TM Liga Super – P. Pinang Vs Perak (result)

TM Liga Super

02hb Mei 2007
Stadium Batu Kawan
8.45 PM.

Keputusan penuh
P.Pinang 1 – 4 Perak

Perak menurunkan kesebelasan pemain seperti berikut:

Nasril

Azlan – Kukoc – Nantha

S.Nizam – Yusri – Traore – A.Shahrul – Danial

Ahmad Fakri – Keita Mandjou

Perak memerlukan hanya 13 minit untuk memecah benteng lawan setelah Traore Abdoulaye menanduk masuk gol pertama hasil hantaran dari sebelah kiri gol lawan oleh Danial Fadzly.

Perlawanan banyak dikuasai oleh pemain Perak dengan P.Pinang sekali sekala membuat percubaan yang menggoyahkan pertahanan Perak mengakibatkan kad kuning pertama Perak pada malam itu dikutip oleh Azlan Zainal. Tamat separuh masa pertama dengan keputusan kekal 1 gol berbalas 0.

Separuh masa kedua bermula dengan Kieta Mandjou berjaya menguis bola masuk pada minit ke 46 setelah dengan bijak berjaya memperdayakan penjaga gol P.Pinang selepas merampas bola dari kaki pertahanan lawan.

P.Pinang juga tidak berdiam diri dengan membuat beberapa siri serangan kilat yang akhirnya membuahkan hasil pada minit ke 64 setelah Zailani Jaafar mengelecek pertahanan Perak, Azlan Zainal dan seterusnya merembat menggamamkan penjaga gol muda Perak, Nasril Nourdin.

Perak telah membuat 3 pertukaran pada separuh masa kedua dengan memasukan Surendran yang menggantikan Ahmad Fakri, Wong Sai Kong untuk Yusri Che Lah serta Chan Wing Hoong untuk posisi Danial. Manakala Nanthakumar pula mengutip kad kuning kedua untuk pasukan Perak pada malam itu.

Minit ke 77, ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar menghukum kesilapan benteng lawan untuk gol ketiga Perak dengan satu rembatan leret deras hasil bola muntah yang terkena pertahanan P.Pinang hasil percubaan awal Kieta Mandjou.

Traore Abdoulaye menutup terus sisa perjuangan pasukan P.Pinang dengan gol ke 4 pada minit-minit akhir perlawanan untuk menceriakan kira-kira hampir 2000 orang penyokong Perak yang bertandang ke Stadium Batu Kawan pada malam itu.

harryhot – seladang.net

harryhot

Likes(0)Dislikes(0)