Berita Kosmo! – 18 Julai 2007

Black Parade United terus lancar protes

Oleh WAN FAKHRUL WAN BAKAR
fakhrul[@]kosmo.com.my

SEMANGAT pemain negara mungkin sudah pudar menjelang aksi terakhir Kumpulan C menentang Iran di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini selepas mereka dibelasah China 1-5 dan Uzbekistan 0-5.

Namun, bagi sekumpulan penyokong tempatan yang dikenali sebagai ‘Black Parade United’, mereka tetap bersemangat untuk ke stadium malam ini selagi misi menyelamatkan bola sepak negara belum selesai.

Salah seorang daripada mereka, Mohd. Firdaus Mutalib, 32, berkata, mereka akan hadir ke stadium dengan memakai baju hitam, sama seperti yang dilakukan Sabtu lalu ketika bertemu Uzbekistan, sebagai tanda protes secara senyap terhadap pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kami sokong tindakan Tengku Abdullah kerana baginda menunjukkan rasa tanggungjawab di atas apa yang menimpa skuad negara. Tapi kalau hanya baginda seorang yang berundur sedangkan pegawai tertinggi FAM lain kekal, saya rasa FAM tetap di takuk lama,” katanya kepada KOSMO! semalam.

Justeru, Firdaus menganggap individu utama yang perlu berundur daripada FAM ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang juga Naib Presiden FAM.

“Memang orang kata pemain dan jurulatih negara yang patut dipersalahkan. Tapi, kalau difikirkan balik, siapa yang sering mengubah polisi pertandingan liga tempatan, sering ubah format pertandingan serta membuat keputusan-keputusan yang sentiasa berubah.

“Sudah tentu Raja Ahmad Zainuddin yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap kegagalan skuad negara ketika ini. Tapi dia tetap kata, selagi dia tak dapat kembalikan maruah bola sepak negara, dia tidak akan lepaskan jawatan.

“Jadi, sampai bila kita semua kena tunggu dan bersabar? Sampai tahun 2020 ke?,” jelas Firdaus yang merupakan wakil daripada komuniti www.selangorFC.com.

‘Black Parade United’ merupakan gabungan ahli-ahli komuniti penyokong negeri-negeri iaitu www.selangorFC.com (Selangor), www.HijauKuning.com (Kedah) dan www.seladang.net (Perak) yang tinggal di sekitar Lembah Klang.

Para peminat bola sepak tempatan lain yang mahu sama menyertai kempen menyedarkan FAM dengan mengenakan baju hitam ke stadium malam ini turut dialu-alukan dan maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi di laman web www.blackparadeunited.com.

Sementara itu, wakil daripada komuniti www.HijauKuning.com, Muhamad Fakhzan Abidin, 26, pula berkata, protes secara senyap dengan mengenakan baju hitam ke stadium itu tidak akan berakhir setakat malam ini.

“Kalau pemimpin-pemimpin tertinggi FAM yang dah lama membawa kepada kegelapan bola sepak negara ini masih enggan berundur, kami akan teruskan usaha ini dengan memakai baju hitam dalam baki setiap perlawanan liga tempatan.

“Kita masih ada dua perlawanan Liga Super, saingan kalah mati Piala Malaysia, Piala Juara-Juara Belia (CYC), Pestabola Merdeka dan yang terakhir ialah perlawanan MyTeam2 menentang Indonesia Oktober nanti,” jelasnya.

Fakhzan turut menggesa barisan kepimpinan tertinggi FAM mengikut jejak Tengku Abdullah supaya dapat memberi peluang kepada muka-muka baru mengambil alih teraju badan induk bola sepak negara itu.

“Saya rasa, kalau Tengku Abdullah seorang yang letak jawatan dan yang lain buat tak tahu saja, tiada apa-apa kesan positif yang kita dapat untuk mengembalikan maruah bola sepak negara.

“Tindakan letak jawatan tetap perlu dicontohi pemimpin FAM yang lain terutama Raja Ahmad Zainuddin,” tegas Fakhzan yang berharap semua penyokong yang hadir ke stadium malam ini turut memakai baju hitam sebagai tanda sokongan.

Petikan berita ini diambil dari akhbar KOSMO! keluaran hari ini. Segala hakcipta penulisan ini adalah milik media itu sendiri. Kami tidak mengubah mahupun menambah sebarang berita yang tertulis disini. Sila dapatkan salinan akhbar KOSMO! anda hari ini untuk bukti sebenar.

Likes(0)Dislikes(0)