In Person – Yong Ayu

Tarikh: 4hb Jun 2007
Waktu: 2.30ptg – 4.00ptg

Tetamu kedua artikel “In Person” kali ini ialah seorang peminat bolasepak negeri Perak yang bekerja dan tinggal di Pulau Pinang. Nama beliau ialah Mohd. Yazi Baki dan menggunakan nama pena Yong Ayu di dalam artikel beliau.

Dilahirkan di Batu Gajah, beliau mula serius menyokong pasukan Perak bersama isteri sejak dari tahun 1999. Beliau kerap menghantar artikel yang baik untuk pengunjung di seladang.net.

Berikut adalah antara temubual yang dicatatkan oleh penulis:

Penulis: Bilakah Yong mula terlibat aktif menyokong skuad Seladang?
Yong Ayu: Pada tahun 1999 saya mendapat dua tiket percuma untuk menonton perlawanan bolasepak antara Perak bertemu Perlis di Stadium Perak, Ipoh. Setelah tertarik menonton bolasepak di stadium berbanding dengan menonton di TV, pada tahun-tahun berikutnya, saya dan isteri sentiasa pergi ke stadium setiap kali Perak turun bermain.

Yong Ayu & Isteri

Gambar Yong Ayu bersama isteri pada 5 Februari 2007 ketika Perak melawan UPB My Team sempena pelancarkan kutipan derma bagi membantu mangsa banjir di Johor. - hakcipta Utusan Malaysia

Penulis: Apakah pandangan Yong tentang prestasi semasa pasukan Perak pada ketika ini.
Yong Ayu: Saya melihat pasukan Perak sebagai sebuah pasukan yang serba lengkap, baik di bahagian pertahanan, bahagian tengah mahupun di bahagian serangan. Ini ditambah pula dengan kebijaksanaan Jurulatih, Steve Darby mengatur strategi setiap kali Perak turun bermain. Yang lebih meyakinkan lagi ialah Perak mempunyai pemain back up yang mencukupi ketika berlaku pemain regular mengalami kecederaan atau mewakili negara ke mana-mana kejohanan.

Penulis: Apa pendapat Yong tentang Jurulatih merangkap Pengurus pasukan Perak, Steve Darby?
Yong Ayu: Perak bertuah kerana mendapat khidmat daripada seorang Jurulatih yang berpengalaman luas dan berwibawa dalam hal kejurulatihan bolasepak. Ketokohan beliau mendapat kepercayaan daripada Presiden PAFA sendiri, YB Dato’ Mohd. Zahid Hamidi yang ingin mengekalkannya sebagai Jurulatif dan Pengurus skuad Perak selagi beliau menjadi Presiden.

Kewibawaan Steve ini pula diiktiraf oleh Kumpulan Media Prima dan juga Astro yang sentiasa mengundang beliau untuk memberikan ulasan setiap kali mereka menyiarkan secara langsung perlawanan bolasepak di peringkat antarabangsa yang melibatkan kelab gergasi dunia.

Penulis: Siapakah pemain tempatan dan pemain import terbaik yang pernah Yong saksikan untuk pasukan Perak serta sebab-sebabnya.
Yong Ayu: Sebagai menjawab soalan ini, saya lebih tertumpu kepada pemain-pemain Perak yang ada kini kerana saya lebih mengenali permainan mereka berbanding pemain yang menyarung jersi Perak sebelum tahun 1999.

Pemain tempatan yang sedia ada bersama Perak yang pada pandangan saya amat memberi sumbangan kepada skuad Perak ialah K. Nanthakumar. Beliau dengan ketinggiannya sering sahaja berjaya memenangi bola tinggi.

Beliau juga boleh bermain sebagai pertahanan mahupun sebagai pemain tengah. Selain itu beliau sangat rajin di atas padang dan berlari ke sana ke mari untuk mendapatkan bola. Jika Perak mendapat tendangan sudut, beliau sentiasa berada di kawasan gol lawan untuk menerima hantaran sama ada ditanduk masuk ataupun menghantarnya kepada rakan.

Berhubung dengan pemain import pula, saya tertarik dengan permainan yang dipamerkan oleh Traore Abdoulaye. Beliau sentiasa berada di mana-mana untuk membantu rakan yang memerlukan sama ada di pertahanan mahupun serangan.

Setiap kali bola tinggi pula, beliau sentiasa berjaya mendapatkannya. Ketika bola berada di kakinya pula, sangat sukar pihak lawan untuk cuba merampasnya. Cara beliau melorongkan bola juga tidak menyusahkan rakan-rakan untuk menerimanya. Pemain ini juga saya dapati tidak mudah naik angin dan amat tenang di atas padang.

Penulis: Antara slogan “Kejor Yob Kejor” dengan “Skor Yob Skor”, yang mana pilihan Yong?
Yong Ayu: Slogan asal pasukan Perak yang telah lama terpahat di lubuk hati para peminat dan penyokong skuad Seladang ialah “Kejor Yob Kejor”. Pihak tertinggi Pengurusan Perak FA berpendapat bahawa slogan lama itu agak negatif kerana jika asyik mengejar, bila pula nak menyumbat gol. Peralihan kepada slogan baru memerlukan sedikit masa di pihak para penyokong skuad Perak untuk menerimanya.

Penulis: Apakah harapan Yong tentang matlamat FAM untuk pasukan kebangsaan layak ke Piala Dunia 2022?
Yong Ayu: Selama ini memang rakyat Malaysia tidak pernah mengimpikan pasukan bolasepak Malaysia akan layak ke pusingan akhir Piala Dunia. Ini kerana rakyat sedar akan hakikat bahawa untuk masuk ke peringkat setinggi itu memerlukan komitmen yang amat tinggi di kalangan para pemain dan juga pengurusan bolasepak terutamanya FAM.

Komitmen tersebut di pihak pemain termasuklah semangat juang yang tinggi, semangat menaikkan nama negara, bukan bermain semata-mata untuk wang, mempunyai skil yang tinggi, pintar mengelecek, rajin di atas padang, pandai merancang permainan, pandai mengelak daripada dibentes oleh lawan dan stamina yang tinggi.

Kesemua yang disebutkan itu, selain direalisasikan oleh pemain itu sendiri, ia juga melibatkan pihak pengurusan terutamanya FAM. Untuk melaksanakn tugas itu pula, memerlukan wang yang banyak dan tempat latihan yang kondusif termasuklah padang bertaraf antarabangsa. Perkara ini pula memerlukan campur tangan pihak kerajaan.

Jadi, cuba kita menilai keadaan pasukan bolasepak kita yang ada sekarang ini. Adakah kesemua yang disebutkan di atas tadi telah dipenuhi. Jika tidak, di bahagaian mana yang belum dipenuhi dan hendaklah segera dipenuhi. Sesuatu yang difikirkan amat penting ialah semangat sayangkan majikan.

Para pemain yang menganggotai skuad kebangsaan merasakan FAM bukan majikan mereka yang sebenar. Mereka menganggap negeri atau kelab dari mana asalnya itulah majikan yang sebenar kerana negeri dan kelab itulah yang membayar gaji kepada mereka setiap bulan. Ketika mewakili negara, FAM pada anggapan mereka adalah majikan sementara dan tugas mereka adalah sampingan.

Jika keadaan seperti ini terus berlaku, maka semangat kenegerian dan kelab mengatasi semangat kenegaraan. Selagi perasaan seperti itu bersarang di hati para pemain negara, selagi itulah pasukan Malaysia tidak akan layak ke Piala Dunia melainkan jika negara menjadi tuan rumah.

Terima kasih kepada saudara Yong Ayu kerana sudi berkongsi pandangan dengan wakil pengurusan seladang.net.

YB – seladang.net

YB Corner

Likes(0)Dislikes(0)

One thought on “In Person – Yong Ayu

Comments are closed.