Legasi Bolasepak Perak Darul Ridzuan

Perak Darul Ridzuan atau Skuad Seladang sememangnya tergolong dalam senarai antara pasukan Bola Sepak yang terunggul di Malaysia. Dengan menggunakan kata-kata hikmat yang unik iaitu Kejor Yob Kejor sebelum ianya ditukarkan kepada Skor Yob Skor hingga kini.

Pasukan ini dilihat berjaya menyatukan Rakyat Jelata yang juga anak-anak jati Perak untuk membentuk satu ketumbukan yang besar dikenali sebagai ‘Penyokong Setia Pasukan Perak’. Kebanyakan pasukan lawan agak gentar untuk berkunjungan ke Stadium Perak kerana dikatakan ‘gerun’ dengan sokongan rakyat jelata yang begitu fanatik.

Untuk pengetahuan semua, Pasukan Seladang ini diuruskan secara langsung oleh Persatuan Bolasepak Perak atau lebih dikenali sebagai Perak FA. Perak FA bertanggungjawab ke atas pembangunan dan kebajikan bola sepak di negeri ini.

Jika diamati secara mendalam, sememangnya pasukan Perak telah mula mencipta sejarahnya tersendiri sejak zaman Piala HMS Malaya lagi. Sebelum Piala HMS Malaya digantikan dengan Piala Malaysia, Perak berjaya merangkul kejayaan sebagai Johan sebanyak 2 kali dan Naib juara sebanyak 6 kali diantara tahun 1923 sehingga tahun 1964. Pada tahun 1964, Perak hanya meraih Naib Juara setelah tewas kepada Singapura dengan jaringan 3-2 di Stadium Merdeka.

Untuk rekod , Perak adalah pasukan pertama merangkul Piala Malaysia pada tahun 1967 iaitu tahun pertama Piala HMS Malaya digantikan dengan Piala Malaysia. Selain itu, pasukan Perak juga adalah juara Piala HMS Malaya pertama yang meraikan kejayaan di Stadium Merdeka yang mana stadium berkenaan dirasmikan pada tahun kemerdekaan negara kita 1957.

Secara keseluruhannya Perak, telah menjadi Juara sebanyak 7 kali dan Naib Juara sebanyak 11 kali sejak tahun 1921. Kali terakhir kita menjulang piala keramat dan yang tertua di Asia ini adalah pada tahun 2000 setelah menewaskan Negeri Sembilan 2-0.

Dengan rekod pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak 7 kali dan 11 kali menjadi Naib Juara, Perak berada di tangga ketiga dalam senarai pasukan yang paling banyak menjuarai piala ini. Tangga teratas dihuni oleh musuh tradisi Perak iaitu Selangor dengan 32 kali kejuaraan dan 15 kali naib juara diikuti Singapura dengan 24 kejuaraan dan 19 kali menjadi naib juara. Walaupun Singapura telah lama meninggalkan kempen Piala Malaysia, namun rekod yang ditinggalkan sukar diatasi oleh mana-mana pasukan selain Selangor sehingga kini.

Selain itu, rekod Perak dalam saingan liga tempatan dilihat masih tercari-cari ruang untuk meraih kejuaraan. Berdasarkan rekod, Perak hanya menjuarai Liga Perdana 1 pada tahun 2002 dan 2003 sahaja. Selepas Liga Super diperkenalkan pada tahun 2004, pencapaian terbaik Perak adalah meraih tempat kedua pada tahun 2007.

Manakala pada tahun-tahun sebelumnya, Perak hanya berjaya menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga pada tahun 2005 dan 2006, dan tempat keempat pada tahun 2004. Jika diteliti, Perak semakin garang dalam memburu kejuaraan dalam saingan Liga Super dengan memperbaiki kedudukan tahun demi tahun. Diharap perkara ini akan berterusan pada musim yang akan datang.

Kesimpulannya, Perak boleh dikategorikan sebagai ‘orang lama’ bola sepak di Malaysia. Ini menunjukkan pasukan kita memiliki asas yang kuat sejak zaman berzaman. Perlu diingat bahawa bukan mudah untuk membina asas yang ampuh dan teguh yang menjadi teras kemajuan bola sepak di negeri ini.

Sepatutnya kita berterima kasih kepada ‘orang-orang lama’ yang bersusah payah mencipta sejarah yang menjadi kebanggaan kita sehingga kini. Untuk pewaris-pewaris Pengurusan Perak FA dan semua pemain bola sepak pasukan Perak, seharusnya meneruskan kecemerlangan ini dengan menjadikan sejarah yang gemilang ini sebagai pemangkin untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam kancah bola sepak tempatan.

Reputasi sebagai Pasukan yang terkenal di Malaysia harus diteruskan kerana pasukan Perak sememang telah memiliki nama yang besar dalam bola sepak di negara ini. Segalanya terletak di tangan Pihak Pengurusan dan para pemain. Manakala Penyokong Setia Perak seharusnya membuktikan kesetiaan mereka dengan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi bukannya berpaling tadah setelah kemerosotan prestasi pasukan kesayangan ini.

Jangan kita menjadi hipokrit, hanya mengaku setia ketika meraikan kemenangan dan menyepi dikala pasukan mengalami kekalahan disamping dirundung masalah dalaman yang meruncing. Percayalah bahawa para pemain, pengurus, jurulatih serta pengurusan Perak FA amat mengharapkan sokongan daripada Penyokong Setia.

Biar berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing.

Sekian

Sumber:
1. www.perak-fa.seladang.net
2. www.fam.org.my

Artikel ini telah dihantar oleh pengguna yang bernama syidi_black, dengan beberapa perubahan telah dilakukan pada struktur ayat dan ejaan tanpa menjejaskan tujuan asal artikel ini dihantar.

Likes(1)Dislikes(0)

7 thoughts on “Legasi Bolasepak Perak Darul Ridzuan

  1. yong85

    yong setuju akan artikel di atas.sememangnya perjalanan bola sepak di perak ibarat satu kehidupan yg didukung oleh pewaris negeri yg sememangnya dilahirkan utk mengharumkan nama negeri.setiap dari mereka merupakan pejuang utk meletakkan negeri agar boleh diletakkan sbg negeri maju dlm arena bola sepak.buktinya sekarang nama negeri perak dlm arena bola sepak sudah punya kelas sendiri.jadi kita sbg penyokong seharusnya mengenang jasa & bakti mereka yg telah mencipta byk kejayaan agar generasi baru akan berbangga dgn mereka.pencapaian org lama akan kami kenang sepanjang hayat tidak kira di masa senang dan susah.yong percaya di tahun yg baru & pengurusan yg baru segala yg melanda pasti akan berakhir.kenangan itu walau pahit & manis tetap akan tersimpul rapi dlm lipatan sejarah bola sepak negeri perak.semua yg berlaku pasti mematangkan setiap peringkat tidak kira pengurusan ,pemain mahupun penyokong.go perak jasa & bakti mu akan tetap yong kenang & akan sentiasa menyokong walau ape yg berlaku.insyaallah............

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. matahari_terbit

    teman setuju dengan penulisan syidi black. teman berharap seluruh anak jati negeri perak akan terus mengunjungi stadium ipoh,dan penuhi semua tempat duduk stadium untuk menyokong pasukan kesayangan kita. tidak kiralah dimana kedudukan pasukan dalam carta liga. buktikan dan kekalkan imej dan reputasi penyokong seladang. dalam masa yang sama pasukan lawan akan sentiasa gerun untuk berkunjung ke stadium ipoh.

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. Transaevo...

    Pencapaian pasukan Perak sangat mengkagumkan dan juga konsisten..Penyokong pun kenelah accelerate sama dengan pemain..Trans nak tambah sikit tentang "fanatik"nya penyokong Perak yang membuatkan orang "gerun"...

    bukannye ape,cuma Trans nak ingatkan penyokong..fanatik tu memang bagus cuma jangan terlampau fanatik sehingga orang tak suka berkunjung ke stadium Perak..kita seharusnya mengalu-alukan org luar utk berkunjung ke stadium kita..sambut mereka sebagai tetamu agar lebih ramai yang datang walaupun mereka bukan dari penyokong Perak...Trans sgt terbuka & sentiasa mengalu-alukan kedatangan penyokong luar utk memeriahkan stadium Perak...ape-apepun ini cuma pendapat Trans jer & may be ade orang yang tak setuju...

    Ingat tak kunjungan Perak ke stadium Shah Alam waktu final Piala Presiden menentang Selangor...Perak kalah game tu & waktu penyampaian pingat penyokong Selangor ade nyanyikan lagu penyokong Perak "Ipoh Mali Talak Sombong"..Trans tengok reaksi penyokong Perak ade yang tak suka tapi bagi Trans itu adalah perkara baik yang diberikan oleh penyokong Selangor buat kita..mungkin kita pun patut mencontohi mereka & sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka..kalau kita menang,raikan bersama-sama & jangan pula mengutuk-ngutuk pasukan lawan..kalau kita kalah kita ucapkan tahniah kepada mereka...

    akhir sekali Trans mintak maaf kalau komentar Trans ni tak dipersetujui..bukan niat nak komen penyokong Perak cuma berkongsi pendapat...

    Likes(1)Dislikes(0)
  4. YangIkhlas

    Pencapaian bolasepak Perak dalam persaingan tempatan adalah yang paling konsisten sejak Liga Semi-Pro diperkenalkan sehingalah ke era Liga Super. Walaupun bermula dari Liga Bahagian Dua dan layak ke Liga Bahagian Satu pada tahun berikutnya prestasi pasukan Perak terus konsisten untuk kekal di liga bahagian atas sehingga ke hari ini. Perak juga tidak pernah diturunkan ke Liga Bahagian Dua atau Liga Perdana dan tidak pernah gagal untuk layak ke pertandingan Piala Malaysia sejak Semi-Pro diperkenalkan. Itulah hebatnya pasukan Seladang kita ini. Kesetiaan penyokong YangIkhlas rasa tidak perlu kita persoalkan kerana jika prestasi pasukan sentiasa konsisten penyokong akan terus datang untuk menyaksikan perlawanan. Kita juga harus ingat penyokong Perak juga adalah satu-satunya penyokong yang mampu memenuhkan stadium apabila bermain di tempat lawan terutama jika perlawanan berlangsung di sekitar Lembah Klang.

    Likes(1)Dislikes(0)
  5. miez3

    Sejarah membuktikan yg sememangnya skuad Perak mempunyai legenda yg tersendiri...usah diperkecil keupayaan team kita ni...kalau kena pada gaya pengurusan dan kejurulatihan yang baik teman rasa kita akan tetap hebat seperti dulu...teman tetap bangga biarpun pada hematnya kita masih tergapai2 mencari piala dlm setahun dua ni..at least bila org sebut pasal Perak masih ada cerita kehebatan team Perak ni walaupun ianya telah berlalu 10 tahun terkebelakang...zaman2 Karathu,Weigang,Netto masih terbayang2 dlm ingatan..satu peringatan teman pada kawan2 penyokong yg lain,sematkanlah dlm jiwa bahawa sebenarnya pasukan Seladang kita tetap hebat & elit..buktinya setakat ini sejak Liga Semi Pro & Super League diperkenalkan,pasukan kita ini tidak pernah langsung terjerumus ke Liga Perdana!
    Thanks Syidi for the article....kpd semua jgn jemu memberi sokongan,kalau bukan kita siapa lagi!

    Likes(1)Dislikes(0)

Comments are closed.