In Person | Benedict Martin

Tarikh: 22 Januari 2009
Waktu: 8.00mlm – 9.30mlm
Lokasi: Bukit Jalil

Tetamu penulis untuk ruangan In Person kali ini ialah pemain muda kelahiran Bumi Kenyalang, Sarawak iaitu Benedict Martin. Beliau yang kini menyarung jersi nombor 4 Perak dan bermain sebagai pertahanan kiri adalah bekas pemain Piala Presiden Selangor musim lalu.

Benedict juga seorang yang bersifat ‘happy go lucky’, peramah dan sentiasa berlawak sewaktu berbual dengan penulis. Walaupun baru lepas menjalani rawatan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, beliau tidak menghampakan penulis untuk ditemubual.

Pemain kidal yang membahasakan dirinya sebagai Ben ini mula menjadi perhatian peminat bolasepak Perak apabila beberapa kali berjaya menjaringkan gol melalui sepakan percuma yang menarik serta membantu rakan-rakan lain menghasilkan gol sewaktu sesi perlawanan persahabatan Perak yang lalu.

Tetapi nasib tidak menyebelahi pemain yang pernah mewakili skuad kebangsaan bawah 20 ini apabila mengalami kecederaan yang serius pada bahagian kaki kirinya akibat diterjah keras oleh pertahanan Selangor, Khairol Anuar Baharom pada perlawanan Liga Super ketika Perak bertandang ke Stadium Shah Alam, 6 Januari 2009 bertemu Selangor.

Benedict Martin | YB
Benedict Martin (kiri) bersama penulis sewaktu menyaksikan perlawanan Liga Super antara pasukan Perak menentang Negeri Sembilan di Paroi pada 13 Januari 2009.

Biodata
Nama: Benedict Martin
Tarikh Lahir: 17 Julai 1987
Posisi: Pertahanan Kiri
No. Jersi: 4

Berikut adalah antara temubual yang dicatatkan oleh penulis:

Penulis: Ramai peminat tertanya-tanya keadaan kesihatan Ben kini, boleh jelaskan?
Ben: Keadaan kecederaan saya semakin hari semakin pulih selepas menjalani rawatan di MSN Bukit Jalil. Boleh dikatakan saya menjalani rawatan ini setiap hari kerana saya sebenarnya sudah tidak sabar untuk bermain semula dengan pasukan Perak. (Ben bingkas bangun menunjukkan cara beliau berjalan kepada penulis tanpa sebarang alat bantuan).

Penulis: Ada Ben buat latihan sendiri atau rawatan alternatif yang lain?
Ben: Boleh dikatakan setiap petang saya akan berjalan-jalan di padang MPSJ untuk melepaskan rindu pada ‘padang yang hijau’. Jika di rumah saya gemar merendamkan kaki di dalam bekas air yang dicampur ais batu untuk mempercepatkan proses ‘recovery’.

Penulis: Bersemangat nampaknya Ben untuk bermain semula dengan pasukan Perak?
Ben: Hati ini sentiasa meronta-ronta melihat rakan-rakan lain bermain sedangkan saya hanya mampu menonton sahaja. Kedatangan saya ke Perak bukan sekadar mahu ‘makan gaji’ sahaja, saya mahu menyumbangkan sesuatu yang berharga buat peminat semua dan ini secara tidak langsung membantu proses kematangan permainan saya sendiri.

Penulis: Bila agaknya Ben boleh bermain semula dengan pasukan Perak?
Ben: Menurut doktor saya mungkin akan pulih sekitar bulan Mac nanti namun saya menjangkakan pertengahan bulan Februari ini saya akan dapat bermain semula hasil dari rawatan intensif yang saya lakukan sekarang.

Penulis: Apakah posisi Ben sewaktu di Selangor?
Ben: Saya sebenarnya bermain pada sayap kiri tetapi saya juga boleh bermain pada semua posisi (utility player) kecuali posisi penyerang dan penjaga gol. (tersenyum)

Penulis: Khabarnya Ben sepatutnya bermain dengan pasukan PKNS FC?
Ben: Memang benar, selepas nama saya ‘tercicir’ secara teknikal di Selangor, saya telah menjalani latihan selama hampir 2 bulan di PKNS FC. 2 hari sebelum menandatangi kontrak bersama PKNS FC, tiba-tiba saya dihubungi oleh pihak pengurusan Perak yang menyatakan minat mereka terhadap saya. Saya berfikir sambil bertanya pendapat semua kenalan dan jurulatih tentang perkara ini. Ramai yang memberikan galakan kepada saya untuk menyertai pasukan Perak dan ternyata pilihan itu cukup tepat buat saya.

Benedict Martin | Raja Azlan Shah
Benedict Martin bersama K. Thinagaran (kiri) dan Raja Azlan Shah (kanan) sewaktu melawat rakan sepasukan di bilik persalinan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Penulis: Bagaimana rasanya ‘bersama’ kem Perak sekarang?
Ben: Saya cukup bahagia dan seronok bermain untuk pasukan Perak sekarang (tersenyum).

Penulis: Apa pandangan Ben tentang masa depan pasukan Perak?
Ben: Saya berani katakan pasukan ini ada masa depan yang cukup cerah kerana dibarisi oleh ramai pemain muda. Berikan kami sedikit masa lagi untuk memantapkan persefahaman antara rakan sepasukan dan kami akan berikan yang terbaik buat semua peminat.

Penulis: Berminat untuk mewakili pasukan kebangsaan?
Ben: Saya meletakkan sasaran untuk mewakili pasukan kebangsaan dalam tempoh 2 atau 3 tahun lagi. Ini adalah antara cita-cita saya sebelum melangkahkan kaki ke Perak.

Penulis: Siapa pemain Perak yang paling rapat dengan Ben di Perak?
Ben: Saya menjalinkan hubungan baik dengan semua orang tapi jika hendak dikira agak rapat rasanya Fauzi Ariffin dan Mohd Hafiz Abdul Rahman.

Penulis: Ada mengikuti perkembangan halaman seladang.net?
Ben: Tentulah ada (ketawa).

Penulis: Apa pesanan Ben kepada peminat bolasepak Perak dan peminat Ben sendiri?
Ben: Teruskan memberi sokongan padu kepada pasukan Perak tanpa mengira kami menang atau kalah, berilah kami peluang untuk membuktikan bahawa pasukan muda Perak mampu untuk menyinar dalam tempoh yang mendatang ini.

Penulis: Terima kasih Ben kerana sudi ditemuramah oleh kami.
Ben: Sama-sama.

Begitulah serba sedikit perbualan yang dicatatkan oleh penulis bersama Benedict Martin. Apa yang dapat penulis katakan disini ialah sikap dan semangat juang yang ditunjukkan oleh beliau sepatutnya menjadi contoh kepada pemain yang lain.

Penulis bagi pihak pengurusan seladang.net, ingin mengucapkan semoga cepat pulih kepada Benedict Martin dari kecederaan yang dihadapi. Pastinya semua peminat bolasepak Perak ternanti-nantikan aksi beliau di padang kelak.

Terima Kasih

YB Corner

Likes(0)Dislikes(0)

3 thoughts on “In Person | Benedict Martin

  1. doyan

    seorang pemain yang berbaloi untuk Perak.Permainan tenang,cara ambik tendangan percuma macam Cristiano Ronaldo dan tendangan nya pun boleh tahan jugak.Benedict kau main cantik sudah tentu pemain lama seperti acong nak taji kaki kau. lain kali hati-hati.tu kau lompat, retak tulang je tapi kalo kau terima je apa yang dia buat...mau ler jadi macam Eduardo .

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. sunrise

    Benedict seorang pemain yang bersemangat tinggi untuk melakukan sesuatu terhadap pasukan yang diwakili. seandainya pasukan perak memiliki 23 pemain seperti beliau mungkin lebih,nescaya pemain pemain pasukan perak mampu menjadi antara yang terbaik dalam negara. berbalik semula kepada benedict, beliau sememangnya seorang insan yang ramah dan mudah untuk didekati seperti yang ditulis oleh penulis. ketika teman berada di stadium paroi beliau ini seorang yang tenang,ceria dan mudah untuk berkongsi pendapat. diharapkan beliau akan terus cekal menghadapi segala rintangan dalam skuad seladang.

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. belanak

    teman melihat ben boleh pergi jauh.. semangat seperti ben diharapkan sama seperti pemain pemain yang lain... semangat begini kalau diteruskan, tidak mustahil dapat melahirkan satu pasukan yang mantap... indahnya kalau pemain seperti ben lahir untuk mewakili negara.. semoga pasukan kebangsaan akan menyinar kelak... kita ramai pemain berwibawa seperti contoh terbaik: ben! tetapi sayang sekali apabila bintang yang bersinar seperti ben tidak di lihat dengan sempurna.. kepada ben.. semoga berjaya dan semoga cepat sembuh... teruskan semangat juang yang tinggi.. selamat maju jaya buat ben..

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.