Malaysia Vs PSV Eindhoven – Champions Youth Cup 2007 (result)

Malaysia Vs PSV Eindhoven - Champions Youth Cup 2007

Malaysia 0 Vs 2 PSV Eindhoven
12hb Ogos 2007
8.40 mlm

Pasukan kebangsaan bawah 19 tahun negara mengakhiri persaingan Champions Youth Cup 2007 dengan kekalahan kepada pasukan PSV Eindhoven dengan keputusan 2 gol tanpa balas.

Permainan separuh masa pertama menyaksikan corak permainan yang amat berbeza berbanding dengan perlawanan-perlawanan yang sebelumnya. Pasukan Malaysia dilihat lebih seperti menunggu bola dan kurang mengasak untuk mendapatkan bola dari kaki lawan.

Dan percaturan jurulatih Robert Albert ini telah diduga oleh penulis mengundang padah apabila peluang ini diambil sepenuhnya oleh pasukan lawan untuk mengasak kubu Malaysia.

Separuh masa pertama sahaja menyaksikan 2 gol sudah dijaringkan oleh pihak lawan dengan pasukan negara masih lagi seperti tertunggu-tunggu sesuatu. Cuma ada beberapa gerakan yang diatur oleh jentera tengah Malaysia dengan penyudahan yang amat tumpul.

Masuk separuh masa kedua, corak kembali bertukar dengan pasukan remaja Malaysia kembali mengasak setiap pemain lawan yang sedang membawa bola. Ini menyebabkan pihak lawan menjadi agak kelam kabut dan banyak hantaran dari mereka yang tidak tepat serta memudahkan tugas benteng negara dari dibolosi.

Pada suatu ketika selepas salah seorang pemain PSV Eindhoven dikenakan perintah keluar padang pada 10 minit terakhir permainan, Malaysia seperti perlawanan yang terdahulu lebih mengasak kekubu lawan. Walaupun terdapat banyak peluang di pintu gol lawan tetapi gagal disempurnakan oleh pemain remaja negara.

Apa yang penulis kesalkan ialah mengapa Robert Albert menukar corak permainan pasukan Malaysia pada separuh masa pertama yang mengakibatkan kita diasak hebat dan ketinggalan dengan dua gol?.

Adakah wujud satu konspirasi secara halus dari jurulatih yang berasal dari Belanda itu untuk melihat anak buahnya tumbang dengan pasukan negaranya sendiri memandangkan jika pasukan PSV Eindhoven hanya seri dengan pasukan negara, maka peluang mereka untuk mara kepusingan seterusnya mungkin sedikit sukar.

Penulis melihat pemain negara seakan tidak selesa dengan corak yang diterapkan oleh Robert Albert pada separuh masa pertama. Hanya selepas separuh masa kedua baru kita nampak kemampuan sebenar pasukan remaja kebangsaan dengan taktikal mengasak pihak lawan.

Apapun sekalung tahniah kepada pasukan remaja kebangsaan kerana tidak memalukan peminat bolasepak kebangsaan dan negara Malaysia sendiri dengan mutu persembahan anda semua. Teruskan usaha anda semua dan semoga kita mampu untuk sekurang-kurangnya kembali digeruni diperingkat Asia dalam tempoh 5 tahun ini.

YB – seladang.net

YB Corner

Likes(0)Dislikes(0)