TM Liga Super – Perak Vs Plus FC (result)

TM Liga Super 2009

Sabtu 28 Februari 2009
Stadium Perak, Ipoh
8:45PM

Perak 2 – 0 Plus FC

Perak mencipta kemenangan keempat dalam saingan liga super malam ini apabila menewaskan pasukan kelab dari Kuala Lumpur, Plus FC dengan jaringan 2 – 0 pada perlawanan kelapan TM Liga Super 2009 di Stadium Perak.

Perlawanan yang disaksikan kira-kira 5000 orang penonton ini agak terganggu apabila hujan turun dengan lebat sepanjang separuh masa pertama. Pemain kedua-dua pasukan lebih berhati-hati kerana padang yang becak menyukarkan bola untuk bergerak.

Nasib malang menimpa pasukan Plus FC apabila terpaksa bermain dengan sepuluh orang apabila Ramesh Lai Ban Huat dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana menyiku Saufi Sa’aidi pada minit ke 11 separuh masa pertama.

Arsyah Ayob turut menerima kad kuning kerana mengasari pemain lawan pada minit ke 25. Perak lebih banyak menguasai permainan namun tiada sebarang percubaan yang merbahaya untuk menghasilkan gol sehinggalah tamat separuh masa pertama.

Hujan yang turun mulai berhenti diseparuh masa kedua dan pada minit ke 54, Perak membuat pertukaran pertama apabila mengeluarkan pemain tengah Arsyah Ayob dengan memasukkan Shahrizal Saad untuk menguatkan bahagian tengah Perak.

Dua minit kemudian Saufi Sa’aidi menceriakan penyokong tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol pertama pasukan Perak melalui satu rembatan cantik dari luar kotak penalti yang tidak dapat dijangkau oleh penjaga gol lawan.

Penjaring gol terbanyak Perak, Razali Umar Kandasamy menambah gol kedua pada minit ke 79 dengan larian solo terus menewaskan pertahanan Plus FC yang keletihan dan mudah memperdayakan penjaga gol lawan setelah menerima umpanan dari rakan.

Perak membuat pertukaran kedua pada minit ke 84 apabila mengeluarkan Isma Alif dengan memasukkan Hafiz Abdul Rahman. Minit ke 88, Perak nyaris menambah gol ketiga apabila sepakan percuma Nor Hazrul dari luar kotal penalti terkena palang gol.

Kesebelasan Utama:

Kamarul Effandi (PG)
Chun Keng Hong (K)
Mohd Hafiszuan
Nor Hazrul
Syazwan Roslan
Arsyah Ayob – 1
Mohd Nazri Kamal
Khalis Ibrahim (B20)
Isma Alif – 2
Saufi Sa’aidi
Razali Umar

Pertukaran:

Shahrizal Saad – 1
Hafiz Abdul Rahman – 2

Krew Info: San, Taufiq

Keputusan Perlawanan 28 Februari 2009:

Kedah 3 – 0 Terengganu
Stadium Darul Aman, Alor Setar

Selangor 3 – 0 Kelantan
Stadium Shah Alam

Negeri Sembilan 4 – 1 PDRM
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi

Johor FC 0 – 1 Kuala Muda Naza
Stadium Jcorp, Pasir Gudang

Perlis 2 – 0 My Team
Stadium Utama Negeri, Kangar

Pulau Pinang 2 – 2 Pahang
Stadium Batu Kawan

Likes(0)Dislikes(0)

10 thoughts on “TM Liga Super – Perak Vs Plus FC (result)

  1. razlan

    tahniah seladang jr.

    diharap momentum kemenangan ini dapat diteruskan semasa lawan Selangor di stadium Perak selasa ini dan di stadium Shah Alam sabtu depan untuk suku akhir piala fa.

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. sunrise

    salam

    Alhamdulillah kerana skuad Perak berjaya mengekalkan rentak kemenangan setelah berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir piala F.A. dengan kemenangan kali ini mampu membuatkan mentaliti pemain pemain skuad Perak mampu menjadi lebih positif dan lebih agresif untuk mencari kemenangan selepas ini......

    Walaupun skuad Perak terpaksa merempuhi perlawanan dalam keadaan padang yang becak akibat dilimpahi hujan ketika perlawanan berlangsung,namun itu semua bukanlah penghalang besar untuk skuad Perak mencipta kemenangan yang teramat bermakna dihadapan penyokong penyokong setia skuad Perak.........kepada pemain kelahiran Kelantan iaitu Saufi Sa'aidi tahniah saya ucapkan kerana perlawanan kali ini anda adalah Man Of The Match....... diharapkan prestasi anda akan lebih menyerlah selepas ini.

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. taufiq

    Salam semua..

    Alhamdulillah, pasukan Perak berjaya menewaskan pasukan Plus FC pada perlawanan kelapan Liga Super. Pada keseluruhannya, pasukan Perak bermain agak baik dan berjaya memukau hampir 5 ribu penyokong Perak yang membanjiri stadium. Sememangnya Perak telah mengawal hampir keseluruhan permainan. Setiap serangan yang dilakukan oleh pasukan lawan dipatahkan dengan mudah. memandangkan pasukan lawan hanya bermain dengan 10 pemain, pasukan kita tidak mensia-siakan peluang dan berjaya menjaringkan 2 gol seterusnya menggembirakan semua peminat Perak..

    Apa pun, teman amat mengharapkan agar persembahan yang ditunjukkan pemain Perak pada perlawanan menentang Plus FC dikekalkan dan dipertingkatkan di masa yang akan datang, terutamanya apabila melayan kunjungan Selangor pada saingan suku akhir Piala FA yang pertama nanti. Kekalkan rentak permainan, tingkatkan kerjasama berpasukan tajamkan serangan, Perak Pasti Gemilang..

    Skor Yob Skor...

    Likes(0)Dislikes(0)
  4. syidi

    Tahniah diucapkan kepada semua Pemain Perak. Secara keseluruhannya, permainan menarik ditampilkan oleh semua pemain sejak wisel permulaan ditiupkan.

    Namun begitu, banyak lagi peluang yang sepatutnya diterjemahkan dengan gol, tetapi nasib tidak menyebelahi kita. Pun begitu, terdapat beberapa kelemahan seperti hantaran yang kurang tepat dan kurang hantaran 'key pass' untuk mencetuskan huru-hara di kawasan pertahanan lawan.

    Apa yang membuatkan saya bangga dengan anak-anak muda Perak adalah, sikap 'ambitious' dan berani membuat percubaan jarak jauh ke pintu gol lawan. Antara pemain yang yang kerap membuat percubaan jarak jauh adalah Saufi dan Hafiszuan yang kerap kali membuat 'follow up'.

    Pihak lawan agak tempang apabila mereka bermain dengan 10 pemain hampir keseluruhan perlawanan. Walaupun mereka menyerang sekali sekala, namun tetap boleh mengundang padah sekiranya pertahanan Perak terleka. Gol kedua oleh Razali Umar adalah hasil keghairahan pihak lawan mencari gol penyamaan setelah Mohd Nazri Kamal membuat hantaran rendah dari sebelah kanan gol lawan dan berjaya sampai ke kaki Razali yang terus melakukan larian solo dan berjaya menewaskan penjaga gol lawan.

    Akhir sekali, para pemain diharap tidak mudah berasa selesa dengan kelebihan yang ada, sebaliknya, tenangkan fikiran dan berfikir secara kreatif untuk mencipta banyak peluang menghasilkan gol.

    Terus Berjuang Demi Perak Darul Ridzuan!

    Likes(0)Dislikes(0)
  5. irKupa

    salam..

    tahniah kepada semua player muda Perak atas kemenangan bermakna kalian semua..semoga ini menjadi kebangkitan kepada pasukan Perak di masa akan datang. tingkatkan kualiti permainan serta jaringan gol. stamina lebih tinggi diperlukan. Perak akan bertemu Selangor pada selasa ini, perlawanan antara 2 musuh tradisi yang pasti mengundang saingan yang sengit serta aksi2 yang hebat......marilah kita semua memenuhi stadium Ipoh kerana jumlah purata 5 ribu penonton yang hadir sekarang tidak boleh dibanggakan lagi...teruskan usaha.

    sekian.

    -kejor yob skor-

    Likes(0)Dislikes(0)
  6. anip

    Tahniah Perak Jr.

    Suatu perlawanan yang menarik dengan pelbagai gerakan yang dilakukan walaupun dengan keadaan padang yang kurang memuaskan. Namun ketajaman apabila berada di dalam kotak penalti harus diberi tumpuan lagi agar jaringan dapat dihasilkan.

    Syabas Perak Jr. Teruskan perjuangan anda. Lipat gandakan usaha. Tiada yang mustahil untuk anda.

    Kejor Yob Kejor...
    Skor Yob Skor...

    Likes(0)Dislikes(0)
  7. razlan

    salam,

    hajat di hati ingin membuat komen 'menerusi lensa kamera' tapi amat sibuk sekarang ini.

    cuma satu sahaja yg teman minta pihak pengurusan, coach, pemain supaya memperbaiki lontaran ke dalam... semasa perlawanan menentang Plus FC, teman dapat melihat lebih dari 5 kali lontaran ke dalam yg dibuat oleh pemain Perak dipersalahkan oleh referi/penjaga garisan.

    Likes(0)Dislikes(0)
  8. queen_queen

    Salam...

    Tahniah kepada team Perak atas kejayaan dan kemenangan kalian, permainan yang menarik, tahniah especially kepada saaufi yang menjaringkan gol, tingkatkan prestasi anda dan tingkatkan stamina. Saya tahu Saaufi boleh, kepada pemain lain juga teruskan usaha anda supaya dapat menjulang kemenangan di game yang akan datang.
    Apa-apa pun syabas!

    Yang sentiasa menyokong mu.

    Likes(0)Dislikes(0)
  9. lee jr

    Tahniah teman ucapkan pada Perak junior..anda bermain dengan penuh semangat dan teman bangga.teman betul-betul puas hati.pemain terbaik malam tu teman rase Nazri Kamal la..kawalan bahagian tengah yang cantik telah di pamerkan oleh Nazri Kamal dan Arsyah Ayob..Chun Keng Hong juga bertahan dengan baik..Razali seperti biasa mempamerkan penyudah yang berbisa walaupun dikawal rapi Zamani.teman rase semangat nak pegi stadium lagi untuk menyaksikan lagi permainan cantik macam lawan ngan Plus FC haritu..Perak kekalkan momentum anda dan kite boleh menang lawan Selangor..insyallah.

    "SKOR YOB SKOR"

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.