Malaysia vs Afghanistan | Pestabola Merdeka Ke-40 (result)

Isnin 20 Oktober 2008
Stadium Nasional Bukit Jalil
8:45 malam

Malaysia 6 – 0 Afghanistan

Skuad Malaysia mengesahkan pertemuan dengan Myanmar di peringkat separuh akhir dalam kempen Pestabola Merdeka Edisi Ke-40 khamis nanti apabila membenam cabaran Afghanistan 6 – 0 pada perlawanan terakhir kumpulan A malam tadi.

Gol pertama pasukan Malaysia dijaringkan oleh Ashaari Shamsuddin pada minit ke 22 perlawanan apabila bertindak bijak mendada bola hasil hantaran Nizaruddin Yusof sebelum merembat kencang melepasi penjaga gol lawan untuk gol pertama.

Selepas itu banyak percubaan dari pasukan Malaysia yang berjaya dihalang oleh pertahanan Afghanistan namun pada lewat babak pertama Nizaruddin Yusof bijak memperdayakan penjaga gol lawan hasil hantaran Zaquan Adha pada minit ke 42.

Zaquan Adha pula menambah gol ketiga pasukan Malaysia pada minit ke 45 dengan satu tendangan lambung melepasi penjaga gol lawan, Shamsuddin Amiri apabila menerima hantaran Khyril Muhymeen dari sebelah kanan padang permainan.

Pasukan Malaysia tidak perlu menunggu lama pada separuh masa kedua apabila Ashaari Shamsuddin menyempurnakan hantaran lambung dari S. Subramaniam untuk menjadikan kedudukan 4 – 0 pada minit ke 64.

Safee Sali yang masuk menggantikan Zaquan Adha turut mencatatkan nama selaku penjaring apabila membuat satu tandukan terbang untuk bola menerjah gawang lawan setelah menerima hantaran silang Khyril Muhymeen pada minit ke 84.

Hairuddin Omar menjaringkan gol keenam Malaysia empat minit kemudian apabila bijak memperdayakan pertahanan Afghanistan dan merembat bola dengan kaki kiri hasil lorongan Safee Sali di dalam kotak penalti Afghanistan.

Secara keseluruhan barisan serangan Afghanistan ada membuat beberapa serangan kearah pintu gol Malaysia yang dikawal oleh Syed Adney dengan beberapa peluang yang sewajarnya boleh menghasilkan gol namun mungkin nasib tidak menyebelahi mereka.

Kedatangan penonton masih lagi mendukacitakan apabila tidak sampai pun 3000 orang yang datang menonton perlawanan semalam sambil segelintir penyokong Myanmar yang masih lagi tinggal untuk menonton perlawanan tersebut.

Likes(0)Dislikes(0)

2 thoughts on “Malaysia vs Afghanistan | Pestabola Merdeka Ke-40 (result)

  1. Syidi

    Salam..

    Apa-apa pun tahniah kepada skuad Kebangsaan atas kemenangan 'Pertama' dan berjaya melepasi peringkat kumpulan untuk mara ke Peringkat 'Kedua' yang semestinya menjanjikan ranjau yang berliku.

    Justeru itu, kekalkan momentum dan prestasi unggul di peringkat pertama untuk menempah tiket ke perlawanan akhir kelak. Myanmar adalah pasukan tidak boleh dipandang rendah. Pada saya, mereka memiliki keyakinan diri yang tinggi dan mempunyai penyokong yang agak agresif.

    Oleh yang demikian, kepada semua warga Seladang.net, marilah kita bersama-sama berkunjung ke Stadium Bukit Jalil untuk menyerap tekanan penyokong fanatik Myanmar. Sayangilah Malaysia. Tanpa kita siapalah Pasukan Kita.

    Moh Yob kita Sokong Malaysia hingga ke titisan keringat yang terakhir.

    MALAYSIA BOLEH MENANG!!!

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. matahari_terbit

    apa apapun tahniah kepada skuad negara kerana berjaya menang besar pada perlawanan kali ini. seandainya menang kecil ini akan membuat penyokong penyokong setia akan agak kecewa kerana menentang skuad bawahan. jadikanlah pentas ini untuk memulihkan imej skuad negara. perlawanan pestabola merdeka boleh dianggap perlawanan memanaskan badan untuk membentuk skuad yang mantap.

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.