Tiada Pemain Import Liga Malaysia 2008-2009?

Pada sesi ‘percambahan fikiran’ yang diadakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan disertai oleh ramai jurulatih-jurulatih tempatan baru-baru ini banyak mengetengahkan idea-idea baru untuk memajukan mutu bolasepak Malaysia secara amnya.

Namun “membekukan” khidmat pemain import adalah antara topik yang hangat dibincangkan oleh peserta yang hadir dan jika ini berlaku maka ia mengulangi tindakan yang sama oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada musim 1998 sehingga 2001.

Dengan pelaksanaan peraturan baru ini ia dijangka akan membuka kembali peluang buat pemain tempatan menonjolkan diri selain dapat mengurangkan beban kewangan sesetengah pasukan negeri yang berdepan masalah melunaskan gaji pemain.

Penulis berpendapat kehadiran pemain import di dalam Liga Malaysia mempunyai kebaikan dan keburukan bergantung kepada persepsi peminat itu sendiri. Jesteru itu kami wujudkan satu ruang buat pengguna semua meluahkan pendapat mereka disini.

Satu kebaikan yang paling jelas pada pengamatan penulis ialah pemain tempatan yang lain boleh belajar sedikit sebanyak teknik permainan yang baik dari pemain import. Namun keburukan yang paling nyata apabila kualiti pemain import yang dipilih jauh lebih rendah dari pemain tempatan sendiri serta mahal pula gajinya.

Penulis juga ingin mencadangkan supaya pengambilan tenaga import pada bahagian teknikal dan kejurulatihan turut dibekukan untuk memberi peluang kepada pegawai dan jurulatih tempatan menonjolkan kredibiliti mereka.

Masalahnya “kita” lebih gemar menyusukan “kera” di hutan daripada menyusukan “anak” di rumah sendiri. Dan yang lebih parah, “kera” tersebut bukanlah sebijak mana jika hendak dibandingkan dengan “anak-anak” kita.

YB Corner

Likes(0)Dislikes(0)

9 thoughts on “Tiada Pemain Import Liga Malaysia 2008-2009?

  1. matahari_terbit

    ini terjadi kerana kita memilih pemain import yang murah, kononnya ianya dapat menjimatkan wang. pemain pemain yang dipilih bukanlah semua pemain kebangsaan negara masing masing, kita boleh lihat hanya beberapa pemain saja yang mewakili pasukan kebangsaan mereka contoh macam marlon, hugging(kedah), seator(perak/selangor). kebanyakan pemain import yang ada hanya dipilih mengikut kata hati, bukan kerana keupayaan mereka yang berkualiti

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. lee_dado

    Pro & Kontra Pemain Import.

    Saya pun agak keberatan nak menyokong hasrat FAM ni tapi ini dari pandangan peribadi masing-masing.

    Pokoknya, isu KEWANGAN menjadi topik utama dalam membincangkan pemain import ini selain prestasi mereka. Mana tidaknya seperti rakan-rakan lain katakan tadi gaji pemain import dalam sesebuah pasukan pun dah hampir RM 1 Juta setahun. So, dalam hal ini, kelab yg bermasalah dengan sumber kewangan tidak dapat lari dari fenomena "Kantung Kosong", bukan satu atau dua tapi sudah menjalar ke serata Pasukan Negeri.

    Soalnya sekarang, dalam keadaan tenat dengan masalah kewangan, mengapa perlu mencari pemain import..? tidak cukup kah dengan pemain muda serta tenaga baru untuk diserapkan serta digilapkan bagi menggalas harapan menggantikan pemain import tersebut. Terpulang kpd persatuan masing-masing. Kalau berkehendakkan kesan yg begitu ketara mmg sukar dicapailah dengan semua tenaga tempatan, namun satu hari nanti "kita akan tuai yg apa kita semai dari sekarang".

    Kesan kepada pasukan Negeri yg layak ke Peringkat AFC CUP bagaimana pula kita hendak bersaing dengan mereka..? Ini yg menjadi satu masalah besar untuk menghadapi persaingan yg lebih kompetitif dari negara Asia lain. Bukan hendak menafikan kudrat pemain tempatan, namun pemain kita belum mampu menandingi pengalaman, fizikal serta gaya permainan mereka.

    Tidak dinafikan sesetengah pemain import kurang berkualiti jika dibandingkan dengan pemain tempatan, ini yg menyebabkan berlakunya pembayaran gaji yg tak setimpal dengan prestasi yg diberikan. Oleh itu pemilihan import yg betul-betul berkualiti amatlah perlu diteliti dalam aspek pemilihan tersebut. Bukan maksud berkualiti tersebut kita melihat penampilan mereka seperti Micheal Balack, C.Ronaldo, Fernando Torres ataupun bintang bola sepak Eropah lain, namun prestasi mereka diperingkat Malaysia dan Asia lebih baik dari pemain tempatan yg kita ada dan sedikit sebanyak mampu untuk pemain tempatan mempelajari ilmu yg mereka ada.

    Saya harap, FAM dapat mempertimbangkan semula kemasukan pemain import ini ke Liga Malaysia dari sudut positif walaupun terdapat cacat celanya sebelum ini dan Persatuan Negeri ataupun Kelab harus menilai semula pemain import yg perlu diambil serta perancangan Kewangan yg bijak supaya tidak tertanggung dengan masalah kewangan yg begitu meruncing kerana yg menjadi masalahnya ialah pemain kita sendiri yg tidak dibayar gaji mengikut jadual. "Berbelanja sekadar mana kemampuan kita". Tak ada duit gunalah kudrat bakat-bakat muda yg kita ada disamping pemain sedia ada.

    PULUN KEDAH PULUN

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. syidi_black

    Salam Pujangga...'Kera' kenyang minum susu siap dengan makan lagi, tapi lepas tu panjat nyior malas. Maaf jika mengaitkan Pemain Import begitu. Tapi ada kebenarannya. Tidak semua, cuma segelintir nya sahaja.

    Pada pandangan saya, pemain tempatan harus diberi peluang untuk menonjolkan diri. Ini lah masanya untuk itu. Tiada lagi pemain import yang dikatakan akan membantu untuk menguatkan pasukan. Sesetengah pasukan mungkinlah, seperti Perak. Akan tetapi, pemain import kita pun dulu kurang memberansangkan. Cuma saat-saat akhir musim liga baru mereka menyerlah.

    Saya petik apa yang dikatakan penulis sebagai berkata kebaikan pemain import di dalam arena bola sepak tempatan, memang saya bersetuju. Tapi, sejauh mana peningkatan yang telah disumbangkan oleh mereka? Maaf kan saya kerana saya akan cuba mengaitkan pasukan 'musuh' kita,iaitu kedah. Lihat saja pemain tempatan mereka, ramai yang berpotensi dan berkebolehan, malah lebih baik daripada pemain import. Pasukan kita pun tidak kurang hebatnya. Kalau Mario Barrios dikatakan handal dalam tendangan percuma, tapi saya katakan Hardi Jaafar lebih baik. Malah ramai lagi pemain kita yang hebat.

    Saya tidak peduli langsung jika FAM mensyaratkan musim depan tiada pemain import. Sekurang-kurangnya, Hero-Hero kita boleh menonjolkan diri dan mencipta nama.

    Untuk mempelajari teknik-teknik atau taktik permainan pemain import, saya rasa lebih baik menonton di TV perlawanan yang membabitkan kelab-kelab ternama dunia, dari situ pun boleh belajar. Saya gemar melihat pemain tempatan meniru skill-skill individu bintang bola sepak dunia. Itu melambangkan kesungguhan mereka untuk ke arah itu. Lama kelamaan, dia akan mencipta satu skillnya sendiri, walaupun kebanyakannya tidak menjadi.

    Bangkitlah wahai Pemain Tempatan, FAM bijak menggunakan keadaan sekarang untuk meletakkan syarat sebegini. Saya masih ingat pada ketika mana tahun 1998-2001, tiada pemain import, rata-rata peminat tempatan kecewa dan tidak gemar menonton perlawanan tempat hanya kerana tiada pemain import.

    Saranan saya, kesinambungan daripada keputusan FAM ini, saya berharap, pada musim depan FAM dapat mempopularkan lagi Liga Super/Perdana dengan lebih banyak promosi dan penyiarannya di TV. FAM perlu merangka satu strategi promosi untuk menaikkan kembali taraf liga tempatan di mata rakyat kita sendiri.

    Likes(0)Dislikes(0)
  4. yong85

    bagi yong juga sama sbb ada baik & buruk bila bercakap tentang pembekuan pemain import.lagipun ini bukan sesuatu yg pelik sbb fam juga pernah buat perkara yg sama dulu.berckp soal baik tentang pengambilan tenaga luar ni ialah pemain kita boleh belajar tentang teknik yg mgkn kita tak pernah gunakan disini.selain tu pasti sikit @ banyak tentu akan wujud persaingan sesama mereka utk menjadi yg terbaik.than bila soal buruk pula,bila tenaga import ini dijadikan keutamaan di dlm satu pskn dah tentulah penyerang tempatan kita akan terjejas peluang mereka utk beraksi & yg penting kita akan ketandusan pelapis tak kira la posisi ape terutama penyerang.tapi bagi yong soal ambil import @ tak,bukan isu sbb dlm keriuhan import sbg top striker,masih ada tenaga tempatan yg mendahului cthnya yg first dah tentu khalid jamlus pastu diikuti yg lain.fam berckp soal beku ni sbb nak kawal masalah kewangan tapi sebenarnya ada ke @ tak da import ni tak de beza sgt sbb kalo kewangan tu tak diuruskan dgn baik,masalah sama tetap berlaku jd nak salahkan pengambilan dari luar pun tak boleh.yg boleh sekarang ni ialah "tepuk dada tanya hati & akal pastu baru cerita pasal selera"....yong rasa apepun keputusan utk next season,yong terima & andai betul fam akan bekukan import maknanya masa utk penyerang baru tunjukkan kemampuan dah tiba so teruskan....mudah-mudahan akan byk bintang akan lahir menggantikan sinar yg lama.

    Likes(0)Dislikes(0)
  5. YangIkhlas

    Pemain Import Di Liga Malaysia...??? Banyak pandangan,pendapat, cadangan dan macam-macam lagi. Masing-masing ada fikiran sendiri. YangIkhlas merasakan cadangan terbaru FAM yang pernah dipratikkan pada 1998 hingga 2001 dulu adalah ibarat langkah kebelakang. Di tengah kerancakkan semua Liga di seluruh dunia menggunakan pemain import termasuklah di negara Juara Dunia, Itali, negara Malaysia hendak membekukan pengambilan pemain import. FAM dan ahli Majlisnya sudah mencuba kaedah membeku ini dan hasilnya FAM sendiri yang menarik balik pembekuan ini setelah didesak oleh Ahli Majlis dari negeri tertentu yang sebelum itu telah meluluskannya. Hasil dari sesi 'percambahan fikiran' yang terbaru, perkara sama yang ternyata pernah gagal sebelum ini dikemukakan sekali lagi dan lebih menarik kali ini dari sudut pandangan para 'Jurulatih' pulak. YangIkhlas berpendapat samada pemain import ada atau tidak adalah tidak penting. Banyak pihak merasakan pemain import tidak membantu untuk kemajuan bolasepak di negara kita ini. Pemain import hanya bersifat sebagai pelengkap kepada kemeriahan Industri bolasepak. Berkualiti atau tidak seseorang pemain import yang diambil itu terpulanglah kepada kebijaksanaan jurulatih itu dalam menilainya. Sikap sesetengah pasukan mengambil pemain import secara 'tangkap muat' juga menyumbang kepada kualiti yang rendah pengambilan pemain import. Faktor dengan adanya pemain import menghalang perkembangan bakat tempatan adalah satu pendapat yang dangkal dan amat meleset sama sekali. Pemain tempatan seharusnya menjadikan pemain import sebagai satu bentuk persaingan yang sihat dengan meningkatkan prestasi agar boleh menyamai atau lebih lagi. Janganlah jadikan pemain import sebagai alasan untuk menutup kelemahan atau kemalasan diri sendiri. Begitu juga pada Jurulatih jangan jadikan pemain import yang tidak berkualiti sebagai kambing hitam atau alasan apabila pasukan tidak berjaya. Kepada FAM dan jurulatih tempatan seharusnya menjadikan pemain Brunei Sharizan Said yang berumur awal 20an sebagai contoh terbaik bahawa pemain tempatan boleh berjaya dan menyaingi pemain import jika diasuh dan dibentuk dengan baik disulami dengan tahap kecergasan yang maksima sesuai dengan kepantasan tempo perlawanan bolasepak antarabangsa dewasa ini. Kesimpulannya samada pemain import ada atau dibekukan tidak akan mendatangkan apa-apa perubahan positif yang drastik. FAM, ahli Majlis dan jurulatih tempatan masih bercakap pasal pemain import yang hendak diambil sedangkan apa yang lebih baik dan perlu diusahakan untuk bolasepak Malaysia adalah untuk menjadikan pemain tempatan kita sebagai 'pemain eksport' untuk pasaran bolasepak di luar negara paling tidak pun di Singapura atau Indonesia sebagai permulaan dengan mengambil contoh DPMM Brunei yang telah mula mengimport pemain dari Malaysia untuK Liga Super. Bintang baru bolasepak tempatan akan sentiasa lahir tetapi semuanya bergantung kepada tangan jurulatih yang akan melenturnya samada menjadi arang atau abu sahaja dan usaha pemain itu sendiri samada hendak mencapai bintang di langit atau jatuh menyembah bumi. MALAYSIA BOLEH.

    Likes(0)Dislikes(0)
  6. zul4all

    Apa yang berlaku, mmg menyedihkan. banyak pasukan menggunakan 2 pemain penyerang import dibahagian hadapan, sehingga tiada calon pemain tempatan untuk bermain sebagai penyerang. Ini menyebabkan penyerang tempatan kurang mendapat pendedahan. Saya mencadangkan hanya 2 pemain import sahaja. dan setiap pasukan negeri diinasihatkan hanya meletakkan 1 pemain import selaku penyerang, kerana sudah tentu, ianya tidak praktikal untuk mewajibkan 1 penyerang import kerana dalam padang, ia boleh diubah-ubah oleh jurulatih.

    Peraturan pengharaman import sudah pernah dilakukan, tetapi hasilnya masih juga tidak memuaskan. Pemain import masih diperlukan, memberi penyeri,variasi dan tonik kepada corak permainan pasukan.

    Oleh itu, cadangan hanya 2 impot adalah lebih praktikal, kerana memberi tambahan slot kepada pemain tempatan serta membantu pasukan mengurangkan kos operasi dan membuat pilihan pemain import yang paling ideal dan sesuai. Setiap pasukan harus sentiasa beri peluang kepada pemain tempatan untuk memberi pendedahan serta menawarkan pilihan kepada pasukan negara

    Likes(0)Dislikes(0)
  7. achoy

    bagi saya ada kebaikannya juga tiada pemain import, kerana ini sedikit sebanyak memberi ruang kepada pemain tempatan untuk menonjolkan diri. pemain tiada kualiti, harga mahal, banyak kerenah yg membosankan, tiada disiplin dan banyak lagi masalah pada pemain import. duit geran peruntukan itu boleh digunakan untuk menaikkan lagi mutu pemain remaja. tetapi dari satu sudut lain pula tiada seri, pemain tempatan besar kepala, mutu perlawanan rendah, tiada pemain tempatan yg betul betul bagus hanya menjaga populariti dan liga kita ketinggalan zaman. sekian

    Likes(0)Dislikes(0)
  8. sylvershop

    inilah yang terjadi bila sesi brainstorming di hotel terkemuka dihadiri mereka yang berumur 50 tahun ke atas...idea lapuk dan stereotype..tak pernah keluar dari kepompong tapi perasan bangga. bila masalah kewangan, salahkan import. bila mutu pemain tempatan merosot, salahkan pemain import. kalau pemain tempatan rasa dirinya hebat, tapi tak berpeluang main kenapa tak merantau macam lim teong kim? kenapa nak duduk terperuk bawah ketiak presiden persatuan bolasepak negeri? masalah pemain tempatan kita adalah refleks pemikiran orang malaysia sendiri, yang mana rata2 agak pemalas dan melakukan sesuatu sebab rutin harian bukan minat mendalam. saya rasa kalau kita cermin sahaja diri sendiri dan tanya kerja yang kita lakukan sebab minat atau sebab terpaksa? kebanyakan jawapannya saya rasa sebab terpaksa.kalau betul nak jadi pemain terkemuka, tak payah disuruh, mesti ada inisiatif sendiri nak memajukan diri. kepada pegawai persatuan atau FAM, sedarlah wang bukan segalanya, contohilah allahyarham dato basri akil

    Likes(0)Dislikes(0)
  9. riezer

    ada pemain import yang memang bagus prestasinya tapi ada antaranya yang setaraf dengan pemain tempatan. yang teruk dari pemain tempatan pun ada. semuanya bergantung kepada cara pemilihan jurulatih. ada pasukan terlalu bergantung kepada pemain import. sebab itu kita kekurangan pemain yang bermutu terutama di bahagian serangan. carta penjaring terbanyak pun pemain import yang dominasi. sebab itu elok benarlah fam bekukan pengambilan pemain import tahun depan. tak ada la duit persatuan habis bayar gaji pemain import. duit yang ada kalau dihabiskan kepada pembangunan bola sepak belia negeri masing-masing lagi baik. moga-moga keputusan ini baik untuk kemajuan bola sepak tanah air kita.

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.