilayangkan Kad Merah. Cuma pada pandangan teman,diharapkan M.Karuthu dapat melatih pemain pemain lebih kepada tendangan hantaran hantaran dekat atau jauh dengan lebih kerap. Kerana masih jelas dan nyata pemain-pemain ini masih kurang bijak untuk melakukan hantaran hantaran yang tepat. masalah kedua pula pasukan Perak tidak mampu menguasai dibahagian tengah,tetapi setelah kemasukan Wan Hosein penguasaan dibahagian tersebut jelas semakin dikuasai dengan hebat,dan dapat melakukan lorongan-lorongan yang menarik dan mampu mengindahkan persembahan perlawanan. masalah ketiga,seperti yang telah dinyatakan oleh saudara Syidi pemain-pemain terlalu malu dan segan untuk merebut bola ketika diudara. Diharapkan pihak yang berwajip dapat mengkaji semula bagaimana perkara sebegini dapat diubah.

    Likes(0)Dislikes(0)
  7. khairol

    salam..

    alhamdulilah atas kemenangan ini. ia bukannya mudah. Negeri Sembilan telah menewaskan perak pada pusingan pertama di Paroi. namun pemain buktikan mereka mampu lakukan.

    semoga 2 kemenangan berturut-turut ini menjadi pemangkin untuk perlawanan seterusnya. apatah lagi kemenangan ini di capai terhadap pasukan atasan liga. ia dapat membuka mata pasukan atasan. pasti akan gentar bila berhadapan dengan Perak. awas menanti Kelantan selepas ini.

    teruskan sokongan kita. ayuh semua

    Likes(0)Dislikes(0)
  8. taufiq

    Salam..

    Pertama sekali teman hendak mengucapkan jutaan tahniah buat semua pemain dan jurulatih Perak yang mampu membuktikan kemampuan kita mencipta kemenangan ke atas pasukan Negeri Sembilan. Walaupun bermain dengan 10 orang pemain, kita mampu juga menjaringkan 2 gol. Teman agak terkejut dan bangga apabila mendapat berita gembira ini daripada salah seorang krew Seladang.net (san) sebaik sahaja permainan tamat.

    Namun begitu, buat pemain Perak janganlah terlalu yakin akan kemenangan ini, kerana masih ada lagi perlawanan yang harus ditempuhi. Apa yang harus diutamakan adalah semangat kerjasama dan semangat melawan perlu di ambil kira dalam menjadikan sebuah pasukan yang mantap. Buatlah sehabis baik bagi memastikan pasukan Perak kekal di dalam kelompok yang terbaik dalam Liga Super kali ini dan seterusnya. Masih ada lagi masa, memandangkan rata-rata pemain Perak adalah pemain muda belaka, oleh itu, jangan sia-siakan kepercayaan yang diberikan. Sungguh besar harapan peminat setia untuk melihat pasukan Perak sebuah pasukan yang kuat.

    Akhir sekali, kekalkan semangat seperti ini serta kerjasama yang kuat, InsyaAllah Perak pasti gemilang..

    Skor yob Skor..

    Likes(0)Dislikes(0)
  9. syidi

    Salam..

    Tahniah. Walaupun saya hanya menonton perlawanan melalui rakaman video, saya dapat bayangkan corak permainan yang telah dipamerkan keseluruhannya.

    Cuma satu perkara yang saya ingin bangkitkan di sini. Berkenaan pemain utama Perak. Mengapa Wan Hossen tidak disenaraikan sebagai 'First Eleven'? Beliau dilihat banyak membuka peluang kepada barisan serangan untuk menjaringkan gol.

    Mungkin ' Head Coach' ada alasannya tersendiri. Namun pada saya, sekali sekala beliau patut dicuba untuk membarisi kesebelasan utama.

    Kemenangan ini turut dibantu oleh ketiadaan sekurang-kurangnya 3 tonggak utama Skuad Jang semalam. Namun, 'Well Done' kepada barisan pertahanan Perak termasuk Penjaga Gol yang berjaya mengekang asakan barisan serangan lawan dengan sempurna sekali.

    Ini dianggap kemenangan MORAL yang terbesar tahun ini. Jadikan ini sebagai titik kebangkitan SKUAD SELADANG. Pastikan kejutan di perlawanan yang akan datang. Sudah semestinya pasukan handalan lain memberi perhatian sewajarnya setelah kejayaan ini.

    Teruskan Perjuangan YOB!

    Likes(0)Dislikes(0)
  10. belanak

    Salam

    tahniah... syabas... kepada semua pemain di atas kemenangan pada sabtu lepas... semoga kejayaan akan dapat dikecapi pada perlawanan akan datang...

    teruskan usaha kalian dan usah leka serta patah semangat... semoga kalian berjaya.. usaha tangga kejayaan...

    apa yang penting... KERJASAMA...
    apa yang penting... KERJASAMA...

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.