Darby yakin Khalid pulih bertemu Pulau Pinang

Oleh Mohd Fadzrie Hazis@beritaharian.online

JURULATIH Perak, Steve Darby yakin penyerang utamanya, Khalid Jamlus akan sempat pulih dari kecederaan hamstring pada pertemuan Liga Super dengan Pulau Pinang esok selepas kecewa pasukannya hanya mampu seri 2-2 dengan Pahang dalamm Kumpulan C Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Bagi Darby, kemenangan ke atas Pulau Pinang amat penting bagi merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga, Kedah yang kini mengutip 36 mata dari 17 perlawanan berbanding 35 yang dikutip mereka.

Saya mengambil keputusan merehatkan Khalid pada pertemuan dengan Pahang kerana mahu dia mendapat rehat secukupnya dan saya yakin Khalid akan sedia untuk diturunkan bertemu Pulau Pinang.

Ketiadaan Khalid memang dirasai ketika pertemuan dengan Pahang, kami banyak mensia-siakan peluang gol dan saya harap perkara ini tidak berulang apabila kami berdepan Pulau Pinang, kata Darby.

Khalid juga adalah penjaring tempatan terbanyak dalam Liga Super musim ini bersama penyerang Perlis, Azlan Ismail dengan lapan gol, dan penjaring kedua terbanyak Perak di belakang Keita Mandjou yang kini mengumpulkan 11 gol.

Namun Perak juga berdepan kemungkinan beraksi tanpa tonggak pertahanan K Nanthakumar dan juga S Subramaniam yang terpaksa diketepikan kerana kecederaan lutut dan pangkal paha.

Saya tidak dapat memastikan sama ada kedua-dua pemain ini dapat beraksi atau tidak, tetapi saya akan hanya membuat keputusan pada hari perlawanan.

Nanthakumar mungkin berpeluang lebih cerah untuk diturunkan kerana kecederaannya tidak begitu serius, tetapi dia memerlukan sekurang-kurangnya dua hari untuk pulih, kata Darby.

Likes(0)Dislikes(0)