TM Liga Super – Perak Vs Terengganu (review)

TM Liga Super

01hb Ogos 2007
Stadium Ipoh,
8.45mlm.

Perlawanan yang dijangkakan sengit ini menemukan dua pasukan yang menduduki tangga pertama dan ketiga Liga Super. Perak semestinya mahukan kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan di persada Liga manakala Terengganu pula ingin mengekalkan cengkaman di tempat ketiga Liga untuk menjarakkan diri dari pasukan DPMM.

Perlawanan pertama di Kuala Terengganu lalu menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan dengan banyak peluang gagal dimanafaatkan oleh pasukan Terengganu sebagai tuan rumah.

Kali ini perlawanan akan diadakan di Ipoh, gelanggang dimana Perak begitu ampuh dan mantap ketika bermain dihadapan penyokong sendiri. Dirasakan Steve Darby mampu merencanakan strategi untuk memerangkap pertahanan Terengganu di sambil merantai penyerang import handalan mereka iaitu Sharlei Miranda yang telah pun melakar 11 gol untuk saingan liga super kini.

Turut mencuri tumpuan ialah penyerang tempatan mereka yang mempunyai kepantasan dari segi larian iaitu Che Hisamuddin Hasan yang telah pun menyumbangkan 7 gol setakat ini. Setakat ini beliau merupakan penyerang ketiga tempatan paling berbisa selepas Khalid Jamlus (12 gol) dan Azlan Ismail (9 gol).

Diharap pasukan Perak yang dibarisi penyerang terbanyak Liga Super kini iaitu Keita Mandjou (19 gol) dan Khalid Jamlus mampu merobek kubu pertahanan Terengganu yang di ketuai oleh Marzuki Yusof dan Fabio Flor.

Sementara itu pesaing pasukan Perak iaitu pasukan Kedah kini menghadapi masalah untuk menentang pasukan Negeri Sembilan kerana mereka mungkin tidak dapat menggunakan khidmat 6 orang pemain utama mereka kerana menyertai skuad bawah 19 tahun untuk kempen Piala Juara – Juara Belia (CYC) serta skuad bawah 23 tahun kebangsaan yang sedang bersiap sedia untuk kejohanan Pestabola Merdeka.

Inilah padahnya apabila jawatankuasa pemilihan FAM sendiri yang terlalu bergantung harap kepada sesuatu negeri untuk mengambil seberapa banyak pemain untuk skuad kebangsaan. Perkara yang sama turut terjadi kepada pasukan Selangor apabila 5 orang pemain mereka turut dipanggil untuk kempen Piala Asia yang lalu.

Sudah tiba masanya diwujudkan suatu undang-undang baru yakni hanya 2 atau 3 orang pemain sahaja boleh dipanggil dalam satu-satu masa dan memberikan kelonggaran kepada mana-mana pasukan negeri itu untuk menangguhkan perlawanan jika terdapat lebih dari kouta pemain mereka digunakan untuk pasukan kebangsaan.

Dengan pelaksanaan undang-undang ini akan menyaksikan lebih banyak negeri turut terbabit dalam menyumbangkan pemain mereka beraksi untuk pasukan kebangsaan selain tidak merencatkan percaturan jurulatih pasukan negeri yang sedang bergelut dalam persaingan TM Liga Malaysia kini.

Ramalan penulis:
Perak 1 – 0 Terengganu

YB – seladang.net

YB Corner

Likes(0)Dislikes(0)