TM Liga Super – PDRM Vs Perak (result)

TM Liga Super 2009

Sabtu 20 Jun 2009
Stadium Perak
8:45PM

PDRM 2 – 3 Perak

Skuad seladang berjaya mencatatkan kemenangan tipis 3 – 2 menentang pasukan di tangga tercorot, PDRM yang menjadi tuan rumah di Stadium Perak malam tadi di hadapan kira-kira 2000 orang penyokong setia Perak.

Perak meletakkan penjaring terbanyak pasukan, Razali Umar yang bergandingan bersama Muhammad Zafran di bahagian jentera serangan untuk pertama kalinya sambil merehatkan Saufi Sa’aidi di bangku simpanan.

Permainan pada mulanya lebih dikuasai oleh Perak dengan asakan bertali arus namun penyudah yang tumpul dari jentera serangan dan corak permainan keras yang ditonjolkan PDRM sedikit meragut rentak perlawanan.

Perak membuat pertukaran pertama pada minit ke 36 mengeluarkan Muhammad Zafran yang dilihat kurang berbisa sebagai penyerang dengan memasukkan Saufi Sa’aidi. Permainan separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 0 – 0.

Perak mendahului seawal minit ke 48 separuh masa kedua melalui penyudahan cantik dari Saufi Sa’aidi yang berjaya menolak masuk bola yang gagal ditangkap oleh penjaga gol PDRM.

Minit ke 60, pasukan PDRM berjaya mengikat keputusan 1 – 1 apabila Eddy Gapil mudah menyudahkan sepakan penalti setelah Chun Keng Hong menjatuhkan pemain PDRM di dalam kotak penalti Perak.

8 minit berselang, Perak mendapat sepakan percuma dari jarak 25 meter yang diambil oleh Nor Hazrul dan sepakan beliau cantik melepasi jangkauan penjaga gol PDRM untuk kedudukan semasa 2 – 1 buat pasukan Perak mendahului.

Malam yang malang buat pasukan PDRM apabila pemain senior mereka, Silvester Sindih dilayangkan kad merah setelah mengutip kad kuning kedua pada malam itu kerana mengasari Mohd Hafiszuan pada minit ke 70.

Minit ke 74, Saufi Sa’aidi sekali lagi bertindak cemerlang apabila rembatannya dari luar kotak penalti memperdayakan penjaga gol lawan sekaligus gol kedua beliau malam itu untuk membolehkan Perak mendahului PDRM 3 – 1.

Bermain 10 orang tidak melemahkan semangat pemain-pemain PDRM apabila mereka berjaya merapatkan jurang pada minit ke 85 melalui satu serangan balas pantas dari Khairul Izuan Abdullah tatkala benteng Perak dalam keadaan alpa.

Pada saat-saat akhir permainan Perak membuat 2 lagi pertukaran yang dilihat sebagai cubaan melengahkan masa. Megat Amir Faisal turut tidak terlepas menerima kad kuning dari pengadil kerana lambat membuat sepakan gol.

Pengadil meniup wisel penamat dengan keputusan muktamad PDRM 2 – 3 Perak. Skuad seladang berjaya memperolehi 26 mata untuk menduduki tangga ke 9 Liga Super.

Kesebelasan Utama:

Megat Amir Faisal (PG)
Nor Hazrul
Chun Keng Hong (K)
Mohd Hafiszuan
Syazwan Roslan
Mohd Nazri Kamal
Isma Alif
Khalis Ibrahim (B20)
K. Thinagaran – 2
Razali Umar – 3
Muhammad Zafran – 1

Pertukaran:

Saufi Sa’aidi – 1
Hafiz Abdul Rahman – 2
Zahiruddin – 3

Keputusan Perlawanan Lain 20 Jun 2009:

Negeri Sembilan 1 – 1 Selangor
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi

Perlis 3 – 0 Pulau Pinang
Stadium Utama Negeri, Kangar

Plus FC 2 – 0 Pahang
Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras

My Team 0 – 5 Terengganu
Stadium MP Selayang

Kuala Muda 0 – 1 Kelantan
Stadium Darul Aman, Alor Setar

Likes(0)Dislikes(0)

3 thoughts on “TM Liga Super – PDRM Vs Perak (result)

  1. belanak

    Salam...

    sekalung tahniah buat kalian di atas kemenangan malam tadi... semoga keputusan yang positif akan terus kita kecapi dalam sisa2 perlawanan yang tinggal... kekalkan momentum dan teruskan usaha yang cemerlang....

    kerjasama antara satu sama lain akan membuahkan kejayaan bersama dan akan dikongsi saat manis indah bersama semua kalian penyokong...

    usah mengalah dan jangan putus asa... selamat maju jaya dan semoga kita akan terus kekal di Liga Super... InsyaAllah..

    Apa yang penting... KERJASAMA...
    Apa yang penting... KERJASAMA...

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. active11

    Tahniah Perak..

    Megat juga tidak ketinggalan mendapat kad kuning...hehehe memang artikel yang jelas dan telus.

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. sunrise

    salam...

    Tahniah diucapkan diatas kejayaan skuad Perak menumpaskan pasukan PDRM. 3 Mata yang berharga pada kali ini tidak dilepaskan oleh pemain pemain yang diberi tanggungjawap utnuk menjana pasukan kearah kejayaan.

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.