Kebangkitan Perak Daripada Igauan

Bersama Yong Ayu

Cuba kita imbau kembali perlawanan yang diharungi oleh Pasukan Perak dalam Piala Malaysia dua tahun kebelakangan. Pada tahun 2005, Perak terkandas di peringkat separuh akhir setelah diketepikan oleh Perlis.

Pada perlawanan pertama di Ipoh, Perak tewas dengan jaringan 1 – 2. Dalam perlawanan kedua pula di Kangar, Perak tewas lagi dengan jaringan 0 – 1. Ini melayakkan Perlis melangkah ke Perwalanan Akhir untuk bertemu dengan Pasukan Selangor. Malangnya Perlis tewas di tangan Selangor dengan jaringan 3 – 0.

Pada tahun 2006, Perak berjaya melepasi peringkat Suku Akhir dengan menyingkirkan Pulau Pinang dengan aggregate 5 – 2. Perak mengalahkan Pulau Pinang di tempat sendiri dengan jaringan 3 – 0 dan seterusnya berjaya mengekang pasukan tersebut dengan keputusan seri 2 sama.

Walaupun Perak berjaya melangkah ke peringkat Separuh Akhir, akan tetapi sejarah berulang lagi di mana Perak tercicir lagi di peringkat yang sama dan di tangan pasukan yang sama iaitu Perlis. Walaupun Perak berjaya mengikat Perlis dengan kedudukan seri 0 – 0 di Kangar, tetapi Perak gagal mengambil kesempatan di tempat sendiri dan tewas kepada Perlis dengan jaringan 1 – 2 melalui masa tambahan (masa sebenar terikat dengan kedudukan seri 1 – 1) Ini menjadikan aggregate 3 – 1 memihak kepada Perlis.

Pada tahun 2006 ini Perlis berjaya mengalahkan Negeri Sembilan di Perlawanan Akhir dengan jaringan 2 gol berbalas 1. Ini bermakna Perlis merupakan Juara Bertahan pada tahun 2007 ini.

Sebenarnya Perak telah menempuh sejarah yang hampir serupa dalam usahanya untuk menggapai Piala Malaysia yang menjadi idaman oleh setiap pasukan yang bertanding. Semuanya berlaku dalam tahun 2002 dan 2003 di mana Perak telah dikecewakan oleh pasukan Sabah kedua-duanya di peringkat Separuh Akhir.

Sudah terlalu lama Perak tidak menjejakkan kaki di Perlawanan Akhir Piala Malaysia. Kali terakhir Perak berbuat demikian ialah pada tahun 2001 namun tewas kepada Terengganu dengan jaringan 2 – 1. Kali terakhir Perak menjadi Juara Piala Malaysia ialah pada tahun 2000. Soalnya sekarang mampukah Perak mengatasi badi yang telah dihadapinya selama empat tahun iaitu pada tahun 2002, 2003, 2005 dan 2006.

Mampukah juga Perak menyingkirkan Perlis selaku Juara Bertahan untuk melayakkannya bertemu sama ada dengan Negeri Sembilan atau Sabah di peringkat Separuh Akhir. Pada hakikatnya badi seperti yang disebutkan itu hanya bertandang dua tahun berturut-turut sahaja dan tidak pernah tiga tahun berturut-turut. Jika ini benar, maka InsyaAllah Perak akan berjaya melepasi rintangan peringkat Suku Akhir, Piala Malaysia bertemu dengan Perlis pada 8 Ogos 2007.

Bagi kami sebagai penyokong setia Perak hanya dapat membantu dari segi datang ke stadium dan bersorak beramai-ramai menyemarakkan lagi semangat melawan Perak. Namun segalanya terpulang kepada para pemain Perak sendiri untuk mencipta sesuatu bagi melayakkan diri memasuki peringkat Separuh Akhir pada tahun ini.

Pada pandangan saya, jika Perak berjaya mengatasi Perlis, tugas akan menjadi lebih mudah di peringkat Separuh Akhir nanti kerana Sabah atau Negeri Sembilan tidaklah seliat Perlis. Jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, tiada sebab Perak tidak boleh beraksi di Perlawanan Akhir pada tahun 2007 ini.

Di perlawanan akhir nanti Perak dijangka akan bertemu sama ada Kedah, Terengganu ataupun Selangor. Jika diberi pilihan, saya memilih supaya Perak bertemu dengan Selangor kerana kemeriahannya sangat hebat di mana hitam kuning akan bertembung dengan merah kuning.

Yong Ayu – seladang.net

Likes(0)Dislikes(0)