Akan Berulangkah Episod Y2K ??

Bersama Yong Ayu

Pertama sekali saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada skuad Seladang yang telah berjaya menyingkirkan Perlis (juara bertahan) di peringat suku akhir dan Sabah di peringkat Separuh Akhir untuk menempah tiket ke perlawanan Akhir TM Piala Malaysia musim 2006/07.

Masih jelas dalam ingatan saya tentang satu episod Piala Malaysia tahun 2000 dahulu. Pada ketika itu Perak berada dalam satu kumpulan dengan Negeri Sembilan. Dalam perlawanan peringkat kumpulan, Negeri Sembilan tidak pernah tewas dalam semua pertemuannya dengan pasukan yang berada dalam kumpulan itu.

Pasukan itu juga telah menewaskan Perak di Paroi dan di Ipoh sendiri. Rekod Negeri Sembilan pada ketika itu sangat mengkagumkan. Negeri Sembilan muncul sebagai Johan dalam kumpulan itu dan Perak menjadi Naib Johan.

Setelah memenangi kesemua perlawanan di peringkat Suku Akhir dan juga Separuh Akhir, akhirnya Negeri Sembilan bertemu dengan Perak di perlawanan Akhir Piala Malaysia tahun 2000. Negeri Sembilan dikatakan terlalu mengidam untuk mendakap Piala Malaysia setelah 52 tahun tidak berjaya melakukannya. Kali terakhir mereka berjaya memenangi piala itu ialah pada tahun 1948 menewaskan pasukan Selangor dengan keputusan 2-1.

Perak ketika itu diletakkan sebagai pasukan underdog dan Negeri Sembilan sebagai pasukan pilihan untuk memenangi piala tersebut berdasarkan rekod pada musim itu. Tetapi lain yang mereka rancangkan, lain pula yang berlaku.

Perak telah berjaya menjaringkan dua gol melalui Khalid Jamlus dan V. Saravanan cukup untuk membuatkan pasukan Negeri Sembilan berputih mata. Saya perhatikan para penyokong Negeri Sembilan beransur-ansur meninggalkan Stadium Nasional Shah Alam setelah mereka mendapati sukar bagi negeri pasukan mereka membalas dua gol tersebut.

Ketika permainan tinggal 10 minit untuk ditamatkan, para penyokong yang memakai baju warna merah sudah tidak kelihatan lagi. Tinggallah penyokong yang memakai baju warna kuning menyaksikan upacara penyampaian hadiah Piala Malaysia. Kerajaan Negeri Perak yang mula dipimpin oleh Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali telah mengisytiharkan yang Perak diberikan 1 hari Cuti Umum pada hari Isnin berikutnya.

Kini keadaannya hampir sama berlaku bagi kedua-dua calon Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia episod 2007 iaitu Kedah dan juga Perak yang kedua-duanya dari kumpulan yang sama. Di peringkat kumpulan, Kedah hanya kalah sekali (kepada Perak) dan menang 5 kali serta seri 4 kali untuk melayakkannya menjadi johan Kumpulan C.

Setelah menyingkirkan Melaka di peringkat Suku Akhir dan Terengganu di peringkat Separuh Akhir, akhirnya Kedah bertemu dengan Perak di peringkat Akhir. Laluan Perak ke akhir pula dilihat terlalu getir. Ia terpaksa berhadapan dengan dua buah pasukan yang telah menyekatnya di peringkat Separuh Akhir iaitu Perlis dan Sabah.

Sabah telah membuatkan Perak berputih mata untuk ke perlawanan Akhir pada tahun 2002 dan 2003. Sementara itu pula Perlis telah menyingkirkan Perak di peringkat Separuh Akhir pada tahun 2005 dan 2006.

Pada musim ini kedua-dua pasukan itu datang serentak iaitu di peringkat Suku Akhir (Perlis) dan di peringkat Separuh Akhir (Sabah). Alhamdulillah dengan berkat doa para penyokong dan usaha gigih para pemain skuad Seladang sendiri, Perak telah berjaya mencairkan badi tersebut secara serentak dan telah meluluskan dirinya untuk beraksi di peringkat Akhir TM Piala Malaysia episod 2007.

Soalnya sekarang adakah episod 2000 akan berulang lagi?? Kedah dikatakan terlalu mengidam untuk melakukan treble dalam kempen TM Liga Malaysia 06/2007 ini. Pasukan tersebut telah berjaya mendakap Piala FA dan Liga Super.

Kini seluruh tenaga pemain Kedah dikerah oleh Azrai Khor kepada perlawanan Akhir TM Piala Malaysia untuk menidakkan usaha Perak daripada menjulang Piala Malaysia dan pada masa yang sama piala itu menjadi milik mereka.

Ketahuilah bahawa Kedah masih berhutang dengan Perak sebanyak satu perlawanan lagi. Kedah telah menewaskan Perak sebanyak tiga kali iaitu 4-3 pada 3 Feb 2007 dalam TM Liga Super, 2-1 pada 17 Mac 2007 untuk TM Piala Malaysia dan 1-0 pada 27 Mac 2007 dalam kempen TM Piala FA. Semua perlawanan ini berlangsung di tempat mereka sendiri iaitu Stadium Darul Aman.

Perak berjaya membalas kekalahan itu sebanyak dua kali ditempat sendiri juga iaitu 1-0 pada 18 April 2007 dalam TM Liga Super dan sekali lagi dengan jaringan 2-1 pada 26 Mei 2007 dalam persaingan TM Piala Malaysia.

Bermakna masih tinggal satu perlawanan lagi untuk dilunaskan. Ini akan dilakukan oleh Perak pada perlawanan Akhir TM Piala Malaysia pada 8 September 2007 nanti di padang berkecuali iaitu di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Jangkaan saya ialah Perak akan menumpaskan Kedah dengan jaringan 4-3.

Dalam perlawanan akhir itu nanti, saya membuat andaian seperti berikut:

· Kedah akan bermain secara bermati-matian kerana mengejar piala ketiga untuk mencipta rekod baru mengatasi Selangor (Selangor Juara Liga Perdana sementara Kedah juara Liga Super). Ini akan membuatkan para pemainnya akan kehabisan stamina dan akhirnya letih. Pada ketika itulah Perak akan mengambil kesempatan. Perak sebenarnya hanya sekadar cuba menyekat hajat Kedah itu.

· Kedah akan bermain sebagai pasukan pilihan, sementara Perak sebagai pasukan Underdog. Ini bermakna tekanan yang tinggi akan terarah kepada pasukan Kedah. Sementara itu pasukan Perak akan bermain secara tenang tanpa sebarang tekanan yang tinggi pada perlawanan itu.

· Kedah akan bermain secara menyerang habis-habisan ke kubu Perak. Pada masa yang sama pasukan Perak akan membuat serangan balas yang pantas untuk mencipta jaringan.

· Kali terakhir Kedah mendakap Piala Malaysia ialah pada tahun 1993 dengan mengalahkan Singapura 2-0. Perak pula telah berjaya menjadi juara Piala Malaysia pada tahun 2000 mengalahkan Negeri Sembilan dengan jaringan yang sama iaitu 2-0. Ini bermakna Kedah telah terlalu lama tidak menjuarai Piala Malaysia (selama 14 tahun). Sementara Perak menjuarainya 7 tahun yang lalu (sekali ganda tempohnya).

Yong Ayu – seladang.net

Likes(0)Dislikes(0)

6 thoughts on “Akan Berulangkah Episod Y2K ??

  1. rizalman

    Y2K!!! pasti akan berulang nanti,teman harap perak boleh melakukan perkara yang sama apatah lagi khalid masih bermasa dengan kita.

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. Yob Utara

    thanks yong ayu utk artikel mike. Teringat teman memori final 2000 mmg sesuatu yg tak disangka. Harap ada kejutan utk final 2007 plak.

    skor yob skor,sampai deme tumpor

    Likes(0)Dislikes(0)
  3. nu_Ox3r

    bukan stadium nasional...tapi stadium shah alam....masa tu saya f1.saya ingat lagi...mmg perak jadi underdog kali ni.rata2 kwn2 saya kata kedah pilihan tapi tengok nanti!!!!!!!!!!!!PERAK JUARA!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

    Likes(0)Dislikes(0)
  4. anas

    Y - Yob
    2 - Orang striker import/local terbaik liga.
    K - Khalid/Kieta

    Y2K bakal jadi pemusnah impian treble kedah

    Keita Mandjou 30 gol
    Mohd Khalid Jamlus 23 gol

    jumlah 53 gol...teman predict perak balun kedah 5 - 3

    skor yob skor….sampai deme tumpor….

    Likes(0)Dislikes(0)
  5. zahran

    Akhirnya impian kita untuk menyaksikan hitam kuning-hijau kuning memenuhi stadium nasional termakbul.Saya pernah menyatakan dalam salah satu post disini.Tetapi masih ada 90 minit(kalau xde masa tambahan) untuk dilunaskan.Atas kertas macam macam boleh dilakar tetapi atas padang menjanjikan pelbagai cerita.Kami penyokong kedah akan memenuhi stadium malam esok tetapi agak hampa kerana JPJ tengah mengamuk.Ramai yang tak dapat bas.Saya sempat booking 2 buah bas bagi kampung kami tetapi harganya mak aiii.Letih betol tapi semangat punya pasal...wang ringgit bukan menjadi masalah asalkan kedah menjadi juara.hehehe.
    Pasukan perak mempunyai ramai pemain berpengalaman dan kebanyakan dah berumur.Walaupun kedah banyak pemain muda ,stamina mereka tak dapat disangkal lagi.Jadi saya tak bersetuju dengan yong yang mana kedah akan keletihan dan perak akan counter attack.Kunci kepada pasukan perak adalah danial fadzli,nantha dan ahmad sharul.saya juga tertarik kepada shahrulnizam mustapha dan midfield kedah seperti nelson,ahmad fauzi dan khyril harus mengunci danial fadzli kalau mahu menang.Kieta mandjou adalah pemain serba boleh dan harus dirantai kalau tidak mahu berputih mata.Harus diingat bahawa kesemua pemain kedah kecuali penjaga gol,helmi pernah menjaringkan gol pada tahun 2007.Kunci kekuatan kedah lebih tertumpu kepada pertahanan yang ampuh.outlaw dan victor adalah nadi utama dan pertahanan kiri agak longgar.Pelam(shafizan hashim) agak longgar sejak akhir akhir ini dan saya lebih mengharap sabri abu mengisi posisi tersebut.Namun apa juga boleh terjadi di atas padang

    Apapun kita mengharapkan permainan berkualiti dari kedua pasukan.Kalah menang adat permainan.Kita sebagai penyokong harus berdisiplin dan tidak terlalu emosi.Jangan bawa mercun atau barang berbahaya ke stadium.

    Majulah sukan bolasepak untuk Malaysia.Skor yob skor, pulun kedah pulun.kali ni piala malaysia balik utara

    Likes(0)Dislikes(0)
  6. webmaster

    Terima kasih pada semua yang telah membuat posting disini. Buat saudara Zahran saya ucapkan semoga perjalanan saudara dan rakan-rakan yang lain selamat dan di lindungi Tuhan.

    Saya bersetuju dengan kata-kata saudara tentang pertemuan ini. Kedua-dua pasukan ada kelebihan yang tersendiri. Apa yang peminat mahukan ialah permainan yang bersih dan berkualiti.

    Tidaklah menjadi satu kerungsingan bagi saya jika Perak tumpas kepada pasukan yang sebaik Kedah atau sebaliknya. Tetapi apa yang perlu kita semua sebagai peminat perhatikan ialah mutu sukan bolasepak itu sendiri.

    Secara peribadi saya tidak berani meramalkan siapa yang bakal menjadi juara Piala Malaysia musim ini. Yang pasti pemenang malam itu ialah pasukan yang berjaya memanafaatkan setiap peluang yang ada untuk menghasilkan gol.

    Tiada guna mendapat 100 peluang jika tidak diterjemahkan menjadi gol. 90% kejayaan datangnya dari kualti pemain dan jurulatih yang mencatur strategi dan 10% sahaja kita bergantung kepada Tuah atau Nasib.

    Selamat maju jaya kepada kedua-dua pasukan yang bertanding dalam kempen TM Piala Malaysia 06/2007.

    Terima Kasih

    admin[@]seladang.net

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.