Seladang Garang Di Celah Kemelut

Bersama Yong Ayu
 
Semua orang tahu bahawa istilah kemelut membawa erti “satu keadaan yang genting dan bahaya”. Semua orang juga tahu bahawa skuad Seladang pada ketika ini sedang menghadapi satu kemelut kewangan yang meruncing yang mengakibatkan para pemain tidak menerima gaji masing-masing semenjak bulan Mac yang lalu. 

Namun begitu saya rasa kita perlu memberikan satu tabik hormat kepada skuad kesayangan kita ini yang walaupun dalam keadaan sebegitu, tetapi mereka masih tidak menghampakan harapan kita dengan bermain bersungguh-sungguh, seolah-olah tiada apa yang berlaku. 

Hasilnya dalam perlawanan ketiga pada hari Jumaat, 27 Jun yang lalu, para pemain Perak telah meledakkan 5 gol ke gawang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tanpa berjaya dibalas lawan walau dengan 1 gol sekalipun.

Yang menariknya ialah itulah jumlah gol yang paling banyak dijaringkan oleh sesebuah pasukan semenjak kempen Piala Malaysia bermula pada 11 Jun yang lalu. Perlawanan tersebut juga menyaksikan seorang pemain Perak melakukan hatrik, iaitu Carlos Caceres. 

Seterusnya pada hemat saya, gol yang dijaringkan oleh Daniel Fadly merupakan gol tercantik bagi musim Liga Malaysia tahun 2007/08 ini. Apa tidaknya, Daniel telah menendang bola yang dihantar jauh oleh rakannya dan terus menyepak kencang di sebelah kiri pintu gol ATM untuk gol kelima Perak tanpa boleh dibuat apa-apa oleh penjaga gawang. 

Pada separuh masa pertama, tiada sebarang gol dijaringkan walaupun Perak yang banyak mengasak. Namun begitu saya kira Steve Darby bijak membuat percaturan dengan memasukkan Carlos Caceras bagi menggantikan Khalid Jamlus pada separuh masa kedua. 

Apa tidaknya, sebaik sahaja Caceras masuk, ia terus melakukan hatrik dengan 2 gol dijaringkannya melalui sepakan penalti dan 1 gol lagi ia bijak menerima hantaran jauh dari rakan dan terus melambungkan bola itu melepasi jangkauan penjaga gol ATM. Permainan dilihat lebih rancak selepas itu dan Perak telah membuat serangan bertali arus ke kubu lawan.

Nasib baiklah Perak menang dengan jaringan yang besar pada malam itu. Seandainya Perak seri atau tewas kepada ATM, sudah pastilah peminat bolasepak tempatan yang kontra akan berkata, “Macam manalah Perak ni, dengan ATM pun boleh seri/kalah”. Tetapi jika Perak menang, mereka akan berkata pula, “Alah, dengan ATM boleh le. Cuba dengan pasukan lain, belum tentu lagi”. 

Biarlah apa saja orang nak bercakap tentang pasukan Perak. Yang pasti Perak telah berada di landasan yang betul. Perak kini berada di tangga kedua dalam Kumpulan C dan akan cuba mengekalkan kedudukan itu sehingga berjaya melangkah ke peringkat Suku Akhir nanti.

Setelah habis kerja pada petang hari Jumaat itu, saya telah bergegas dari Pulau Pinang ke Ipoh untuk menyaksikan sendiri perlawanan tersebut di Stadium Perak. Apabila tiba, saya dapati kenderaan para peminat boleh dibilang dengan jari. Begitu juga dengan para peniaga yang membuka perniagaan di sekitar Stadium, jumlahnya sangat kecil dari biasa. 

Seolah-olah mereka telah dapat menjangka jumlah penonton yang datang adalah terlalu sedikit. Ramalan mereka memang tepat, apabila saya memasuki stadium, saya dapati jumlah penonton memang kecil iaitu dalam lingkungan 500 orang sahaja. Keadaan di dalam stadium begitu sunyi sepi sehingga kami dapat mendengar tiupan wisel pengadil di tengah padang. 

Tiupan serunai dari sebelah grand stand juga boleh kedengaran. Selalunya pada hari-hari biasa keadaan begitu riuh rendah dan hiruk pikuk dengan sorakan para penonton. Pada malam itu tiada juga kedengaran pukulan gendang yang selalunya begitu rancak mengiringi rentak para pemain Perak.

Keadaan penonton yang begitu lengang seperti di atas adalah disebabkan beberapa faktor seperti berikut:

  • Perlawanan diadakan pada hari Jumaat dan tidak pada hari Sabtu.
  • Skuad Seladang tidak mendapat gaji semenjak bulan Mac. Para penonton menjangkakan yang pemain-pemain tidak akan bermain dengan bersungguh.
  • Pada jam 2.45 pagi hari Jumaat itu telah berlangsung perlawanan antara Sepanyol bertemu Rusia dalam Euro 2008. Oleh itu para peminat lebih memberikan tumpuan kepada Euro 2008.
  • Lawan yang akan ditentang oleh pasukan Perak ialah ATM yang menghuni tempat tercorot dalam Kumpulan C. Jadi sudah pasti perlawanan tidak akan menarik kerana kurangnya tentangan.

Dengan faktor-faktor di atas, tidak hairanlah para penonton begitu berkurangan datang ke stadium berbanding hari-hari biasa untuk menyaksikan perlawanan tersebut. Keadaannya akan berubah jika situasi di atas berlaku sebaliknya.

Sesuatu yang amat mengecewakan para penyokong pasukan Perak ialah mereka tidak dapat menyaksikan gol-gol yang dijaringkan oleh pemain Perak menerusi media eletronik. Ramai yang menunggu di depan peti tv masing-masing pada jam 1.30 pagi malam yang sama. 

Setelah satu demi satu perlawanan disiarkan dari Kumpulan A dan B dan apabila tiba giliran Kumpulan C, hanya perlawanan antara Perlis bertemu Pahang sahaja yang disiarkan. Perlawanan antara Perak bertemu ATM tidak langsung disiarkan.

Mereka terus menunggu pada hari Sabtu keesokan harinya kalau-kalau akan disiarkan dalam ruangan arena selepas tamat berita pagi, namun masih hampa. Tidak cukup dengan itu, penantian diteruskan hingga ke waktu 1.30 – 2.00 petang, namun keadaannya masih hampa dan akhirnya kami tidak lagi menanti kerana sudah pasti jaringan gol Perak dengan ATM tidak akan disiarkan melalui media elektronik.

Yang anehnya kenapa pasukan Perak diperlakukan sedemikian. Apa salahnya pasukan kami hingga dipinggirkan begitu. Yang peliknya apabila pasukan kami kalah dalam mana-mana perlawanan, kekalahan tersebut pasti disiarkan oleh media elektronik untuk tatapan umum.

Keadaan sebegini bukanlah berlaku dalam seminggu dua ini, malah ia telah lama berlaku beberapa tahun yang lalu. Melalui wadah ini, saya merayu kepada pihak yang berwajib supaya tidak terus menerus memperlakukan kepada pasukan kesayangan kami, skuad Seladang.

Likes(0)Dislikes(0)

6 thoughts on “Seladang Garang Di Celah Kemelut

  1. matahari_terbit

    apa nak buat dari dulu lagi paskan perak sering diperlakukan dengan perkara yang tidak sepatutnya. memang kita harus memuji pemain pemain yang bermain dengan bersungguh sungguh sehingga berjaya menjadi pasukan pertama yang menjaringkan sehingga lima gol dalam kancah piala malaysia kali ini. diharapkan penyokong penyokong skuad skor yob skor dapat beramai ramai kita turun ke stadium tidak kira di tempat sendiri mahupun ditempat lawan untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bagi demi menaikkan nama pasukan dan nama kelab penyokong perak. jangan hanya memuji ketika pasukan berada diatas dihina pula ketika pasukan dibawah.

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. YangIkhlas

    Terima kasih atas penulisan artikel oleh Yong Ayu. Walaupun nampak seperti artikel yang biasa, namun harus saya akui, isi tulisan saudara ada banyak kebenarannya. Sama-samalah kita berdoa agar kemelut yang masih bersifat dicelah ini, tidak merebak menjadi kudis yang amat susah untuk dihilangkan dan meninggalkan parut pulak nanti. Jika Kerajaan negeri tidak dapat membantu, sudah sampai masanya para pegawai Persatuan Bolasepak Perak mencuba kaedah memasarkan pasukan bolasepak Perak. Dengan kata lain, presiden dan pegawai masing-masing hendaklah berusaha dan wajib mendapatkan penaja yang mampu dan berminat untuk bersama-sama memajukan bolasepak Perak. Pegawai yang gagal boleh tinggalkan persatuan. Pasal media ni, susah kita nak cakap. Mungkin nasib Perak sejak dahulu walau bagus macamana pun keputusan, tidak mendapat tempat, baik media elektronik mahupun media cetak. Begitu juga pemain, tak mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan, walaupun menjadi penjaring terbanyak Liga. Takpe le. Yang penting bolasepak Perak akan terus berjaya. Teruskan menulis untuk Bolasepak Perak Darul Ridzuan.

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. syidi_black

    Terima kasih Yong. Benar bagai dikata, Seladang kini sedang kelaparan dan mencari mangsa walaupun 'cedera' parah tertusuk belati tajam. Boleh juga diibarat sebagai Seladang 'naik minyak'. Kemelut dalaman ibarat 'cedera parah' yang dialami. Lumrah hidup di dunia atau naluri kehidupan,jika tercedera kita makin garang dan menyengat. Itulah skuad Seladang kesayangan kita. Usah dipertikaikan apa jua isu yang timbul kerana skuad kita telah buktikan mereka ikhlas memperjuangkan nama negeri kesayangan kita, PERAK DARUL RIDZUAN. Dengan rekod tanpa kalah dan menjadi pasukan yang banyak menjaringkan gol dalam kumpulan C sudah cukup untuk membuktikan keikhlasan mereka dalam berjuang. Tinggal lagi kita, yang hanya tahu mengkritik seolah-olah kita lebih profesional dalam menilai kelemahan orang lain. Sebaiknya adalah, kita bersama-sama menyalakan api semangat perjuangan mereka dikala ini. Percayalah wahai saudara dan saudari, SKUAD SELADANG rindukan penyokong yang dikatakan setia sejak dulu yang kini menyepi hilang entah ke mana. Istilah SETIA itu sendiri gagal dihayati dengan betul, kesetiaan amat sukar digugat jika seseorang itu ikhlas dan jujur, dan walau apa pun terjadi sama ada menang atau kalah, kita tetap setia bersama.Kebanyakan hanya pandai menangguk dia air keruh.

    Apa-apa pun, marilah kita sama-sama berganding bahu untuk memberi semangat untuk Skuad Seladang untuk mereka meneruskan perjuangan mereka. Segalanya telah cukup sekarang ini, mereka telah membuktikan keupayaan mereka di tengah kemelut kini. Hampir menitis air mata mengenangkan saat kegemilangan Perak, dikala itu penyokong penuh sesak di Stadium Perak bersorak sorai bergema satu stadium. Tapi kini, sunyi sepi. Saya rindukan suasana itu. Ayuh YOB kita sokong pasukan kesayangan kita. SKOR YOB SKOR!!!!!!!

    Likes(0)Dislikes(0)
  4. yong85

    yong setuju benor atas ape yg ditulis oleh yong ayu.disbbkan itu biar ape pun org katakan mengenai pskn perak ni,yong anggap sbg lumrah dlm kehidupan.memang setiap kali pskn menang dlm perlawanan yg melibatkan perlawanan menentang mana-mana pskn yg kurang nama,pasti ada yg akan ckp"ala setakat lwn dgn team tu boleh la".kenapa mesti ckp mcm tu?sepatutnya kita harus menghormati akan setiap perasaan org lain terutamanya pemain & juga mereka yg terlibat.mereka dah lakukan yg terbaik setiap kali berlawan.lihat saje game dgn ATM,mereka mampu menang dgn jaringan yg besar,jgn pandang soal kemampuan lwn.yg penting team menang walau seri sekalipun.bak kata yong ayu,mereka masih dpt menunaikan tanggungjawab spt biasa walaupun kita semua tahu ape yg sedang dihadapi mereka.itu menunjukkan mereka profesional.mengenai soal peminat tak dpt info tentang jaringan gol pskn,hanya mereka yg berkenaan saja tahu.mgkn ada sebabnya yg kita tahu.tapi biasalah benda baik org tak akan ckp tapi bila benda buruk cpt je kuar lepas tu sampai 2 3 hari kuar dlm paper,kadang tu terus jadi front page paper.cuma yg yong harap semua ni kita anggap je sbg positif.utk pasukan teruskan jgn toleh belakang,kami akan sentiasa bersama anda.

    Likes(0)Dislikes(0)
  5. Yashurr Yazurry

    Walau ape pun, kami tetap bersamu mu seladang...!!

    Teman harap sambutan 'dingin' dalam piala malaysia
    yang membabitkan pasukan kita kali ini
    berubah seperti dulu kala...
    InsyaAllah.....

    ayuh perak! kuatkan semangat mu...!
    Buat Penyokong-penyokong semua.,
    ayuh kita menghangatkan suasana di stadium keramat kita!!!

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.