Khalid terpaksa berehat

Oleh Mohd Fadzrie Hazis@beritaharian online

Akibat kecederaan hamstring

PENJARING tempatan terbanyak Liga Super musim ini, Khalid Jamlus disahkan tidak akan beraksi pada pertemuan Perak dan Pahang dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur malam ini kerana kecederaan hamstring.

Jurulatih Perak, Steve Darby mengesahkan bekas penyerang Selangor itu terpaksa direhatkan dan tempatnya dalam kesebelasan utama akan diambil R Surendran.

Saya tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkan Khalid kerana bagi saya lebih baik dia direhatkan agar sempat cergas untuk aksi Liga Super menentang Pulau Pinang Rabu ini.

Namun, saya yakin Surendran mampu menggalas tugas di bahagian serangan bersama penjaring terbanyak kami, Keita Mandjou, kata Darby.

Perak juga terpaksa beraksi tanpa kelibat pemain pertahanan skuad Olimpik kebangsaan, S Subramaniam yang masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan pangkal paha.

Bagaimanapun, ketiadaan Subramaniam tidak begitu merisaukan Darby kerana pertahanan import Vedran Kukoc, yang sudah tujuh perlawanan tidak beraksi kerana kecederaan kini sudah cergas dan bersedia untuk diturunkan.

Saya belum dapat pastikan sama ada Kukoc akan diturunkan dalam kesebelasan utama, kerana dia baru saja pulih dari kecederaan dan masih kekurangan aksi perlawanan kompetitif.

Lagi pun, K Nanthakumar dan Khairi Zainudin berada pada tahap terbaik begitu juga dengan Azlan Zainal, kata Darby.

Sementara itu, Darby tetap menghormati Pahang walaupun lawan itu akan beraksi tanpa dua tonggak, Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin yang masih dibelenggu kecederaan.

Sebagai jurulatih lawan, sudah pasti saya gembira kedua-dua pemain itu tidak beraksi namun, ia tidak bererti Pahang akan mudah kami tewaskan.

Mereka tetap mempunyai kelebihan kerana beraksi di tempat sendiri. Saya perhatikan Pahang ketika ini kerap menurunkan pemain muda seperti Kamal Rodiarjat. Bagi saya Perak mampu mencatat kemenangan jika kami tidak memandang rendah keupayaan Pahang, katanya

Likes(0)Dislikes(0)