From Zero To Hero | A Tribute To Perak Youngsters

Sudah lama saya memendam rasa untuk memberikan respon tentang anak-anak muda dari skuad bolasepak Perak ini. Sememangnya ramai yang tidak mengendahkan kelompok ini yang sememangnya “kilang utama” dalam menghasilkan pelapis-pelapis skuad utama Perak.

Tanggal 1 Ogos 2008 sekali lagi menyaksikan mereka ini beraksi di Final Piala Presiden buat kali kedua berturut-turut bertemu Selangor di Stadium Shah Alam. Seperti diketahui umum, Perak adalah juara bertahan Piala Presiden 2007 dibawah bimbingan jurulatih Raja Azlan Raja So’ib. Buat Uncle Harun (Tuan Haji Che Harun Hussein) selaku pengurus ketika itu saya bangga kerana Uncle telah lakukan usaha yang terbaik untuk skuad muda ini.

Selain itu tidak lupa juga ucapan tahniah kepada skuad Piala Belia 2008 yang tidak kurang hebatnya tahun ini apabila berjaya menduduki tangga ke 4 kumpulan A walaupun kehilangan banyak mata pada pusingan pertama dahulu.

Biarpun kandas di situ kerana kekurangan 2 mata untuk ke peringkat separuh akhir tetapi semangat juang yang tinggi oleh barisan anak-anak muda ini cukup meyakinkan dan bolehlah dianggap antara “buah yang sudah boleh dituai hasilnya”.

Nama-nama seperti Hakim Roslee, Mohamad Khalis Ibrahim, Shahrul Mohd Saad pasti akan berada dalam senarai pendek pemain-pemain yang akan diserapkan ke dalam skuad utama Perak satu hari nanti. Untuk itu tahniah juga kepada jurulatih mereka iaitu saudara Abu Bakar Fadzim dan penolong jurulatih saudara Johari Hamzah.

Peningkatan mereka semua membuka mata sesetengah pihak yang dulunya mengatakan bahawa pasukan Perak ketandusan pelapis dalam skuad senior. Sebenarnya dari dahulu lagi Perak telah melahirkan ramai pemain-pemain berbakat dan berstatus bintang malahan ada yang menjadi harta berharga untuk pasukan Malaysia.

Nama-nama seperti Namad Ali, Azizol Abu Hanifah, Karim Pin, Zaidi Napiah, Rais Rashid, Nidzam Adha, P. Ravindran, Chan Kok Heng dan Roefandi Yusuf adalah antara bintang yang masih dikenang dalam sejarah kerana mencipta kejayaan buat pasukan Perak dan negara.

Bukan itu sahaja malah ada yang telah “dipancing” oleh pasukan negeri dan kelab lain dek kerana kualiti mereka seperti V. Saravanan, Indra Putra, Liew Kit Kong dan beberapa pemain lain yang bermula dari pasukan Perak sehinggalah berada dalam kelas mereka yang tersendiri.

Kesemua pemain-pemain yang saya nyatakan diatas bermula dari peringkat belia lagi. Mereka bersusah-susah dahulu malah ada yang memulakan penglibatan hanya sekadar berada dalam pasukan badan-badan tertentu yang kurang popular seperti Jabatan Penjara (Namad Ali) dan PKNP (Azizol Abu Hanifah, Karim Pin, Zaidi Napiah, Rais Rashid)

Inisiatif yang diambil oleh mereka bukanlah untuk mengejar kemewahan dan populariti tetapi berlandaskan panji-panji negeri Perak. Saya terharu mendengar cerita ada di antara mereka ini yang hanya berbasikal ke tempat latihan semata-mata untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama Perak ketika itu.

Hasilnya ada yang telah mencipta sejarah apabila dapat bermain dalam skuad elit Malaysia (Azizol Abu Hanifah, Karim Pin) ketika dahulu iaitu Harimau Malaysia (sekarang digelar Harimau Muda) di mana ketika itu begitu gah dengan kejayaan demi kejayaan di peringkat antarabangsa khasnya Pestabola Merdeka di era 80an sehinggakan bintang bolasepak Inggeris, Kevin Keegan (sekarang pengurus pasukan Newcastle United) turut bermain didalamnya selaku pemain import undangan.

Kini zaman-zaman kegemilangan seperti ini mula menampakkan sinarnya kembali apabila kelibat pemain-pemain muda Perak mula mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan Malaysia seperti Hakim Roslee iaitu pemain Belia Perak yang telah terpilih untuk menyertai skuad bawah 19 tahun kebangsaan yang dikendalikan oleh K. Rajagopal.

Nasib tidak menyebelahi mereka kerana kurang mendapat perhatian daripada jurulatih skuad utama Perak sekarang iaitu Steve Darby namun dari pemerhatian saya jika mereka ini digilap dan diasuh dengan baik tidak mustahil mereka ini akan menjadi aset yang paling berharga dan mungkin lebih baik daripada segelintir pemain senior sedia ada.

Nasihat kepada pemain-pemain muda Perak yang layak saya gelarkan adik-adik ini, lupakan apa dilema yang melanda anda semua. Biarpun bersusah dahulu, ikutlah contoh sejarah lalu, sesungguhnya dengan sejarahlah kita banyak belajar dan memperbaiki kekurangan.

Semaikanlah baktimu kepada negeri tercinta Perak Darul Ridzuan, kami akan sentiasa memberi sokongan kepada anda semua. Khas buat pasukan Piala Presiden, berjuanglah berhabis-habisan Jumaat ini untuk mengekalkan Piala Presiden di dalam genggaman.

Buat penyokong-penyokong semua yang terbaca coretan saya, marilah kita bersama-sama memberi sokongan tak berbelah bagi kepada anak-anak muda ini. Datanglah ke Stadium Shah Alam jumaat ini kerana kalau tidak kita… siapa lagi?

Disini bakal bermula segalanya…..from Zero To Hero!

Likes(0)Dislikes(0)

6 thoughts on “From Zero To Hero | A Tribute To Perak Youngsters

  1. matahari_terbit

    teman harap kepada pemain pemain muda jangan mudah putus asa, usaha dan terus usaha supaya disuatu masa mereka akan menjadi tonggak utama dalam skuad kebangsaan. jangan hampakan peminat dan orang yang disayangi dan menyayangi, bermainlah demi menjaga maruah diri dan pasukan yang diwakili. contohilah seperti pemain terbaik dari seluruh pelusuk dunia. jangan hiraukan kata kata kurang enak disekeliling, yang penting dimana arah tuju anda.berpijaklah dibumi yang nyata.

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. yong85

    ya memang benar ape yg ditulis oleh penulis kat atas,yong mang setuju.sememangnya kita kalo nak jadi senang sebenarnya bukan sesuatu yg senang yg boleh kita ibarat mcm petik jari.utk jadi senang perlukan pengorbanan & yg penting usaha yg berterusan disamping sentiasa berdoa agar perjalanan menjadi mudah.cerita mengenai susah & senang bekas pemain kelahiran perak sepatutnya dijadikan panduan utk mereka yg muda dlm skuad negeri perak terutama player belia & presiden.mereka lah sebenarnya patut dijadikan idola kerana majoriti pemain2 muda kita terlalu mengagungkan player eropah sbg idola sedangkan bekas pemain yg ada punya kelas mereka tersendiri.tapi bagi yong,dgn prestasi pskn belia & pskn p.presiden kini seharusnya perlu kita banggakan.mungkin sekarang nama mereka sering terlepas pandang utk diserapkan dlm skuad utama tapi tak mengapa akan tiba masa utk mereka yg muda pula membawa & menyarung jersi utama negeri memandangkan hampir kesemua player yg ada boleh dianggap masa emas utk mereka bersara.andai diberi peluang jgn disiakan.utk game 1hb ogos nanti mari kita sokong akan anak muda ini kerana "star is born".mgkn kini semua yg bergelar pemain pskn perak sedang dilanda kemelut yg kita pun tak tau bila nak habis tapi jgn dijadikan isu yg penting maruah negeri yg harus dijulang.

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. syidi_black

    Benar kata Miez3. Saya tertarik dengan kenyataan yang menceritakan pengalaman bintang Perak terdahulu yang sanggup bersusah payah berbasikal demi menggapai impian. Mungkin ada yang akan berkata 'itu dulu negara belum maju atau ekonomi tidak seperti sekarang'. Apa yang saya dapat simpulkan di sini adalah keikhlasan untuk bermain bol sepak berlandaskan minat yang mendalam. Baginya bola sepak adalah darah dagingnya. Saya ada terbaca kisah SuperMokh suatu ketika dulu, beliau memang hebat. Sehingga kini, masih menjadi buah mulut mana-mana individu termasuk media tentang kehebatan beliau. Namun begitu, tidak ramai yang tahu rahsia kehebatan beliau. Beliau adalah seorang yang tabah dan kuat berlatih. Masa yang terluang akan digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan kebolehannya samada kemahiran mahupun 'Fitness'. Beliau tidak mengharap latihan yang dijadualkan semata-mata. Beliau sentiasa merasakan beliau masih lemah dan perlu banyak latihan serta tidak kenal erti 'Puas hati'. Untuk itu, sesudah subuh beliau akan berlari untuk mencari 'fitness' tambahan tanpa paksaan mana-mana pihak. Beliau juga akan memperbaiki kelemahannya secara individu. Pendek kata, masa yang terluang akan digunakan sebaiknya. Masalah kewangan tidak difikirkan langsung. Keikhlasannya berjaya mengatasi sikap metarialistik yang lazimnya dialami oleh rakyat malaysia sekarang. Selain itu, pemakanannya juga dijaga. Berdasarkan maklumat yang saya perolehi melalui satu rancangan di TV, isteri Supermokh mengatakan bahawa, beliau gemar memakan daging kuda. Mungkin ada yang berasa pelik mendengarnya. Tetapi itulah kenyataannya.

    Jadi, setelah panjang lebar saya bercerita kisah Hero kita suatu masa dahulu, saya yakin anak-anak muda Perak juga begitu. Sudah semestinya mereka memiliki idola masing-masing. Jangan hanya kagum dengan kehebatan idola berkenaan, tetapi cubalah singkap rahsia disebalik kejayaan mereka.

    Untuk pengetahuan, Pasukan Argentina, semasa Piala Dunia 2006, mereka tidak janji sebarang ganjaran dijanjikan oleh kerajaan mereka jika meraih Piala berkenaan. Tapi lihat sajalah prestasi mereka pada ketika itu, memang menampakkan keikhlasan mereka yang berjaya meraih tempat ke Separuh Akhir ketika itu. Dari situ kita dapat membayangkan keikhlasan mereka dalam berjuang tanpa menghiraukan ganjaran.

    Wahai anak-anak muda, kami warga negeri Perak sentiasa berada dibelakang untuk menyokong dan memberi semangat dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Ingatlah, anda sedang memikul tanggungjawab yang agak mencabar. Berbanggalah, bukan senang untuk mendapat peluang sebegini. Jadi gunakanlah kesempatan ini sebaik-baiknya.

    'BERUSAHA BERFAEDAH'
    'Biarlah Berakit-rakit Dahulu'

    'Setiap perbuatan akan diberi balasan, Baik yang dibuat, Baik lah yang Kita Dapat begitulah sebaliknya'.

    Likes(0)Dislikes(0)
  4. Transaevo...

    Seronok baca artikel ni; From Zero To Hero...hopefully those whom this article specially dedicated to (Perak youngsters), be reading this as well...barisan pemain-pemain muda Perak sekarang sememangnya kita nampak sedang menuju ke arah menjadi seorang hero...berkorban dahulu sebelum mencapai gemilang...sebelum berlari pun kene belajar merangkak...jadi ulat bulu dulu sebelum bertukar menjadi rama-rama...Transformasi & Evolusi akan berterusan...

    Buat penyokong setia Seladang, jgn lupa meramaikan stadium Shah Alam esok utk memberikan sokongan kpd pasukan kita...masuk percuma,tak kene bayar pun...

    Likes(0)Dislikes(0)
  5. keanu147

    kami peminat pasukan perak berdoa agar perak mencapai kemenangan dan kejayaan dalam final piala presiden.semoga dengan kejayaan ini,akan dapat mengembalikan semangat dan menaikkan nama pasukan perak di mata negara...

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.