Strategi Di Atas Padang

Bersama Yong Ayu

Bagi musim Liga Malaysia tahun 2006/07 ini, saya melihat Skuad Seladang begitu sempurna di setiap posisi, baik di bahagian pertahanan, bahagian tengah mahupun di bahagian serangan. Walaupun begitu jika berlaku satu atau dua kekalahan, itu adalah adat perlawanan.

Namun begitu sesuatu yang agak menyedihkan hati para peminat dan penyokong Skor Yob Skor ialah kekalahan yang disebabkan kecuaian dan kesilapan kecil di pihak pertahanan. Cuba kita lihat kekalahan skuad Perak di tangan Kedah dalam perlawanan Piala FA pada 6 Februari 2007 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Kebetulan saya berada di celah-celah lautan manusia penyokong Skuad Hijau Kuning pada ketika itu. Saya dapati gol tunggal tersebut (yang membuatkan Perak tersingkir daripada persaingan Piala FA musim 2007) adalah berpunca daripada kegagalan Chan Wing Hoong mengekang kemaraan Marlon Alex James.

Saya tidaklah hendak menyalahkan Chan Wing Hoong sepenuhnya dalam hal ini kerana beliau bukan pemain pertahanan tulen tetapi lebih kepada pemain tengah. Soalnya kemana perginya Vedran Kukoc pada ketika itu. Rupa-rupanya Vedran Kukoc berada di kawasan gol Kedah untuk membantu para pemain dalam menerima hantaran dari tendangan sudut.

Gol tersebut sebenarnya berpunca dari serangan balas Kedah selepas Perak memperolehi satu tendangan sudut. Marlon Alex James telah menerima bola tinggi secara hantaran jauh oleh salah seorang pemain Kedah dan dengan dua kali sentuhan, Marlon Alex James terus merembat ke arah pintu gol dan berjaya menewaskan penjaga gawang Perak.

Apa yang cuba hendak saya sampaikan di sini ialah Jurulatih Perak, Steve Darby sering mengarahkan pertahanan Perak naik ke atas dan terus berada di kawasan gol lawan ketika pasukan kita menerima sepakan sudut.

Saya tumpukan kepada pemain pertahanan tulen, Vedran Kukoc. Pada kebiasaannya Vedran Kukoc akan berlari ke kawasan gol lawan setiap kali Perak mendapat sepakan sudut. Selepas itu beliau akan berlari pantas turun ke kawasan gol Perak pula untuk menahan serangan balas daripada pihak lawan.

Keadaan pemain ini berlari keatas dan kebawah akan mengakibatkan cepat letih dan kehilangan banyak stamina. Pada masa yang sama tidak sempat untuk membuat cover up semula.

Contoh perlawanan antara Kedah dengan Perak yang mengakibatkan kekalahan di pihak Perak adalah jelas berpunca daripada pemain pertahanan diarahkan naik ke atas apabila Perak mendapat tendangan sudut. Mungkin ada perlawanan lain yang berlaku mirip dengan apa yang diperkatakan ini yang tidak sempat saya menontonnya di stadium.

Oleh itu saya berpendapat supaya Vedran Kukoc seeloknya tidak diminta naik ke kawasan gol lawan setiap kali Perak mendapat tendangan sudut. Tambahan pula Vedran Kukoc bukanlah seorang pemain yang tinggi lampai yang boleh menanduk masuk ke dalam gol lawan.

Semenjak ia bermain untuk Perak, belum satu gol pun yang dijaringkannya hasil daripada tindakan seperti itu. Lainlah jika K. Nanthakumar yang naik ke atas. Mungkin juga boleh merebut bola tinggi untuk dihantar kepada kawan atau terus saja menanduk masuk ke gawang.

Memandangkan Liga Super & Piala Malaysia tahun 2006/07 telah hampir ke penghujungnya, saya berharap benar agar Steve Darby dapat mengambil perhatian terhadap pendapat dan pandangan saya yang tidaklah begitu arif tentang bolasepak tetapi bercakap selaku peminat setia skuad Seladang.

Yong Ayu – seladang.net

Nota: Berita ini telah dikirimkan oleh pembaca kepada pihak pengurusan seladang.net dan pihak pengurusan hanya membuat beberapa modifikasi kepada struktur ayat tanpa mengubah sebarang fakta atau makna yang ingin disampaikan didalamnya.

Likes(0)Dislikes(0)

One thought on “Strategi Di Atas Padang

  1. harryhot

    Yong ayu,

    Setuju pendapat yong, memang kukoc tak perlu naik ke kawasan gol lawan. Pendapat saya Perak telah bermain dgn baik cuma masalah pertahanan yang longar ketika serangan balas tersebut. Saya pun berada di celah-celah penonton kedah yang ramai ketika itu. Steve juga mengeluarkan Fakri kerana kurang mendapat hantaran dari rakan sepasukan.
    Tetapi gerakan Fakri ketika menentang perlis baru2 ni memang jelas Fakri seorang yang berfikir ketika bermain. Hantaran yang tepat dan pantas kepada Keita membuahkan hasil.

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.