Titik Peralihan Perak Mendakap Piala Liga Super

Bersama Yong Ayu

Tanggal 6 Jun 2007 merupakan titik hitam bagi pasukan Kedah dalam usaha menggapai piala berprestij Liga Super 2006/07. Ini kerana pencabar terdekatnya iaitu pasukan Perak, atau lebih dikenali dengan panggilan Skuad Seladang, telah merampas semula kedudukan teratas liga dari tangan Kedah.

Kedah yang bercita-cita untuk memiliki tiga kejuaraan sekali gus ( Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia ) telah dihidangkan oleh Perak suatu bentuk kekangan dan halangan seperti kata pepatah moden ‘dekat tetapi jauh’.

Kedah yang telah menguasai carta liga semenjak 31 Mac 2007 lagi, iaitu ketika perlawanan memasuki pusingan kedua, hajatnya telah dirosakkan oleh sang Seladang ekoran keputusan seri Kedah ketika bertemu Perlis dan pada masa yang sama, Perak berjaya mengalahkan Melaka.

Walaupun Kedah telah mula mengungguli takhta Liga Super 2006/07 semenjak dari tarikh 31 Mac 2007 itu, namun Perak sentiasa mengekori rapat di belakang Kedah dengan perbezaan mata antara 2 – 5 mata sahaja. Cuba kita lihat secara kronologi detik-detik Perak memintas Kedah bermula dari tarikh 31 Mac itu seperti jadual berikut :

Titik peralihan liga super 06/2007

Pada 6 Jun 2007, Perak telah membaham Melaka di Stadium Hang Jebat dengan jaringan 9 gol tanpa balas. Pada masa yang sama, Kedah hanya mampu seri dengan Perlis di Kangar. Dengan kedudukan itu, masing-masing memungut 46 mata.

Bagaimanapun Perak berada di persada liga atas kiraan perbezaan gol. Kedah telah menjaringkan sejumlah 41 gol dan kena 19 gol iaitu perbezaan 22 gol. Sedangkan Perak telah menjaringkan sebanyak 51 gol dan kena 18 gol iaitu perbezaan 33 gol. Bermakna Perak mengatasi Kedah dengan perbezaan 11 gol.

Perlu diingat bahawa dengan kemenangan besar itu belum lagi melayakkan Perak bergelar juara Liga Super 2006/07. Perak perlu mengharungi tiga perlawanan lagi untuk mengejar gelaran tersebut.

Perlawanan-perlawanan itu ialah bertemu dengan Telekom Melaka FC pada 13 Jun 2007 dan bertemu dengan Terengganu pada 1 Ogos 2007. Kedua-duanya akan diadakan di Ipoh. Perlawanan terakhir Perak ialah bertemu dengan Sarawak pada 4 Ogos 2007 di Kuching.

Perak seharusnya tidak memandang rendah setiap pasukan yang akan ditemuinya kerana jika Perak tergelincir sedikit sahaja, maka Kedah akan mengambilalih semula tampuk liga. Walaupun Perak telah memenangi ketiga-tiga perlawanan sebelum ini ketika bertemu dengan ketiga-tiga pasukan yang akan ditemuinya itu, tidak bermakna Perak pasti mengalahkannya sekali lagi.

Setiap pemain Perak hendaklah berpadu tenaga dan menggandakan usaha serta bermain secara konsisten dan mengekalkan momentum yang ada untuk mengalahkan ketiga-tiga pasukan yang dilihat sebagai pengahalang hajat Perak untuk menjuarai Liga Super 2006/07 yang belum pernah dirangkulnya semenjak mula diperkenalkan.

Oleh itu tolong jangan dicicirkan walau satu mata sekalipun. Kita kini berada di landasan yang betul untuk menjadi juara Liga Super kali ini. Tolong jangan sia-siakan peluang yang telah tersedia ini.

Yong Ayu – seladang.net

Nota: Berita ini telah dikirimkan oleh pembaca kepada pihak pengurusan seladang.net dan pihak pengurusan hanya membuat beberapa modifikasi kepada struktur ayat tanpa mengubah sebarang fakta atau makna yang ingin disampaikan didalamnya.

Likes(0)Dislikes(0)