Rekod Lampau Penentu Arah Haluan

Bersama Yong Ayu

Dalam menentukan sama ada sesebuah pasukan itu mampu melangkah lebih jauh lagi, rekod perjalanan pasukan itu serta rekod pertemuan dengan pasukan lawan perlu diambil kira dan dinilai kembali.

Perkara ini tidak terkecuali bagi Pasukan Perak yang akan bertemu dengan Pasukan Sabah dalam pusingan Separuh Akhir, TM Piala Malaysia musim 2006/07 yang akan berlangsung pada hari Sabtu, 1 September 2007 di Stadium Tawau, Sabah.

Berkaitan dengan perkara ini, elok kita tinjau kembali rekod TM Piala Malaysia dua tahun kebelakangan yang melibatkan kedua-dua pasukan tersebut.

Pada tahun 2005, Sabah gagal memasuki pusingan Suku Akhir setelah tersekat di peringkat kumpulan lagi iaitu dalam Kumpulan A. Manakala pasukan Perak, dari Kumpulan D, telah berjaya memasuki hingga ke peringkat Separuh Akhir sahaja setelah disekat oleh pasukan Perlis.

Pada tahun 2006 pula, keadaannya masih sama. Sabah gagal lagi melepasi peringkat kumpulan (juga Kumpulan A). Sementara pasukan Perak (juga dari Kumpulan D) hanya berjaya ke peringkat Separuh Akhir setelah digagalkan oleh pasukan yang sama iaitu Perlis.

Cuba kita lihat pula rekod pertemuan Perak dengan Sabah bagi musim 2006/07 ini yang secara kebetulan kedua-dua pasukan datangnya dari kumpulan yang sama iaitu Kumpulan C. Pada perlawanan di peringkat kumpulan, Perak telah tewas kepada Sabah di Kota Kinabalu dengan jaringan 0-1 (gol kontroversi) pada 10 Februari 2007.

Dalam perlawanan timbal balik di Ipoh pada 14 April 2007 pula, Perak hanya mampu berkeputusan seri 1-1 dengan Sabah (gol Sabah diperolehi melalui sepakan penalti). Setelah masing-masing menempuh 10 perlawanan, Perak berkedudukan di tempat ke-2 (mengumpul 18 mata) di belakang Kedah yang mengungguli Kumpulan C.

Sementara itu Sabah berada di tempat ke-3 (mengumpul 18 mata). Kedudukan tersebut dibezakan oleh perbezaan gol. Perak menjaringkan 24 gol dan kena 12 gol (beza 12 gol) sementara Sabah menjaringkan 18 gol dan kena 11 gol (beza 7 gol). Walaupun Sabah jatuh di tempat ke-3, tapi ia layak memasuki peringkat Suku Akhir atas dasar dua pasukan terbaik di tempat ketiga.

Pada peringkat Suku Akhir, Sabah telah berjaya menyingkirkan Negeri Sembilan Naza dengan Aggregate 3-2 setelah kalah 0-1 di Paroi tetapi menang di Kota Kinabalu dengan jaringan 3-1. Bagi Perak pula, perjalanannya lebih berduri, namun berjaya mengatasi ranjau itu dengan menyingkirkan juara bertahan, Perlis dengan aggregate 5-3. Perak telah ketinggalan 0-2 di Kangar, tetapi bangkit mengalahkan Perlis 5-1 di Ipoh.

Jika diamat-amati fakta di atas, maka jelaslah bahawa peluang pasukan Perak untuk melangkah ke perlawanan akhir agak cerah. Ini didasarkan kepada hakikat bahawa ketika Sabah menewaskan Perak pada 10 Februari 2007 itu adalah satu jaringan kontroversi kerana pemain Perak menyangkakan bahawa pemain Sabah akan menyepak keluar bola tersebut setelah salah seorang pemainnya terbaring di atas padang.

Akan tetapi mereka terus membawa bola ke kawasan gol Perak dan seterusnya menjaringkan gol tunggal perlawanan. Dalam perlawanan Sabah bertemu Perak di Ipoh pula, gol penyamaan Sabah diperolehi menerusi sepakan penalti dan bukannya jaringan padang.

Dalam usahanya mengatasi Negeri Sembilan Naza di peringkat Suku Akhir, pada 15 Ogos 2007, Sabah telah berjaya menjaringkan 3 gol berbalas 1 di Kota Kinabalu setelah ketinggalan 0-1 pada perlawanan pertama di Paroi.

Kita semua mengetahui bahawa pasukan Negeri Sembilan Naza telah dibelasah oleh pasukan Kedah dengan jaringan besar 6-0 di Alor Star pada 4 Ogos 2007 dalam perlawanan Liga Super. Ini membuatkan moral para pemain pasukan NS telah jatuh merudum.

Oleh itu kekalahan Negeri Sembilan Naza pada musim ini sememangnya telah dijangka kerana ia bukanlah sebuah pasukan yang kuat berbanding musim lalu. Dalam senarai TM Liga Super sendiri pasukan itu berada di kedudukan ke-11 daripada 13 pasukan.

Umum pula telah sedia mengetahui bahawa pasukan Perak satu-satunya pasukan yang sangat konsisten di sepanjang musim dan di sepanjang TM Liga Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu. Namun begitu pasukan tersebut kadang kala mudah ditewaskan oleh pasukan yang dianggap lemah.

Dalam perjalanannya menuju ke perlawanan Separuh Akhir musim ini, Perak telah berjaya menyingkirkan pasukan penyandang juara TM Piala Malaysia iaitu Perlis, walaupun pada mulanya Perak tidak banyak diberikan harapan untuk berbuat demikian.

Kini seluruh peminat pasukan Perak khususnya dan seluruh peminat bola sepak di Malaysia amnya memberikan tumpuan penuh kepada pasukan Seladang sama ada pasukan tersebut berjaya mengatasi Sabah dalam saingan peringkat Separuh Akhir, TM Piala Malaysia musim 2006/07.

Pada hakikatnya pasukan Perak dijangka akan dapat mengatasi pasukan Sabah dan seterusnya menempah tempat di perlawanan Akhir, TM Piala Malaysia pada 8 September 2007 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ayat tersebut bukanlah merupakan kata-kata angkuh atau riak sebagai seorang peminat setia Seladang, tetapi ia lebih kepada ‘cakap berlapik’ (InsyaAllah Taala) atas berkat doa para peminat sekalian.

Yang penting di sini setiap pemain yang diamanatkan mewakili pasukan Perak dalam pertemuan Separuh Akhir pertama nanti tidak memandang rendah terhadap pasukan Sabah. Sedikit sahaja kesilapan yang dilakukan (terutamanya bahagian pertahanan), pasukan Sabah akan mengambil kesempatan di atas kealpaan kita.

Rebutlah peluang keemasan yang tidak selalu datang berkunjung ini. Jangan hampakan harapan para peminat yang telah terlalu lama ingin melihat pasukan kesayangan mereka, Perak beraksi di perlawanan akhir piala berprestij, TM Piala Malaysia ini.

Telah 7 tahun kita tidak beraksi di pentas Akhir TM Piala Malaysia. Kami menaruh kepercayaan penuh kepada Steve Darby di atas kebolehan dan kemampuannya mengatur sebarang strategi dan perancangan yang difikirkan bersesuaian diterapkan di kalangan anak buahnya dalam menghadapi Sabah nanti.

Para pemain pula hendaklah bermain dalam keadaan tidak tertekan dan sentiasa menggunakan fikiran dalam mencorakkan permainan dan membuat hantaran.

Semoga pasukan Perak berjaya melangkah ke perlawanan akhir TM Piala Malaysia.

~ Amin, Amin, Ya Rabbal ‘Alamin

Yong Ayu – seladang.net

Likes(0)Dislikes(0)

4 thoughts on “Rekod Lampau Penentu Arah Haluan

  1. THE SILVER

    Alhamdulillah,setelah berjaya menyingkir perlis dengan bergaya kini giliran sabah pula kita tunjukan jalan keluar sesudah kita mengalah 2 kali kepada mereka.Untuk sekian kalinya tak sanggup mengalah lagi.

    2001 kali terakhir perak ke perlawanan akhir piala malaysia dan tewas kepada terengganu,selepas itu perak disekat laluanya di separuh akhir.semoga tahun 2007 ini memang betoi tahun mencairkan badi separuh akhir.Sama-samalah kita berdoa agar cita-cita kita untuk ke final dan seterusnya menjadi sang juara dimakbulkan.AMIN.

    Likes(0)Dislikes(0)
  2. asraf

    teman percaya tahun ni kita masuk final piala malaysia,paling kurang kita draw kat sabah dan menang di ipoh pulak lepas tu.

    mmg betoi cakap yob2 semua...tahun ni tahun kite mencairkan badi2 yang ada selama ni...

    skor yob skor..sampe deme tumpor...

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.