TM Liga Super – Perak Vs Pahang (result)

TM Liga Super 2009

Sabtu 4 April 2009
Stadium Perak, Ipoh
8:45PM

Perak 2 – 0 Pahang

Skuad seladang mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila berjaya menjinakkan Pahang pada perlawanan ke 11, TM Liga Super 2009 di Stadium Perak dengan keputusan 2 – 0 walaupun pada suatu ketika terpaksa bermain dengan 10 orang pemain.

Permainan seimbang apabila kedua-dua pasukan sering dilihat berbalas serangan namun tiada satu pun percubaan yang mengancam antara satu sama lain. Kedatangan penonton di Stadium Perak agak baik walaupun perlawanan ini disiarkan secara langsung di RTM 1.

Musibah menimpa Perak pada minit ke 41 apabila Muhd Nazri Kamal menerima kad kuning kedua dan seterusnya dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan apabila melakukan kekasaran terhadap pemain pertahanan Pahang, Azwari Wan Nor.

Sebelum itu pada minit ke 39, Muhd Nazri Kamal telah menerima kad kuning pertama perlawanan kerana mengait kaki Azamuddin Akil diluar kawasan gol Perak. Tamat separuh masa pertama dengan keputusan semasa terikat tanpa sebarang jaringan.

Bermula separuh masa kedua, Perak membuat 2 pertukaran serentak apabila mengeluarkan Arsyah Ayob untuk S. Subramaniam serta Saufi Sa’aidi pula digantikan dengan Hafiz Abdul Rahman sebagai pemain tengah yang membantu Razali Umar.

Pasukan Pahang bermula baik apabila melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah kubu Perak namun berjaya dipatahkan dengan baik oleh barisan pertahanan tuan rumah yang diperkuatkan dengan kehadiran semula S. Subramaniam dibahagian pertahanan kanan.

Minit ke 64, hasil bola muntah dari penjaga gol Pahang yang dikuis oleh Hafiz Abdul Rahman sewaktu bergelut dengan 2 orang pemain lawan di dalam kotal penalti Pahang berjaya ditolak masuk oleh Razali Umar untuk gol pertama Perak malam itu.

Tersentak dengan gol tersebut pasukan Pahang menggandakan asakan ke kubu pasukan Perak namun nasib malang menimpa mereka apabila Perak dihadiahkan sepakan penalti setelah Razali Umar dijatuhkan oleh Hazri Rozali pada minit ke 79.

Pemain pertahanan, Mohd Nor Hazrul mudah meledakkan tendangan penalti tersebut untuk gol kedua Perak sambil pasukan pelawat juga terpaksa bermain 10 orang kerana Hazri Rozali turut dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan.

Hafiz Abdul Rahman nyaris menambah gol ketiga Perak pada minit ke 90 apabila tandukannya terkena tiang gol sebelah kanan Pahang dan percubaan susulan dari Safwan Mahayuddin pula dibatalkan oleh pengadil kerana kedudukannya telah pun offside.

Perlawanan tamat selepas tambahan masa 3 minit dengan lawan seterusnya untuk pasukan Perak adalah menentang pasukan kelab bimbingan Mohd Zan Mat Aris, Plus FC pada hari Sabtu 11 April 2009 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kesebelasan Utama:

Kamarul Effandi (PG)
Chun Keng Hong (K)
Mohd Nor Hazrul
K. Puvinderan
Mohd Hafiszuan
Khalis Ibrahim (B20) – 3
Mohd Arsyah Ayob – 1
Muhd Nazri Kamal
Isma Alif
Razali Umar
Saufi Sa’aidi – 2

Pertukaran:

S. Subramaniam – 1
Hafiz Abdul Rahman – 2
Safwan Mahayuddin – 3

Krew Info Shoutbox: San

Keputusan Perlawanan Lain 4 April 2009:

Kedah 1 – 2 Kelantan
Stadium Darul Aman, Alor Setar

Selangor 5 – 1 PDRM
Stadium Shah Alam

Negeri Sembilan 3 – 1 Kuala Muda
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi

Johor FC 1 – 0 My Team
Stadium Jcorp, Pasir Gudang

Perlis 2 – 1 Plus FC
Stadium Utama Negeri, Kangar

Pulau Pinang 2 – 3 Terengganu
Stadium Bandaraya Pulau Pinang

Likes(0)Dislikes(0)

12 thoughts on “TM Liga Super – Perak Vs Pahang (result)

  1. syidi

    Salam..

    Tahniah! Hanya itu yang saya dapat ucapkan dengan kemenangan bergaya menundukkan Tok Gajah semalam di Ipoh.

    Pun begitu, masih banyak kelemahan perlu diperbaiki, terutama diseparuh masa pertama semalam. Sebagai contoh, Perak hanya melakukan sekali percubaan tepat berbanding Pahang dengan sekurang-kurangnya 2 percubaan tepat.

    Apa yang saya banggakan dengan Pemain-Pemain Perak adalah semangat juang yang kental serta sikap positif yang ditonjolkan begitu menyerlah. Jelas tindakan pengadil perlawanan melayang kad merah kepada Nazri Kamal yang merupakan salah seorang jentera tengah utama, tidak langsung menjejaskan moral, semangat dan corak permainan Perak. Tahniah, dan teruskan.

    Inilah yang dikatakan 'Pantang Maut Sebelum Ajal' dan 'Pantang UNdur Tetap Mara'. Sememang semangat ini yang kami (Penyokong) harapkan sebilang masa dan bukan hanya bersifat sementara.

    Semangat juang lebih membara pada separuh masa kedua. Persembahan agak baik di babak kedua ini dibantu oleh persembahan Pahang yang agak hambar dan penyudah yang tumpul. Perlu diingat, jika Pahang adalah pasukan yang memiliki penyudah yang jitu, sekurang-kurangnya mereka boleh menjaring 2-3 gol semalam.

    Boleh saya simpulkan sekarang, Perak Jr kini telah mempunyai 'Identiti' tersendiri yang terhasil daripada sikap individu yang positif. Teruskan. Selepas ini, kami berjanji akan memenuhi bangku penonton di Stadium Cheras untuk sokong Perak Jr dalam meratah mangsa seterusnya 'Jaguh Lebuhraya' KL Plus.

    Baiki kelemahan dalam perlawanan semalam. Muhasabah diri dan jangan sesekali diulangi dalam perlawanan selepas ini. Ingat, kita bukan lagi pasukan biasa, sebaliknya musuh-musuh kita mula gusar dengan anak-anak buah M Karuthu yang semakin 'mengganas'.

    Keep it Up! Perak Boleh! We're Perakians! Skor Yob Skor!!

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. sunrise

    salam

    Tahniah kepada pemain pemain Perak yang kental dan mampu untuk memenangi perlawanan kali ini walaupun hanya bermain dengan 10 orang. Semangat begini harus diteruskan demi memastikan skuad Perak berada dilandasan yang tepat. Walaupun corak permainan semalam teramat menghampakan penyokong penyokong yang hadir semalam namun dengan kemenangan tersebut mampu membuatkan penyokong penyokong tersenyum tanda kepuasan.

    Penjaga gol - Kamarul Effendi bermain prestasi agak merudum sedikit, beliau telah melakukan beberapa tangkapan yang agak kurang memuaskan. walaupun tidak bolos,tindakan-tindakan yang diambil oleh Kamarul membuatkan kami tidak senang duduk dibuatnya.

    Pertahanan - agak kucar kacir diseparuh masa pertama. perlukan komunikasi dengan lebih kerap agar ianya tidak kelam kabut.

    Tengah - selepas ketiadaan Arsyah Ayob diseparuh masa kedua dan ketiadaan Nazri yang dilayangkan kad kuning kedua diseparuh masa pertama agak membosankan tiada gerakan gerakan yang menarik dan hantaran hantaran yang tepat kearah penyerang. Khalis Ibrahim jelas sekali bermain dalam keadaan tertekan dan sukar utnuk melakukan hantaran hantaran yang kemas. kemasukan Hafiz diseparuh masa kedua jelas sekali tiada fungsi dan hanya sekali sahaja mampu melakukan shoot target.

    Penyerang - hanya Razali Umar yang mampu melakukan gerakan dan jaringan. Saufi Sa'aidi perlu lebih berani untuk melakukan cubaan dari jarak jauh ataupun jarak dekat.

    Keseluruhan permainan agak membosankan. pemain yang bermain dibawah tahap ialah Khalis Ibrahim, Saufi Sa'aidi dan Kamarul Effendi. Pemain yang perlu diberi latihan yang lebih keras Hafiz Abdul Rahman.

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. YeopSKA

    Alhamdulillah,
    Perak kita berjaya menundukkan Pahang malam tadi walaupun diasak hebat akibat bermain sepuluh orang,pasukan kita berjaya menangkis segala tekanan. Tahniah dan syabas buat semua pemain kita terutamanya kepada pemain penyerang Razali Umar yang telah berjaya menghidu peluang bagi menjaringkan gol kepada pasukan kita. Teruskan kemaraan dan kekalkan rentak kemenangan bagi perlawanan berikutnya.Tahniah sekali lagi dan terima kasih tak terhigga kepada semua pemain kerana sekali lagi menghadiahkan kemenangan bagi negeri kita juga kegembiraan bagi semua peminat setia.

    Likes(0)Dislikes(0)
  4. khairol

    syukur atas kemenangan ini..

    tahniah buat sepuluh kesebelasan atas kejayaan 2-0 ke atas tok gajah.. mungkin ada rahmat di sebalik kad merah buat Nazri.. apabila Perak tinggal 10 pemain, dapat dilihat pemain Pahang seperti over confident daripada hanya seri, memburu kemenangan.. sikap ini memakan diri mereka sendiri.. akhirnya pemain muda Perak bijak menggunakan kesempatan melalui serangan kilat.. smart football yang diamalkan oleh anak didik M.Karathu.

    taktikal Karathu menjadi selepas rehat.. mengarahkan Razali membuat larian solo, memasukkan pemimpin padang berkarisma, Subramaniam, Hafiz Abdul Rahman juga tidak mengecewakan.. ia jelas membuahkan hasil.

    apapun pemain Perak harus bijak mengawal emosi (merujuk kepada kad merah Nazri dan kad kuning buat Chun Keng Hong).

    Likes(0)Dislikes(0)
  5. belanak

    Salam...

    tahniah...tahniah..tahniah...!!

    anda semua telah buktikan bahawa hasil kerjasama semua pemain akan menghasilkan hasil yang boleh dibanggakan bersama penyokong Skor Yob Skor...

    semoga semangat juang sebegini dapat diteruskan untuk game yang seterusnya....jangan mudah leka dan jangan mudah putus asa...tingkatkan komunikasi antara satu sama lain....insyaAllah kita akan beroleh kejayaan dan seterusnya memperbaiki kedudukan di dalam liga Super 2009...

    Apa yang penting...KERJASAMA..
    Apa yang penting...KERJASAMA..
    Skor Yob Skor....

    Likes(0)Dislikes(0)
  6. ardee

    Salam
    Tahniah dan syabas kepada semua pemain2 kerana telah menghadiahkan kemenangan yang berterusan. Penyokong2 Perak terhibur dengan corak permainan yang ditunjukkan. Kami sentiasa menantikan perlawanan seterusnya dengan penuh harapan untuk menang. Dalam pada itu masih terdapat beberapa kelemahan antaranya di barisan pertengahan yang tidak dapat membuat hantaran2 yang sempurna kepada penyerang. Kerap kali hilang bola dan terlalu lama memegang bola. Perak jelas hanya mengharapkan kepada sentuhan Razali Umar Kandasamy untuk mendapatkan gol. Kerisauan terbit apabila melihat pihak lawan membuat bentesan. Diharapkan perlawanan seterusnya, gerakan penyudah Perak akan lebih berani menghasilkan gol. Keseluruhannya anda semua telah menampakkan kemajuan berbanding dengan awal musim lalu. Teruskan kejayaan demi kegemilangan Perak Darul Ridzuan. Kejor Yop Kejor!

    Likes(0)Dislikes(0)
  7. san

    salam,

    Positif..

    Itu antara satu faktor utama kemenangan malam kemarin. Permulaan yang lembab dan berhai-hati memakan diri sendiri apabila pemain perak dikenakan kad merah iaitu Nazri Kamal. Dari sudut perhatian san, tackle yang kedua mengakibatkan kad merah kepada beliau adalah tidak disengajakan. Namun apakan daya hukuman tetap hukuman.

    Corak bertahan yang dilakukan atas arahan Coach pada malam itu ternyata berkesan dengan meletakkan Razali keseorangan dibahagian serangan dengan memperkuatkan barisan tengah yang ternyata pincang sebelum itu. hantaran-hantaran jauh ke Razali sering dipatahkan pertahanan lawan, namun peluang yang terhidang tidak selalu itu, digunakan sebaiknya sehingga Perak mendahului dengan 1-0.

    Selepas gol Perak yang pertama itu, Perak semakin yakin dan mencari peluang untuk membuat serangan kilat, namun Razali yang dikawal ketat sentiasa diasak pertahanan lawan, dan harap mutu pengadilan dipertingkatkan kerana setiap kali Razali meloloskan diri dari pertahanan, baju Razali ditarik namun tidak dipeduli pengadil pada malam itu, sehingga Razali diterjah didalam kotak penalti sebelum Norhazrul menyempurnakan gol kedua walaupun bermain dengan 10 orang pemain sebelum itu.

    San yang berada di stadium turut berbangga dengan sikap pemain Perak yang positif, tidak mengikut emosi walaupun kekurangan seorang pemain.

    syabas dan tahniah.

    Likes(0)Dislikes(0)
    1. sunrise

      teman sependapat dengan san, keputusan pengadil pada malam perlawanan amat mengecewakan. disebabkan pengadil perlawanan tersebut dipenuhi dengan insiden yang tidak sepatutnya terjadi.

      Likes(0)Dislikes(0)
  8. razlan

    salam geng yob and yong

    lagi dua perlawanan, liga super 2009 akan menamatkan pusingan pertama walaupun mengikut jadual asal pusingan pertama sepatutnya tamat pada 16 mei.

    adakah Perak akan berjaya mengekalkan kedudukan ke-6 atau memperbaiki kedudukan ke tangga ke-5 atau mungkin lebih tinggi lagi?

    ayuh barisan muda Perak, tiada apa yg mustahil jika anda melakukannya sepasukan.

    Likes(0)Dislikes(0)
  9. chuck

    Salam Perjuangan!!!

    Salam yang penuh dengan seribu pengertian serta pemahaman miker-miker Yop-Yong sumer..

    Salam yang mendapat tempat dijiwa seluruh skuad Yop.Tahniah dan Syabas dari teman.Kome semua layak untuk digelarkan sebagai pencabar utama dalam M-league ni dan bukanya menumpang populariti team Perak yang terdahulu.

    Our target makin hampir.Teruskan kemaraan miker.Top 5 hampir pasti dalam genggaman.kome semua sudahpun membuka mata dan mulut orang kita yang kome mampu untuk buktikan.

    Tambah kow kan lagi setiap ramuan/resepi yang sedia ada biar semuanya cukup tuk menjadikan miker lebih bernafsu meratah hidangan yang tersaji menentang KL-Plus nanti.

    Mentaliti kian meningkat namun semangat juang juga perlu dipertingkatkan sehingga ke titisan keringat yang terakhir.

    Pada semua player,ingat dan sedarlah realiti hidup yang sebenarnya..Kita juga yang mampu merubahnya!!bukan mereka!!tapi kita!!

    salam Qaulan..chuck in d'house

    Likes(0)Dislikes(0)
  10. azwandin

    salam...

    perlawanan menentang Pahang mengikut pendapat saya, Perak jelas bernasib baik memperoleh gol yang menukar arus perlawanan dan membina kembali keyakinan selepas gol tersebut.permainan malam itu sebenarnya agak buruk, terutamanya babak pertama hinggakan penonton di stadium berasa amat jelak. saya juga berperasaan sedemikian dan berasakan mahu cepat tamat perlawanan itu disebabkan betapa bosannya corak yang dipamerkan. mujurlah Pahang tidak mempunyai karisma untuk memecah benteng gol Perak hatta meskipun Perak bermain 10 orang, saya amat yakin Pahang tidak akan dapat menang malam itu. paling tinggi pun seri.

    cuma yang membezakan kedua pasukan ini ialah semangat juang tinggi dipamerkan Perak. juga perubahan taktikal Karathu pada masa rehat sedikit sebanyak membantu kemenangan ini. justeru itu, perlawanan seterusnya perlu diberi perhatian penuh untuk memastikan pendakian terus diusahakan.

    komen peribadi saya mengenai pemain malam tersebut;

    Kamarul :
    saya tak setuju dengan pendapat segelintir rakan kita yang mengatakan Kamarul bermain buruk pada malam itu. persembahannya sederhana dan nampak yakin di pintu gol. tendangan golnya juga boleh dikategorikan bertahap antarabangsa. (rating: 6)

    Chun Keng Hong : tenang dan berjaya mengawal benteng dengan baik (rating : 7)

    Hazrul : bagi saya, beliau merupakan MOTW. bermain baik, yakin diri, melakukan 'overlapping' yang baik dan cepat menutup ruang lawan. ( rating: 8)

    Puvinderan : goyang (rating: 5.5)

    Hafiszuan :
    serba boleh. separuh pertama bertindak dibahagian bek kiri manakala separuh kedua sebagai defensive midfielder. namun, sering lalai dan mengambil mudah. kadangkala kehilangan bola dengan mudah sekali yang cukup membahayakan jika dapat kepada pasukan yang lebih mantap. ( rating: 6.5)

    Nazri Kamal : tidak bernasib baik ( rating : 5)

    Arsyah : berusaha keras namun tidak membahayakan lawan ( rating : 5.5)

    Khalis : separuh pertama memang menghampakan. kawalan bola buruk, hantaran meliar, tiada keyakinan. menunjukkan sedikit peningkatan pada babak kedua dengan menggunakan kelebihan larian pantas sebagai senjata ( rating : 6)

    Isma : rajin namun seperti Arsyah, tiada apa yang menarik tentang permainannya malam itu ( rating : 5.5)

    Saufi : menghampakan. beberapa kali gagal membuat keputusan untuk melakukan percubaan ke arah gol. hantaran yang menjengkelkan. perlu berusaha lebih keras. (rating : 5)

    Razali : separuh pertama agak membosankan. tiada kesungguhan. menunggu bola lepas. separuh kedua mendapat lebih kebebasan bergerak. jaringannya menambah keyakinan diri selepas itu. (rating : 6.5)

    Subramaniam : kemasukannya berjaya mengubah keadaan. ( rating : 6.5)

    Hafiz Rahman : ada kesungguhan dan kepantasan. namun masih mentah dan terlalu banyak kelemahan terutamanya ketika mahu membuat hantaran. walau bagaimanapun, persembahannya tidaklah begitu menghampakan ( rating: 6)

    Safwan :
    masuk masa dah nak tamat perlawanan. tiada rating

    keseluruhannya, permainan yang tidaklah begitu mantap namun 3 mata ini cukup berharga. ayuh Perak! kita terus bangkit hambat dan tumbangkan gergasi-gergasi yang merasakan diri mereka cukup besar sebelum ini!

    Likes(0)Dislikes(0)
    1. syidi

      Saya bersetuju dengan pandangan saudara Azwandin. Saya amat tertarik dengan dengan rating yang diberikan kepada Norhazrul. Sepanjang pengetahuan saya, dia asalnya adalah seorang Midfielder yang ditukarkan posisinya ke Defensive.

      Kali pertama saya melihat dia bermain sebagai defensive memang agak goyang. Namun, sekarang pecaturan M Karuthu nampak menjadi dan Norhazrul berjaya memainkan peranan dengan baik dan mengikut arahan dengan baik sekali. 'Overlapping' yang dilakukan memang baik dan tepat di samping berjaya menutup ruang untuk lawan bertindak.

      Cuma selepas ini, diharap para pemain bersemangat seperti perlawanan yang lepas kerana walaupun bermain 10 orang masih bersemangat tinggi.

      Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.