In Person – Din Barber Corner

Tarikh: 2hb May 2007
Waktu: 11.30pagi – 1.00ptg
Lokasi: Zainuddin Kedai Gunting Rambut, Teluk Intan, Perak.

Tetamu pertama artikel “In Person” ini ialah salah seorang peminat bolasepak negeri Perak yang cukup dikenali di sekitar bandar Teluk Intan. Din atau nama sebenar beliau Zainuddin telah menjalankan perniagaan menggunting rambut sejak dari tahun 1983.

Berumur awal 40an dan berpengalaman sebagai tukang gunting rambut selama 24 tahun, beliau mula membabitkan diri secara aktif dalam arena bolasepak Perak semenjak tahun 1989 lagi.

Zainudin

Berikut adalah antara temubual yang dicatatkan oleh penulis:

Penulis: Apa pandangan saudara tentang prestasi semasa Perak sekarang?
Din: Secara umumnya permainan Perak sekarang memang berbeza dari beberapa tahun yang lalu, agak konsisten dan sentiasa menang cuma rasa kecewa bila kalah dengan pasukan yang kurang menyerlah dalam persaingan liga.

Penulis: Pandangan saudara pasukan Perak agak fobia bila bertemu dengan pasukan mana?
Din: Pada pengamatan saya, Perak pasti berdepan laluan sukar dan sentiasa tertekan kalau berjumpa dengan dua pasukan ini iaitu Kedah atau Sabah, lebih-lebih lagi kalau dalam persaingan kalah mati seperti Piala FA ataupun Piala Malaysia.

Penulis: Pendapat saudara tentang jurulatih merangkap pengurus Perak, Steve Darby?
Din: Corak permainan yang diterapkan oleh Steve Darby memang berlainan dengan jurulatih sebelum ini seperti Netto, Weigang ataupun Karathu. Banyak bola dihantar menggunakan pendekatan hantaran jauh dan silang dan agak kurang dalam hantaran satu dua.

Penulis: Bagi ringkasan “Trademark” 4 jurulatih ini sepanjang pengetahuan saudara?
Din: M.Karathu – Menerapkan corak permainan pantas dari kiri dan kanan sayap dengan meletakkan pemain yang cukup pantas dan berstamina tinggi.

K.H.Weigang – Lebih tegas dalam displin dan latihan keras, mempunyai percaturan baik dalam persaingan kalah mati berbanding liga. Antara jurulatih yang banyak mencungkil bakat-bakat baru Perak pada waktu itu.

Tony Netto – Corak permainan dibawah kendalian beliau cukup mantap dengan adunan ala samba yang banyak menggunakan hantaran satu dua. Keburukannya beliau kurang percaya kepada tenaga baru dan kurang membuat pertukaran pemain sewaktu perlawanan walaupun ada pemain yang terbukti sudah keletihan.

Steve Darby – Lebih banyak hantaran jauh dan menjadi jurulatih pertama Perak yang menukar sistem formasi asas 4 – 4 – 2 kepada 3 – 5 – 2. Corak permainan kurang menarik tetapi selalu membuat penukaran pemain untuk mendapatkan idea baru dalam permainan.

Penulis: Saudara lebih suka corak permainan jurulatih mana?
Din: Tentulah Tony Netto, nampak kemas dan menghiburkan penonton.

Penulis: Pemain tempatan dan import terbaik yang pernah saudara saksikan untuk pasukan Perak serta sebab-sebabnya?
Din: Azizol Abu Haniffah - Setakat ini belum ada lagi pemain dalam pasukan Perak mahupun Malaysia yang mampu menyamai permainan beliau yang cukup mantap dalam hantaran kepada rakan dihadapan, cuma Yusri Che Lah sahaja mempunyai sedikit nilai-nilai seperti beliau.

Kyi Lwin - Selain pantas dan berstamina tinggi, pemain Myanmar ini sentiasa menjadi duri dalam daging untuk pasukan lawan dengan hantaran baik kepada rakan dihadapan serta mempunyai lenggok badan yang menarik untuk memperdayakan pihak lawan sewaktu membawa bola.

Penulis: Antara slogan Kejor Yob Kejor dengan Skor Yob Skor, mana pilihan saudara?
Din: Kejor Yob Kejor ni ilham spontan dari penonton sejak dari dulu lagi dan menjadi sebutan sekian lama. Kalau ditukar kepada slogan lain pasti agak kurang selesa diterima. Tapi pada saya bukan slogan yang hendak dipertikaikan, prestasi pasukan yang menjadi keutamaan.

Penulis: Soalan terakhir, apakah harapan saudara tentang matlamat FAM untuk pasukan kebangsaan layak ke Piala Dunia 2022?
Din: Kalau dikira ianya 15 tahun dari sekarang, dari segi masa memang mencukupi tapi berdasarkan rekod prestasi semasa pasukan kebangsaan sendiri saya tak yakin matlamat itu boleh dicapai. Bolasepak memerlukan pembangunan dari akar umbi,bukan setakat mengutip senarai pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil sahaja.

Begitulah serba sedikit perbualan yang dicatatkan oleh penulis.

YB – seladang.net

YB Corner

Likes(0)Dislikes(0)

One thought on “In Person – Din Barber Corner

  1. anas

    teman kenal abg din nih,dia memang hardcore jugak.Kalau pegi gunting rambut kat kedai dia memang selalu sembang pasal bola je.Kedai dia pun banyak tampal poster pasal bola jugak

    Likes(0)Dislikes(0)

Comments are closed.