Piala Belia | Kelantan Vs Perak | 17 Jun 2008 (result)

Piala Belia 07/2008
Selasa 17 Jun 2008
Stadium Mini Pasir Mas
4:45PM

Kelantan 2 – 4 Perak

Petang tadi, skuad belia Perak dengan penuh bergaya telah menewaskan pendahulu kumpulan A, Kelantan dengan jaringan 4 gol berbalas 2 di Stadium Mini Pasir Mas. Namun skuad Kelantan terlebih dahulu mendahului seawal minit ke 9 melalui sepakan penalti setelah pemain mereka dikasari di dalam kotak penalti Perak.

Hakim Roslee menyumbangkan gol pertama Perak pada minit ke 25 sebelum Mohamad Izham Ruslan menjaringkan gol kedua pada minit ke 31 hasil tendangan penalti. Pada minit ke 51, satu lagi tendangan penalti disudahkan dengan baik oleh pemain termuda skuad belia Perak, Shahrul Mohd Saad untuk gol ketiga pasukan.

Walaupun ketinggalan dengan 3 gol, pasukan Kelantan berjaya juga menjaringkan gol kedua mereka pada minit ke 65. Pada minit ke 86 permainan, Perak berjaya memperolehi tendangan penalti namun Mohamad Izham Ruslan menendang tinggi bola tersebut.

Dengan 5 minit tambahan masa diberikan oleh pengadil perlawanan, Hakim Roslee sekali lagi berjaya meledakkan gol keempat Perak dan kedua bagi dirinya pada minit ke 95 untuk memastikan skuad Perak pulang ceria dengan kemenangan bergaya di tempat lawan.

Penolong jurulatih skuad belia Perak, Johari Hamzah berkata “Walaupun ketua jurulatih Abu Bakar Fadzim tidak dapat bersama pasukan kerana mengikuti kursus kejurulatihan FAM, ini tidak mengganggu tumpuan pemain-pemain Perak untuk beraksi cemerlang membenam lawan yang cukup ampuh di gelanggang sendiri seperti Kelantan”

“Pemain-pemain Perak berjaya melaksanakan dengan baik apa yang saya rancangkan untuk separuh masa pertama walaupun keadaan sedikit goyah pada separuh masa kedua terutama selepas mendahului pihak lawan dengan 3 gol” jelas Johari Hamzah.

Ketika ditanya berkenaan banyak tendangan penalti yang diperolehi, jelas beliau “Permainan kedua-dua pasukan seimbang namun skuad lawan mengamalkan corak permainan yang agak keras dan ini menyumbang kepada penalti tersebut apabila pemain saya dijatuhkan di dalam kotak penalti mereka.”

“Saya menasihatkan para pemain untuk tidak terpengaruh dengan provokasi seperti itu dan ternyata pemain belia Perak bermain dengan cukup sabar dan cemerlang untuk meraih kemenangan ini.” ujar beliau kepada wakil kami.

Likes(1)Dislikes(0)

2 thoughts on “Piala Belia | Kelantan Vs Perak | 17 Jun 2008 (result)

  1. ghostwriter

    Tahniah! Saya yakin semua penyokong Perak berbangga dengan kemenangan ini. Kepada pemain-pemain muda Perak, anda semua adalah harapan Perak dan Negara. Terus maju dengan prestasi cemerlang. En.Johari Hamzah, anda dan En.Abu Bakar Fadzim adalah jurulatih yang berkaliber dan kreatif. Anda berdua juga telah membuktikan Perak tidak ketandusan jurulatih tempatan yang hebat. Saya berharap, anda berdua dapat menggantikan Steve Darby dan menjadi ikon jurulatih tempatan yang berjaya.

    Untuk perlawanan yang akan datang, pastikan kemenangan tetap milik Perak. Kemenangan hari ini belum menjamin kemenangan hari esok. Teruskan usaha! Kami tetap menyokong anda semua !

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. matahari_terbit

    terima kasih kepada yang terlibat dalam skuad belia. kerana mampu membawa cabaran dan menstabilkan pasukan walaupu pafa tak der duit

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.