Perak Masih Berpeluang

Bersama Yong Ayu

Selepas waktu kerja pada hari Rabu, 1 Ogos 2007, saya bergegas ke Stadium Perak di Ipoh untuk memberi sokongan terhadap Pasukan Perak dengan harapan akan mencapai kemenangan ke atas Terengganu dan memungut tiga mata penuh untuk terus memberi saingan kepada Kedah.

Apakan daya nasib tidak menyebelahi pasukan Perak, walaupun mendahului dengan jaringan Keita Mandjou hasil hantaran lintang oleh Khalid Jamlus pada separuh masa pertama. Tidak berapa lama selepas jaringan pertama Perak, Keita pula melintangkan bola kepada Khalid di depan pintu gol tetapi disia-siakan oleh Khalid yang gagal mengawal bola dan terlepas begitu sahaja.

Saya hairan kenapa Khalid tidak terus menguis saja masuk bola itu. Tetapi sebaliknya ia cuba untuk menahan bola yang agak deras itu dan akhirnya kehilangan bola. Jika Khalid berjaya menjaringkan gol kedua Perak malam itu, sudah tentu moral Terengganu akan turun dan Perak berjaya memenangi perlawanan. Tak mengapalah, ia telah menjadi sejarah.

Walaupun begitu Perak masih lagi berpeluang menjuarai Liga Super 2006/07 jika Perak berjaya mengalahkan Sarawak dan pada masa yang sama Brunei DPMM pula berjaya menyekat kemaraan Kedah sekurang-kurangnya dengan keputusan seri.

Keadaan tersebut tidak mustahil boleh berlaku jika kita lihat rekod pertemuan DPMM dalam Liga Super tahun ini di tempat sendiri seperti berikut:

Rekod DPMM di tempat sendiri

A. Pusingan Pertama

rekod DPMM Brunei pusingan pertama

B. Pusingan Kedua

rekod DPMM Brunei pusingan kedua

Daripada rekod di atas, kita dapati bahawa DPMM begitu kental ditempat sendiri. Daripada 12 perlawanan di tempat sendiri, mereka telah memenanginya sebanyak 7 kali, seri tiga kali dan hanya kalah sekali kepada Pahang 1 – 3.

Daripada analisis tersebut, mungkin Kedah agak sukar untuk menjinakkan DPMM di gelanggang keramat mereka. Tambahan pula pada perlawanan pertama di Alor Star pada 16 Disember 2006 dahulu, DPMM telah berjaya mengatasi Kedah dengan jaringan 2 – 1.

Maka tidak mustahil rekod itu akan dikekalkan oleh DPMM. Mereka juga ingin menjadi dua pasukan kelab terbaik untuk memasuki Piala Malaysia di musim akan datang. Maksud terbaik di sini ialah mereka bukannya satu pasukan yang mudah dikalahkan.

Kita beralih pula kepada rekod pertemuan Sarawak di gelanggang sendiri yang dikatakan tidak begitu memberangsangkan seperti berikut:

Rekod Sarawak di tempat sendiri

A. Pusingan Pertama

rekod sarawak pusingan pertama

B. Pusingan Kedua

rekod sarawak pusingan kedua

Dalam 12 pertemuan di tempat sendiri, mereka hanya menang sebanyak 4 kali, seri sebanyak 5 kali dan selebihnya kalah sebanyak 4 kali (termasuk ke atas Pulau Pinang yang diterbalikkan). Dengan rekod sedemikian dan keadaan dalaman Sarawak pada ketika ini, Perak seharusnya mengambil peluang untuk menjinakkan Sarawak di tempatnya sendiri.

Kami selaku penyokong dan peminat setia pasukan Seladang sentiasa berdoa akan kemenangan Perak nanti. Ketahuilah ramai antara penyokong Perak tidak dapat tidur nyenyak pada malam Perak mendapat keputusan seri ke atas Terengganu itu.

Kini kami menaruh harapan bahawa pasukan Perak mampu melakukan misi untuk mengalahkan Sarawak pada malam itu nanti. Kami akan menyaksikan Perak berbuat demikian di depan kaca tv kerana dikhabarkan pada malam Sabtu itu nanti (4 Ogos 2007), RTM dijangka menyiarkan secara langsung perlawanan antara Sarawak dengan Perak di Stadium Kuching Sarawak.

Wahai wira-wira Seladang, janganlah hampakan hati peminat setia Perak. Kami turut gembira ria seandainya anda semua berjaya menjadi juara Liga Super musim ini. Berjuanglah sampai ke titisan peluh yang terakhir. Bermainlah dengan bersungguh-sungguh hingga ke wisel penamat.

“Kejor Yob Kejor” dan “Skor Yob Skor”
Bior kita menang benor-benor.

Ikhlas dari,

Yong Ayu – seladang.net

Nota: Berita ini telah dikirimkan oleh pembaca kepada pihak pengurusan seladang.net dan pihak pengurusan hanya membuat beberapa modifikasi kepada struktur ayat tanpa mengubah sebarang fakta atau makna yang ingin disampaikan didalamnya.

Likes(0)Dislikes(0)