Kemelut Manchester United

Seperti yang umum ketahui pada 27 Julai 2007 pasukan Manchester United akan berkunjung ke Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pilihan Malaysia.Kunjungan ini mendapat tentangan dari presiden AFC sendiri iaitu Mohamed Hammam yang turut disokong oleh Sepp Blater,presiden FIFA.

FAM memberikan alasan bahawa kunjungan Manchester United ke Malaysia adalah atas undangan kerajaan untuk memeriahkan lagi sambutan ulangtahun kemerdekaan negara ke-50.Sememangnya FAM telah mendapat sokongan peribadi dari Perdana Menteri Malaysia sendiri iaitu Dato’ Seri Abdullah Badawi serta Menteri Belia & Sukan Dato’ Seri Azalina tentang kehadiran Manchester United disini.

Tetapi AFC juga mempunyai alasan mereka yang cukup kukuh dimana FAM sepatutnya lebih menumpukan kepada persediaan menghadapi kejohanan Piala Asia dimana Malaysia adalah antara salah satu tuan rumah bersama selain daripada Vietnam, Indonesia dan Thailand yang akan berlangsung dari 9hb hingga 29hb Julai 2007.

Pada hemat penulis,FAM dan kerajaan Malaysia perlu bijak menangani masalah ini dengan berbincang dengan lebih mendalam bersama Presiden AFC sendiri iaitu Mohamed Hammam. Walaupun pada satu ketika dimana Presiden terbabit tetap berkeras supaya FAM dan kerajaan Malaysia membatalkan perlawanan ini didalam kenyataan akhbarnya baru-baru ini.

Andaikata masih lagi tiada jalan penyelesaian bagi masalah ini FAM dan kerajaan Malaysia perlu akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh AFC demi masa depan bolasepak Malaysia.Perlu juga diingat bahawa kali terakhir kita layak menyertai kejohanan ini adalah pada tahun 1980 di Kuwait.Inilah peluang keemasan kepada kita untuk bersaing semula dipentas Asia dengan pasukan yang bertaraf antarabangsa seperti Korea,Iran,Australia & Jepun.

Sepatutnya kita berterima kasih kepada AFC kerana telah memberi peluang kepada Malaysia menganjurkan kejohanan ini yang turut menyaksikan kita layak secara otomatik sebagai tuan rumah.Jika hendak diikutkan prestasi semasa pasukan kebangsaan,penulis sendiri tidak nampak peluang untuk menyertai kejohanan ini jika kita terpaksa bersaing dengan pasukan-pasukan lain pada pusingan kelayakan.

Penulis secara peribadi tidak mahu FAM akan dikenakan tindakan oleh AFC ataupun FIFA berhubung masalah ini.Jika kita masih lagi tetap ingin menganjurkan perlawanan persahabatan ini maka kita perlu berhadapan dengan kemungkinan digantung atau didenda oleh AFC.Sebarang jumlah denda yang dikenakan mungkin mampu ditanggung oleh FAM atau kerajaan Malaysia namun jika keahlian Malaysia digantung ini adalah satu malapetaka yang sangat buruk.

Penggantungan keahlian bukan sahaja akan menyebabkan Malaysia tidak dapat bertanding pada mana-mana kejohanan anjuran AFC mahupun FIFA tetapi yang lebih parah lagi ialah hilangnya mata pencarian beratus-ratus pemain bolasepak profesional tempatan yang sedang beraksi pada persaingan TM Liga Malaysia berhubung pengharaman ini.

Umum perlu mengetahui bahawa AFC mahupun FIFA berhak menggantung keahlian mana-mana negara ahli yang ingkar dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh badan dunia itu serta mengharamkan sebarang pertandingan bolasepak tempatan berkuatkuasa serta merta.

Penulis berharap semoga FAM dan semua yang terlibat dalam menjayakan Kejohanan Piala Asia ini menumpukan sepenuh perhatian kepada peningkatan mutu bolasepak Malaysia yang kini terperosok ditangga ke-156 yakni jatuh 2 anak tangga dari sebelum ini.

Utamakan Mutu Bolasepak Malaysia lebih dari kunjungan tetamu luar mahupun kepentingan bersifat peribadi mengutip keuntungan serta selamatkan Sukan Bolasepak Malaysia yang semakin nazak ditelan pelbagai kontroversi selama ini.

Sekian,Terima Kasih
Don Juan – seladang.net

Nota: Berita ini telah dikirimkan oleh pembaca kepada pihak pengurusan seladang.net dan pihak pengurusan hanya membuat beberapa modifikasi kepada struktur ayat tanpa mengubah sebarang fakta atau makna yang ingin disampaikan didalamnya.

Likes(0)Dislikes(0)

One thought on “Kemelut Manchester United

  1. harryhot

    Don Juan,
    Semoga mereka2 yang bertanggungjawab benar2 bertanggungjawab.

    Tak tahu apa nasib Malaysia dalam bolasepak peminat2, pemain2 dan lain-lain yang terlibat jadi mangsa kepada pihak yang kononnya memertabatkan bolasepak Malaysia

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.