In Person | Ahmad Fakri Saarani

Tarikh: 25 Januari 2008
Waktu: 10.45mlm – 11.00mlm
Lokasi: Stadium Nasional Bukit Jalil

Penulis berpeluang untuk menemuramah Ahmad Fakri Saarani iaitu pemain muda pasukan Perak musim lalu yang kini bermain dengan Harimau Muda sebagai penyerang yang menyarung jersi nombor 10.

Anak muda yang agak pemalu dan murah dengan senyuman ini cukup mudah untuk didekati serta tidak menghampakan penulis untuk menjawab soalan-soalan yang diberi selepas perlawanan antara Harimau Muda menentang Plus FC tempohari.

Nama beliau mula bermain di bibir peminat bolasepak musim lalu apabila telah membantu pasukan Perak menewaskan Negeri Sembilan dengan 5 gol berbalas 1 pada 24 Mac 2007. Beliau sendiri telah menjaringkan hattrik pada perlawanan itu serta membantu rakan lain menjaringkan gol.

Beliau dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan dan dibesarkan di Batu Gajah, Perak serta pernah mewakili pasukan Kebangsaan Bawah 19 tahun ketika menentang pasukan realiti TV, My Team musim pertama.

Ahmad Fakri Saarani | Harimau Muda

Biodata
Nama: Ahmad Fakri Saarani
Tarikh Lahir: 8 Julai 1989
Posisi: Sayap Kanan | Penyerang
No. Jersi: 26 – Perak | 10 – Harimau Muda

Berikut adalah antara temubual yang dicatatkan oleh penulis:

Penulis: Ramai peminat bolasepak Perak tertanya-tanya mengapa Fakri mewakili Harimau Muda walaupun dikatakan masih mempunyai kontrak dengan pasukan Perak?
Fakri: Saya dipanggil oleh FAM untuk mewakili Harimau Muda dan ini harus dipatuhi oleh mana-mana pemain walaupun mereka mempunyai kontrak dengan pasukan asal mereka.

Penulis: Berapa tahun Fakri mengikat kontrak dengan pasukan Perak?
Fakri: 3 tahun – bermula dari musim 06/2007 hingga musim 08/2009.

Penulis: Bila kontrak Fakri bersama Harimau Muda akan tamat?
Fakri: Hujung tahun ini bila habis Liga Premier.

Penulis: Apa perasaan Fakri bermain dengan Harimau Muda berbanding dengan Perak?
Fakri: Tak banyak berbeza kerana tekanan tetap wujud sebagai penyerang untuk menjaringkan gol untuk pasukan Harimau Muda mahupun Perak.

Penulis: Dari segi bayaran mana lebih lumayan, pasukan Perak atau Harimau Muda?
Fakri: Harimau Muda lebih sedikit saya rasa ( sambil tersenyum).

Penulis: Berminat untuk bermain dengan pasukan mana selepas ini?
Fakri: Tentulah pasukan Perak (tersenyum).

Ahmad Fakri Saarani | Harimau Muda | Dual Picture

Penulis: Siapa pemain Perak yang paling rapat dengan Fakri di kem Perak?
Fakri: Abang Boted (Hamsani Ahmad) dan Abang Ayie (Khairi Zainudin).

Penulis: Pemain paling berkarisma dalam pasukan Perak ketika itu pada pandangan Fakri?
Fakri: Abang Yus (Yusri Che Lah).

Penulis: Ada mengikuti perkembangan pasukan Perak buat masa ini?
Fakri: Ada, melalui akhbar tempatan dan abang-abang senior di Perak.

Penulis: Apa pandangan Fakri tentang prestasi semasa Perak tanpa Fakri?
Fakri: Saya tak berani komen (sambil ketawa kecil).

Penulis: Pemergian Fakri ke Harimau Muda menjejaskan kematangan Fakri berbanding perguruan Fakri bersama rakan senior di Perak? Pandangan Fakri?
Fakri: Saya rasa bagus juga saya disini untuk belajar semula dari bawah cara-cara yang terbaik untuk menjadi pemain bolasepak yang berjaya kerana lebih banyak peluang untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Ahmad Fakri Saarani | Harimau Muda

Penulis: Kalau diberi peluang sekarang samada bermain dengan Harimau Muda atau Perak mana yang Fakri pilih dan sebab-sebabnya?
Fakri: Saya pilih pasukan Perak sebab ramai abang-abang senior yang baik hati untuk memberi tunjuk ajar kepada saya di samping ramai penyokong yang datang ke stadium.

Penulis: Apa yang Fakri buat pada masa lapang?
Fakri: Berehat-rehat di rumah.

Penulis: Apa pesanan Fakri kepada peminat bolasepak Perak dan peminat Fakri sendiri?
Fakri: Teruskan memberi sokongan padu kepada pasukan Perak dan juga saya disini (Harimau Muda).

Penulis: Terima kasih Fakri kerana sudi ditemuramah oleh kami.
Fakri: Sama-sama.

Begitulah serba sedikit perbualan yang dicatatkan oleh penulis bersama beliau. Apa yang dapat penulis rumuskan, beliau sebenarnya cukup berminat untuk mewakili pasukan Perak namun kerana tuntutan untuk mewakili pasukan Harimau Muda telah membataskan kehendaknya.

Pada masa yang sama juga, beliau rasa bertuah kerana sentiasa mendapat kepercayaan jurulatih, K. Rajagopal untuk diturunkan dalam kesebelasan utama Harimau Muda setiap kali perlawanan.

Penulis bagi pihak pengurusan seladang.net, ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada beliau sepanjang bersama pasukan Harimau Muda. Andai segalanya berjalan seperti yang dirancang, beliau mungkin akan bermain semula dengan pasukan Perak musim 08/2009 nanti.

Terima Kasih

YB Corner

Likes(0)Dislikes(0)

2 thoughts on “In Person | Ahmad Fakri Saarani

  1. QuRraSiuM CiLiCouS

    YEs..,.nti da abis main untuk harimau muda pastikan anda kembali mewakili PERAK kerana para penyokong PERAK sentiasa menyokong anda dan anda bakal pengganti Khalid Jamlus suatu hari nanti...

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.